BAGAIMANA jutaan orang di seluruh dunia boleh menderitai penyakit hipotiroidisme sedangkan dalam masa yang sama, mereka langsung tidak menyedarinya? Itulah hakikatnya. Hipotiroidisme merupakan sejenis gangguan tiroid yang paling kerap ditemui, yang terjadi apabila aktiviti kelenjar tiroid kurang berbanding normal.

Sebelum itu, mari kita berkenalan terlebih dahulu dengan tiroid iaitu sejenis kelenjar endokrin berbentuk rama-rama yang terletak pada pangkal leher, bawah sedikit daripada halkum anda.

Kelenjar tiroid terdiri daripada dua lobus, satu pada setiap sisi trakea yang disambungkan oleh satu ismus atau segenting. Ia merembeskan hormon tiroid yang diperlukan bagi proses metabolik dan mental yang normal, juga perkembangan fizikal anda.

Terdapat dua jenis hormon tiroid iaitu triiodotironin (T3) dan tiroksina (T4). Keseluruhan aspek metabolisme anda – dari degupan jantung membawalah ke berapa cepat kalori dibakar, semuanya mempunyai kaitan langsung dengan hormon yang berperanan besar terhadap fungsi tubuh ini.

Selagi tiroid anda menghasilkan jumlah hormon yang memadai, sistem tubuh anda akan berfungsi secara normal. Masalah timbul apabila tiroid anda tidak mengeluarkan hormon yang mencukupi sekali gus mengacau keseimbangan tindak balas kimia tubuh anda.

Keadaan inilah yang dikenali sebagai hipotiroidisme atau penyakit tiroid tidak aktif.

Kaum Hawa, khususnya yang berumur lebih 50 tahun, cenderung mengalami hipotiroidisme berbanding lelaki. Pada peringkat awal, penyakit ini jarang menunjukkan tanda-tandanya.

Bersama peredaran masa, hipotiroidisme yang tidak dirawat mencetuskan beberapa masalah kesihatan seperti obesiti, sakit sendi, ketidaksuburan dan penyakit jantung.

Berita baiknya, ujian fungsi tiroid yang tepat mampu mendiagnosis masalah ini. Rawatan hipotiroidisme menggunakan hormon tiroid tiruan selalunya mudah dan berkesan sekiranya dos yang bersesuaian diberikan.

‘‘Hipotiroidisme ialah salah satu daripada gangguan hormon paling diabaikan. Masalah ini berlaku apabila kelenjar tiroid gagal menghasilkan hormon tiroid yang secukupnya untuk memenuhi keperluan badan.

‘‘Masalah ini mungkin bertambah buruk tetapi dengan ubat yang sedia ada, ia boleh dikawal dengan sewajarnya lantas membolehkan pesakit terbabit menjalani kehidupan normal tanpa sebarang halangan,’’ kata Pakar Runding Endokrinologi, Hospital Putrajaya, Dr. Zanariah Hussein.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Euthyrox oleh Merck Serono Sdn. Bhd. di Kuala Lumpur, baru-baru ini yang merupakan satu perkembangan penting kerana bekalan tablet tiroksina dalam beberapa tahap kekuatan berlainan bermakna dos yang tepat kini boleh disediakan.

Menurutnya, hipotiroidisme boleh berlaku pada mana-mana peringkat usia, baik janin yang dikandung dalam rahim ibu mahupun warga emas berusia 80-an. Masalah ini dialami lebih kerap di kalangan wanita berbanding lelaki. Ujar beliau, kadar penyakit yang dilaporkan di seluruh dunia itu semakin meningkat dan pengesanan awal amat penting.

‘‘Hipotiroidisme sering kali gagal atau lambat dikesan kerana gejalanya tidak begitu ketara dan khusus. Pada peringkat awal, pesakit mungkin rasa sedikit letih atau mengantuk serta sakit dan sengal dengan daya ingatan atau tumpuan yang lemah.

‘‘Malangnya, pesakit dan doktor sering menganggapnya sebagai kesan tekanan atau sebahagian daripada proses penuaan,” tambahnya. Sesetengah pesakit juga mengalami sembelit, kenaikan berat badan, tidak dapat menahan sejuk malah ada yang mengalami kemurungan.

Tahap hormon tiroid yang rendah juga menyebabkan peningkatan tahap kolesterol, justeru meningkatkan risiko sakit jantung koronari.

Dr. Zanariah berkata, terdapat beberapa sebab berlakunya hipotiroidisme termasuk penyakit Hashimoto yang dinamakan sempena doktor Jepun yang pertama kali menggambarkan tentang keadaan itu, di mana sistem imun membentuk antibodi yang merosakkan sel tiroid.

‘‘Hipotiroidisme kongenital berlaku apabila janin masih dalam uterus dan kelenjar tiroid tidak terbentuk atau berkembang secara normal.

‘‘Bayi ini memerlukan penggantian hormon tiroid sejurus selepas lahir untuk mencegah kecacatan mental yang serius. Sesetengah wanita mengalami hipotiroidisme selepas melahirkan anak,’’ jelasnya.

Selain itu, enzim genetik tertentu yang tidak normal, rawatan radiasi bagi hipertiroidisme (pengeluaran hormon tiroid berlebihan) atau pembuangan kesemua atau sebahagian daripada kelenjar tiroid turut menjadi punca masalah ini.

Diagnosis

Hipotiroidisme disahkan oleh kandungan hormon tiroid T4 dan T3 yang lebih rendah serta tahap hormon perangsang tiroid (TSH) yang lebih tinggi. TSH dihasilkan oleh otak untuk mengawal fungsi kelenjar tiroid.

Gangguan hormon dirawat dengan penggantian hormon tiroid seperti Euthyrox (levothyroxine) di mana pesakit diberikan dos awal untuk mengawal kandungan TSH dalam badan supaya kembali ke tahap seimbang.

Peningkatan dari segi perasaan atau mood, daya ingatan dan daya tahan terhadap kesejukan biasanya dilihat di kalangan pesakit yang menerima terapi.

Sementara itu, Pakar Runding Endokrinologi, Pusat Perubatan Subang Jaya, Selangor, Dr. Arlene Ngan berkata, dos penggantian hormon tiroid yang tepat amat penting bagi membolehkan doktor memulakan, mengurus serta memantau rawatan pesakit.

‘‘Penggunaan dos lebih rendah di kalangan pesakit lanjut usia umpamanya, mustahak kerana risiko masalah kardiovaskular bertambah tinggi dengan peningkatan kadar denyutan jantung dan tekanan darah.

‘‘Pada masa yang sama, dos lebih tinggi perlu diberikan kepada wanita hamil yang menghidap hipotiroidisme, yang memerlukan dos hormon tiroid lebih tinggi untuk tempoh kehamilan mereka,’’ jelas beliau.

Menurutnya, dos yang fleksibel yang memudahkan pesakit mengambil tahap jumlah betul yang diperlukan kerana jumlah ini berbeza antara pesakit.

Kanak-kanak akan memerlukan dos yang lebih tinggi apabila mereka meningkat dewasa manakala wanita hamil juga memerlukan dos lebih tinggi untuk memenuhi keperluan bayi dalam kandungan, ujar beliau. Rawatan hormon tiroid yang konsisten dari segi kualiti dan ketepatan dos kini boleh didapati di Malaysia menerusi Euthyrox (levothyroxine).

Mengenai Euthyrox

Tablet natrium Levothyroxine jenama Merck (Euthyrox, Eutirox, Levothyrox) telah dipasarkan di lebih 60 negara selama lebih daripada 20 tahun. Pada tahun 1999, Merck membangunkan satu rumusan baru, yang mempunyai profil kestabilan produk yang cemerlang (jangka hayat 36 bulan) dan didaftarkan di Amerika Syarikat, Eropah dan Amerika Latin dan beberapa negara Asia seperti China, Filipina, Singapura, Thailand dan Malaysia.

Di kebanyakan negara, Euthyrox boleh didapati dalam bentuk beberapa dos berkod yang membolehkan doktor memilih dos tepat yang diperlukan oleh pesakit untuk mengembalikan hormon ke tahap normal. Keseragaman kandungan yang boleh dipercayai juga membolehkan tablet dibahagi-bahagikan.

Merck telah menjual lebih 11 juta tablet dalam tempoh lima tahun lepas. Buat masa ini terdapat lebih 9 juta pesakit yang dirawat dengan tablet Euthyrox Merck di seluruh dunia.

Merck Sdn. Bhd. merupakan ahli Kumpulan Syarikat Merck yang berusia 338 tahun, sebuah syarikat farmaseutikal dan kimia yang mengkhusus dalam bidang farmaseutikal dan kimia inovatif, beribu pejabat di Darmstadt, Jerman.

Oleh: SHAFINAZ SHEIKH MAZNAN , Utusan Malaysia