Salaam alaikum w.b.t.. Kita telah dilatih dari kecil, agar belajar biar pandai. Dari kecil lagi kita sentiasa disuruh agar menjadi orang yang pandai. Tetapi tahukah kita apa tujuan kita menjadi pandai yang sebenarnya?

Sememangnya ayat Quran pertama turun pun menyuruh kita membaca , yang sudah tentunya untuk kita menjadi pandai. Tetapi oleh kerana kita ini seringkali lupa, maka kita jadikan pandai itu sebagai batu loncatan untuk mendapat status yang tinggi dalam masyarakat, dipuji orang, apatah lagi tidak mustahil akan mencapai tahap bangga diri, takjub pada diri, angkuh dengan kepandaian diri, sombong dengan kehebatan yang dimiliki dan sebagainya.

Ilmu yang kita pelajari yang pada asalnya adalah agar kita semakin mengenali siapa pencipta kita, betapa Maha Kuasanya Dia, agar kita menjadi takut pada kekuasaanNya, agar kita menjadi berfikir lebih panjang bukan setakat mempunyai wawasan 2020, tetapi wawasan akhirat negeri abadi dan sebagainya. Tetapi kita sudah salah gunakan untuk kepentingan diri sendiri hingga meletakkan di luar batasan yang sepatutnya kita letak.

Manusia ni begitulah, jika dibiarkan maka akan saling mahu menunjuk-nunjuklah antara satu sama lain. Aku kata aku hebat, dia kata dia lebih hebat, datang pulak yang lain mengatakan dia lagi hebat, yang akhirnya tak berkesudahan dan membawa kepada perkara-perkara lain pula yang semakin haru-biru 😀

Justeru itu, jika kita fikirkan yang kita ini hanyalah seorang hamba Allah, maka tiada hebatnya kita, semua kita ini adalah lemah-selemahnya dan hanya Allah yang Maha Hebat. Maka jika kita sedar diri sampai ke tahap ini, maka kepandaian yang kita perolehi tidak akan dijadikan sebagai bahan untuk menunjuk-nunjuk. Bahkan kita akan menggunakan kepandaian kita untuk menghayati kebesaran Allah, di samping bertekad untuk memberi maslahah (kebaikan) kepada masyarakat umum dan paling penting adalah bagi maslahah Agama Islam yang tercinta. Jika semua orang ada pendirian sebegini dan bukan dibuat atas dasar kepentingan dan mahukan kemewahan peribadi, nescaya keamanan dan kesejahteraan hakiki insyaAllah akan tercapai.

Persaingan yang sihat dalam menuntut ilmu adalah suatu yang bagus. Tetapi jika ia menjadi medan untuk menunjukkan siapa lebih pandai maka kita sebenarnya sedang mengundang ke arah perpecahan secara diam. Lagi pun manusia ini ada ego masing-masing, ada perasaan cemburu masing-masing. Maka jika kecemburuan yang ada itu disemarakkan lagi dengan menunjuk-nunjuk pada dia, maka akan bertambah parah lah di kemudian hari. Hiduplah manusia dalam keadaan sentiasa mahu tunjuk hebat sesama sendiri. Yang akhirnya tidak memberi keuntungan kepada mana-mana pihak pun.

Dilemma perangai tunjuk-menunjuk ini bukan boleh diselesaikan jika tanpa kesepakatan semua pihak. Jika semua pihak menurunkan takhta keegoan masing-masing, dengan tidak meneruskan sikap bermegah-megah dengan kepandaian sendiri nescaya tidak mustahil kesepaduan hakiki akan tercapai. Dan jika kesepaduan hakiki sudah dicapai, maka nikmatilah suasana ketenangan yang diidam-idamkan oleh setiap manusia.

Walau apa pun jua, hayatilah antara maksud pesan baginda Rasulullah iaitu orang yang paling pandai adalah orang yang selalu ingat mati. Itulah sebenarnya tahap kepandaian mutlak yang patut kita capai dan iktiraf. Bukan kepandaian yang kita semua nampak secara mata kasar semata-mata. Sama lah konsepnya dengan maksud dari firman Allah iaitu, “Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu adalah yang paling bertaqwa”. Dan kemuliaan itu lah yang patut kita cari, bukannya kemuliaan seperti yang dipuja-puja oleh manusia secara lahiriah semata.

Wallahu a’lam 🙂