ADALAH penting untuk membezakan sakit perut biasa kerana berpuasa ataupun sakit perut yang disebabkan oleh penyakit di dalam abdomen. Apabila lapar, perut dengan sendirinya akan memberikan isyarat berlagu keroncong. Perut akan kembali normal apabila kita sudah mengisinya dengan makanan.
.
Acapkali juga perut manusia akan kembali normal walaupun tidak di isi dengan makanan jika tiada penyakit di dalam perut dan paras asid yang dikeluarkan adalah biasa. Sebab itulah, orang biasa yang tidak mempunyai sakit “gastrik” boleh berpuasa kerana fenomena “sakit perut” kerana lapar adalah fenomena biasa yang bersifat sementara.
.
Tetapi, bagaimana pula kita ingin membezakan jika ia merupakan satu gangguan ataupun penyakit di dalam perut?
.
‘‘Sepanjang bulan Ramadan, banyak pesakit yang datang berjumpa doktor kerana sakit perut. Mereka mengalami ulser peptik iaitu borok atau kudis yang terjadi di lapisan atau pengalas perut (ulser gaster) atau bahagian pertama usus yang dipanggil duodenum (ulser duodenum).

“Ulser terjadi apabila ada sesuatu yang merosakkan lapisan perlindungan saluran gastrousus menyebabkan asid perut dan enzim menghakis dinding perut dan duodenum,” kata Dr. Abd. Hamid Mat Sain.

Menurut Pakar Bedah Am dan Laparoskopik, ColumbiaAsia Medical Centre, Seremban, Negeri Sembilan itu, sakit akibat ulser duodenum selalunya berlaku apabila perut kosong manakala ulser gaster menyebabkan rasa sakit selepas makan.

Pada hari-hari biasa, kelainan di antara kedua-duanya sukar ditentukan kerana kita makan sepanjang masa tetapi Ramadan ini, seseorang itu perlu melalui dua peringkat.

Peringkat pertama, semasa berpuasa perut kosong manakala peringkat kedua, selepas berbuka dan perut kenyang.

Sekiranya pesakit mengadu sakit perut semasa berpuasa, pesakit mungkin menghidap ulser duodenum dan jika selepas iftar, ia disyaki ulser gaster.

Harus diingat, pesakit yang dihinggapi penyakit batu karang hempedu (gallstones) mungkin menunjukkan gejala yang sama iaitu sakit perut selepas makan.

Kesakitan ulser peptik adalah pelbagai dan gejalanya mungkin tidak dirasai oleh sesetengah orang. Begitu juga dalam hampir kebanyakan kes ulser duodenum.

Sebaik sahaja sakit yang ringan bermula, pesakit akan makan sesuatu, kesakitan hilang dan penyakit kekal tidak didiagnosis.

Dr. Abd. Hamid berkata, ulser yang tidak dirawat ini lama-kelamaan boleh pecah dan mengalami pendarahan apabila ia menembusi lapisan otot dan merosakkan saluran darah.

Ia juga boleh mengakibatkan pesakit mengalami muntah darah atau dalam istilah perubatannya dipanggil hematemesis.

Pendarahan dan penembusan ini merupakan suatu keadaan yang serius dan memerlukan pembedahan segera bagi memperbaiki kerosakan tersebut. Tanpa rawatan hospital, nyawa pesakit mungkin terancam.

“Semasa berpuasa, kesakitan dan komplikasi akibat ulser deuodenum lebih mudah muncul kerana pesakit tidak boleh melegakannya dengan makanan.

‘‘Kesakitan perut akibat ulser adalah jauh lebih teruk dari perasaan lapar dan ianya berpanjangan. Kebiasaannya pesakit akan dapat membezakan jenis dan betapa teruknya sakit perut yang dialami,’’ ujar Dr. Abd. Hamid.

Jika sewaktu berpuasa seseorang itu mengalami sakit perut yang berpanjangan maka eloklah ia berbuka kerana ada kemungkinan ianya disebabkan oleh penyakit yang serius seperti ulser duodenum.

Pesakit dinasihatkan agar berjumpa doktor yang mungkin akan melakukan pemeriksaan lanjut dengan bantuan alat endoskopi untuk mengenal pasti puncanya.

Tambahnya, memeriksa perut pesakit yang sedang berpuasa memudahkan doktor untuk melakukan pemeriksaan endoskopi.

Pesakit yang menghidap ulser peptik ekoran jangkitan kuman Helicobacter Pylori dapat dirawat dengan berkesan menggunakan ubatubatan proton pump inhibitor dan antibiotik.

Setelah menjalani rawatan sepenuhnya selama satu dua minggu, pesakit akan sembuh dan masih boleh menjalankan ibadat berpuasa seperti orang biasa.

Kadangkala, dengan bantuan rawatan lanjutan proton pump inhibitor, pesakit dapat berpuasa tanpa ada gangguan sakit perut.

Ramadan boleh mempunyai kesan penyembuhan ke atas ulser peptik kerana ia mengawal tabiat merokok yang merupakan faktor yang boleh mencetuskan ulser peptik.

Oleh: SHAFINAZ SHEIKH MAZNAN , Utusan Malaysia 17 September 2007

About these ads