23. Kisah Nabi Yahya a.s

.

Nabi Yahya a.s (Yohannes , Bahasa Ibrani : Yohanna , Bahasa Inggeris : John) yang lahir pada tahun 7 SM merupakan satu- satunya anak Nabi Zakaria a.s. Kelahirannya merupakan keajaiban kerana baginda dilahirkan oleh seorang wanita yang telah lama didapati mandul dan bapa yang sudah tua. Dalam keadaan yang hampir berputus asa, Nabi Zakaria A.S. yang sudah berumur, berdoa kepada Allah s.w.t. supaya mengurniakan seorang anak lelaki yang boleh menjadi pewaris, penyampai ajaran agama Allah. Doanya telah dimakbulkan serta merta.

Nama Yahya merupakan pemberian langsung dari Allah S.w.t. Nama itu belum pernah digunakan sebelumnya. Yahya adalah nama yang diarabkan dari kata Ibrani, Yohanna, yang bererti ‘hidup’. Dalam surah Maryam ayat 7 dikisahkan bahawa Allah juga belum pernah menciptakan orang yang serupa dengan Yahya.

“Hai Zakaria, sesungguhnya Kami memberi khabar gembira kepadamu akan (beroleh) seorang anak yang namanya Yahya, yang sebelumnya Kami belum pernah menciptakan orang yang serupa dengan dia.” (Maryam, 19: 7)

Nabi Yahya A.S. telah diberi tugas yang mulia iaitu memimpin manusia ke jalan kebenaran. Baginda mengajak orang lain untuk percaya dengan sepenuhnya kepada Allah s.w.t. Baginda hidup dalam kelompok masyarakat yang suka merendah-rendahkan orang lain. Baginda seorang yang tidak sombong dan selalu menghabiskan sebahagian besar kehidupannya di dalam hutan. Baginda juga seorang yang suci dan begitu mentaati kedua orang tuanya. Firman Allah yang bermaksud:

“Hai Yahya, ambillah Al-kitab (Taurat) itu dengan sungguh-sungguh. Dan Kami berikan kepadanya hikmah selagi ia masih kanak-kanak dan rasa belas kasihan yang mendalam dan sisi kami dan kesucian (dari dosa). Dan ia adalah seorang yang bertakwa, dan banyak berbakti kepada kedua orang tuanya, dan bukanlah ia orang yang sombong lagi durhaka. Kesejahteraan atas dirinya pada hari ia dilahirkan, dan pada hari ia meninggal dan pada hari ia dibangkitkan hidup kembali” (Maryam, 19: 12-15)

Nabi Yahya a.s. tidak banyak dikisahkan oleh Al-Quran kecuali bahawa dia diberi ilmu dan hikmah semasa dia masih kanak-kanak dan bahawa dia seorang putera yang berbakti kepada kedua orang tuanya dan bukanlah orang yang sombong durhaka. Dia terkenal cerdik pandai, berfikiran tajam sejak dia berusia muda, sangat tekun beribadah yang dilakukan siang dan malam sehingga berpengaruh kepada kesihatan badannya dan menjadikannya kurus kering, wajahnya pucat dan matanya cekung.

Ia dikenali oleh kaumnya sebagai orang alim menguasai soal-soal keagamaan, hafal kitab Taurat, sehingga dia menjadi tempat bertanya tentang hukum-hukum agama. Dia memiliki keberanian dalam mengambil sesuatu keputusan, tidak takut dicerca orang dan tidak pula menghiraukan ancaman pihak penguasa dalam usahanya menegakkan kebenaran dan melawan kebathilan. Dia selalu menganjurkan orang-orang yang telah berdosa agar bertaubat dari dosa mereka. Dan sebagai tanda taubatnya mereka dimandikan { dibaptiskan } di sungai Jordan, kebiasaan mana hingga kini berlaku di kalangan orang-orang Kristian dan kerana Nabi Yahya adalah orang pertama yang mengadakan upacara itu, maka dia dijuluki “Yahya Pembaptis”.

Nabi Yahya A.S. berpindah ke padang pasir Judea. Baginda berpakaian jubah yang diperbuat daripada bulu unta. Baginda hanya makan makanan ringkas dan madu liar. Khutbah baginda meninggalkan kesan yang sangat hebat dan ramai orang datang berduyun untuk mendengar mesej yang disampaikan. Seluruh penduduk di kawasan Jordan telah memeluk agama Allah dan mengikut ajaran baginda.

Nabi Yahya A.S. adalah nabi yang terdahulu daripada Nabi Isa A.S. Keduanya adalah saudara sepupu yang sezaman. Baginda sangat taat melaksanakan misinya sehingga ke akhir hayat. Seorang pemerintah Roman, Herod Antipas adalah pemerintah Galilee, Palestine. Dia menjalinkan hubungan sulit dengan Herodias, isteri kepada saudara lelakinya Herod Philip. Nabi Yahya A.S. telah menasihatinya supaya meninggalkan perbuatan tersebut kerana ia bertentangan dengan ajaran dalam Taurat Musa a.s yang melarang mengahwini anak saudara sendiri,  namun tidak dihiraukan oleh raja tersebut.

Suatu hari, Herod Antipas telah mengadakan satu majlis keramaian. Herodias memberi kebenaran kepada anaknya, Salome untuk menari dalam majlis tersebut. Raja tersebut amat tertarik dengan persembahan gadis tersebut. Maka dia memberitahu bahawa dia akan menunaikan apa sahaja permintaan Salome. Dengan segera, Salome meminta dibawakan kepadanya kepala Nabi Yahya A.S. Herod terpaksa menunaikan janjinya kerana tidak dapat memikirkan alternatif lain. Jadi, Nabi Yahya A.S. dipancung atas hasutan ibu Salome, gadis yang dicintainya. Makam baginda ditempatkan di Masjid Umayyah di Syria.