Siapa yang tidak pernah mengalami kesakitan sama ada fizikal atau mental dan sebagainya? Maka bohong la orang itu. Sakit adalah lumrah dalam hidup kita ini, sama ada kita suka atau tidak ia pasti datang sama ada dalam bentuk yang besar ataupun kecil. Ada orang menganggap sakit itu sebagai gangguan, tak kurang yang menyampah dengan sakit, dan di sana ada pulak orang yang menganggap sakit itu sebagai teman. Kenapa, tak percaya? Percayalah…….

Nabi kita pun pernah berpesan bahawa orang mukmin akan sentiasa diuji. Kecil atau besar ujian tetap akan datang selagi kita bergelar seorang yang beriman dengan Allah S.W.T. Untuk itu kenapa kita mesti diuji? Banyaklah hikmahnya kenapa kita diuji dan yang pasti seperti Allah sebut dalam Surah Al-Mulk , ayat 2 yang bermaksud ” Dialah yang mencipta mati dan hidup untuk menguji siapa di antara kamu yang paling baik amalannya”. ketahuilah bahawa jika kita tidak diuji maka kita akan sentiasa lalai, sombong, angkuh, lupa daratan , tak takut dosa, tak ingat Tuhan dan sebagainya sifat-sifat yang buruk akan muncul jika kita tidak diuji. Kerana sebagai manusia kita ada nafsu, Allah jadikan kita ni ada nafsu, so nafsu hanya boleh dipatahkan sedikit sebanyak dengan ujian-ujian yang kita terima insyaAllah.

Dan mengapa saya kata sakit itu adalah nikmat? Sakit itulah antara bentuk ujian dari Allah, sama ada ianya kifarah (untuk menghapus dosa kita) ataupun sebagai bala kerana Allah murka (mungkin kerana dosa-dosa kita yang lampau), maka sakit yang saya anggap nikmat itu ialah sakit yang kita bersabar dengannya, aaa ini lah sakit yang sebenarnya adalah nikmat. Jika kita bersabar maka pahala pun dapat, keampunan insyaAllah dapat dan adalah antara penyebab kita mendapat nikmat di akhirat nanti, kan nikmat kan tu , betul tak? 🙂 Cuba la elakkan dari tension, marah-marah tak puas hati pada sakit sama ada sakit hati atau jasmani kerana itu semua adalah cobaaaaan.

Dan nikmat dalam dunia ini lah sebenarnya adalah racun kepada kita. Ya la, kalau terlalu banyak nikmat kita telan dan perolehi sebenarnya kita tak tahu yang itulah sebenarnya racun pada diri kita yang paling merbahaya sekali. Jika terlalu banyak nikmat kita kecapi, maka semakin lalai lah kita dengan nikmat tersebut, semakin lupa diri sebagai hamba Allah, semakin angkuh dengan nikmat yang diperolehi , semakin bermegah-megah dan sebagainya. Tak salah kalau kita nak mengecapi nikmat, kerana itu adalah anugerah Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, tetapi biar lah ianya sederhana. Sederhana dalam erti kata tidak bercanggah dengan syariat, tidak melampau, tidak tamak, apa yang ada kat tangan orang lain pun kita nak rebut dan sebagainya.

Kenapa nikmat menjadi racun? Sebenarnya racun tidak semestinya racun yang kita makan atau minum, tetapi antara jenis racun juga adalah racun hati. Jika terlalu banyak nikmat maka akan menjadi racun lah pada kita, sama lah umpamanya terlalu banyak air disiram pada pokok, air yang asalnya untuk menghidup dan menyuburkan pokok tersebut boleh bertukar menjadi racun jika terlampau banyak disiram air. Sampai pokok itu boleh mati kerana terlebih air.

Maka benarlah sabda nabi kita S.A.W yang bermaksud “Sebaik-baik perkara adalah pertengahannya”. Maka jika buat sesuatu itu dengan berlebihan, maka buruk lah padahnya.

Untuk itu nasihat ambe pada diri ambe sendiri dan pada sesaper sahaja yang baca tulisan yang tak seberapa ni, kita ni hidup hanya sementara, paling lama pun sekarang manusia dapat hidup selama 80 tahun je. Tu pun bukan semua dapat capai usia tu, lebih2 lagi kaum lelaki yang sekarang ini rata-rata ramai mati muda. Kubur selalu melambai-lambai pada kita, ke situ jugak kita nanti, x sah nak lari la wahai ikhwah semua 🙂 Sebab tu nabi kata orang yang paling pandai adalah orang yang selalu ingat pada mati. Bila selalu ingat mati maka kita akan takut dosa, buat baik sokmo, ingat Allah sokmo, tak sombong, angkuh dan sebagainya lah. Itu tujuannya nabi suruh ingat mati, bukanlah ingat mati sampai tak boleh buat kerja langsung, asyik duk terperuk je ketakutan ingat mati, bukan, bukan itu yang disuruh. Tetapi ingat mati sebagai pengingat dikala kita nak buat dosa, sekurang-kurangnya tak jadi buat. Ingat ketika mula nak lalai, sekurang2 nya tak semakin lalai dan begitulah seumpamanya. jangan pulak jadikan ingat mati sampai tak jadi kerja buat yerr😉 pendek kata ingat mati agar kita takut buat dosa , kerana buat dosa maka akan disiksa kita lepas mati , na’uzubillah …….

Untuk itu sentiasa bersabar lah dalam hidup yang amat sementara ini dengan ujian atau kesakitan yang diterima. Ujian atau sakit kat dunia ini adalah sikit baru tu, kalau nak dibandingkan kat sana. Sentiasalah bersyukur dengan ujian-ujian yang kita terima kerana itu adalah tanda Allah masih lagi sayang pada kita, kalau tak Allah dah biarkan kita jadi tak tentu hala, berseronok 24 jam sampai tak ingat nak mati dan sebagainya.

Kalau kita tak bersyukur dengan apa yang kita terima, salahkan takdir, sentiasa tak puas hati dan sebagainya, itu adalah mainan syaitan yang kerjanya nak menyesatkan anak Adam dan tidak mahu melihat anak Adam ke syurga. Dendam kesumat iblis laknatullah dan kuncu2nya pada kita bukan setakat 2 keturunan, bukan setakat 7 keturunan, tetapi sampai kiamat mereka akan berdendam dengan kita.

Dan ketahuilah, kesakitan atau ujian yang kita terima mungkin kerana kesilapan kita jugak, kerana tak ikut Islam betul-betul, sombong pada Allah, rasa dunia ini macam kita yang punya, tak ada hati perut pada manusia lain dan macam-macam lagi lah sebenarnya dosa kita ni. Kita ni sebenarnya banyak dosa, dari dosa kecil hinggalah dosa besar, terlalu banyak sebenarnya, cuma kita je yang tak perasan dan juga buat-buat tak perasan. Tetapi apabila di soal kat kubur dan mahsyar nanti barulah kita akan tahu betapa banyaknya dosa kita kat dunia ni terutamanya dosa yang tak nampak, tersembunyi dalam benak hati kita ni. Masa tu baru tahu malu kita nanti setelah banyak rahsia terbongkar hehe

Sekian dulu buat kali ini, semoga kita semua diberkati, dirahmati dan diampuni Allah yang Maha Pengampun sentiasa dan selamanya, aamin.

Wassalam🙂