12. Kisah Nabi Ayyub a.s

.

Nabi Ayyub A.S. adalah salah seorang daripada keturunan Nabi Ibrahim A.S. dan juga anak saudara Nabi Ya’qub A.S. Baginda diutuskan untuk memulihkan kaum yang tinggal di padang pasir yang terletak di timur laut Palestin.

Apabila Nabi Ayyub A.S. dipilih menjadi nabi, baginda mula mengajar para penduduk tentang agama Allah. Baginda menasihati mereka untuk melakukan kebaikan dan menjauhi kejahatan. Seperti nabi-nabi yang lain, sedikit sahaja yang mahu mendengar ajaran baginda pada mulanya, tetapi akhirnya jumlahnya makin bertambah.

.

Nabi Ayyub A.S. Adalah Seorang Hartawan

Nabi Ayyub A.S. adalah seorang yang kaya dan sangat beriman kepada Allah. Baginda mempunyai ladang yang luas, harta yang bernilai dan binatang ternakan yang banyak. Semua ini tidak sedikit pun membuatkan baginda lupa diri. Kekayaan baginda adalah kurniaan daripada Allah S.W.T.

.

Nabi Ayyub A.S. Menunjukkan Kesabaran

Nabi Ayyub A.S. adalah seorang yang bersifat merendah diri dan bertakwa kepada Allah. Baginda adalah seorang yang sangat penyabar. Baginda menderita dengan pelbagai dugaan tetapi tidak sedikit pun baginda mengeluh tentang nasib yang menimpanya. Suatu hari, ladang baginda yang besar telah diserang oleh sekumpulan perompak. Mereka membunuh ramai pekerja-pekerja dan membawa lari sebahagian besar binatang ternakan. Nabi Ayyub A.S. tidak berasa sedih atas kerugian tersebut tetapi bersyukur kepada Allah. Tidak berapa lama selepas kejadian itu, bumbung rumah baginda pula runtuh dan ramai ahli keluarganya terlibat dalam kejadian tersebut. Nabi Ayyub A.S. sangat terkejut tetapi baginda tetap bersabar dengan berpegang pada iman yang kukuh. Baginda tidak menangis mahu pun goyah iman kepada Allah. Baginda menganggap bahawa kesenangan dan anak-anak adalah ganjaran daripada Allah. Sekiranya Allah mengambil semula pemberian-Nya, tiada gunanya menangisi kehilangan tersebut.

Selepas beberapa tahun kemudian, Nabi Ayyub A.S. menderita penyakit kulit pula. Bahagian-bahagian tubuhnya diliputi dengan kudis yang menjijikkan. Baginda mempunyai ulser yang buruk rupanya pada muka dan tangannya. Kudisnya dipenuhi ulat. Diceritakan bahawa baginda mengutip ulat-ulat yang jatuh dari bengkak yang bernanah dan memuji Allah atas penciptaan ulat-ulat tersebut. Semua kejadian ini telah menyebabkan kawan-kawannya menganggap ia adalah akibat dosa yang baginda lakukan. Mereka jijik memandang baginda dan meninggalkan baginda kecuali isteri yang setia, Rahima.

Namun begitu Rahima juga menjadi semakin letih hidup bersama dengan baginda. Dia berdoa supaya suaminya meninggal dunia daripada terpaksa menahan kesakitan yang berlarutan. Dia mencela suaminya yang ikhlas bertahan dengan kesakitan dialami. Semasa Nabi Ayyub A.S. dalam keadaan yang menyedihkan, baginda berdoa:

“(Ya Tuhanku), sesungguhnya aku telah ditimpa penyakit dan Engkau adalah Tuhan Yang Maha Penyayang di antara semua penyayang” (Al-Anbiyya, 21: 83)

Allah telah memakbulkan doanya. Firman Allah dalam Al-Quran yang bermaksud:

“Maka Kami pun memperkenankan seruannya itu, lalu Kami lenyapkan penyakit yang ada padanya dan Kami kembalikan keluarganya kepadanya, dan Kami lipat gandakan bilangan mereka sebagai satu rahmat dari sisi Kami dan untuk menjadi peringatan bagi semua yang menyembah Allah”

(Al-Anbiyya, 21: 84)

.

Nabi Ayyub A.S. Sembuh dan Kembali Mewah

Lalu Allah mengurniakan rahmat-Nya kepada baginda. Baginda di arahkan untuk menghentakkan kaki ke bumi. Baginda menurutinya dan dengan izin Allah, keluar mata air dari tempat tersebut. Baginda lantas mandi dengan air tersebut dan hilanglah kesakitan yang dialami. Selepas itu, baginda dikembalikan dengan kekayaan dahulu. Baginda melutut dan bersyukur yang amat sangat dengan anugerah yang diberi. Baginda tidak lupa dengan bantuan, belas kasihan dan kasih Allah terhadap baginda.

Nabi Ayyub A.S. adalah salah seorang nabi yang terkenal. Baginda menjadi teladan bahawa sesiapa yang sabar menahan dugaan dan ujian dalam apa jua keadaan, akhirnya akan mendapat ganjaran yang tinggi. Allah telah menerangkan dalam Quran:

“Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, (iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan, ‘Innalillahi wa innaa ilaihi raaji’uun’. Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.” (Al Baqarah, 2: 155-157)

.

.