Soalan.

1 – Apakah hukumnya menggugurkan kandungan yang baru berusia 2 bulan (belum ada sifat dan belum ditiupkan rohnya).

2 – Sebahagian dari anggota yang telah dipotong (contohnya akibat penyakit) apakah wajib disempurnakan seperti jenazah?

3 – Jika kita berniaga sesuatu barang – harga tunai lain dan hutang pula dengan harga yang lain. Adakah dikira riba dalam perniagaan?

4 – Apakah hukumnya 2 orang saudara kandung bernikah dengan pasangan masing-masing:-

i)  Dalam satu hari tetapi berlainan masa

ii) Dalam satu tahun tetapi berlainan hari? (sebab apa yang saya tahu orang mengatakan tidak baik)

Jawapan.

1 – Walaupun baru 2 bulan dan belum cukup sifatnya, perbuatan menggugurkan kandungan tersebut tetap haram dan berdosa. Ini samalah dengan membunuh satu nyawa!

2 – Jika sebahagian dari anggota kita terpotong akibat penyakit atau kemalangan atau seumpamanya, tidak perlu ia disempurnakan seperti jenazah. Memadailah ianya dibersihkan dan ditanam di tempat yang selamat.

3 – Dalam hukum perniagaan Islam, tidak ada perbezaan harga sama ada sesuatu barang itu dibeli secara tunai atau berhutang. Oleh itu, perbezaan harga jika membeli secara hutang itu boleh dianggap sebagai riba.

4 – Tidak ada tegahan untuk pernikahan yang sedemikian, asalkan mereka mengikuti hukum-hukum nikah.

Dipetik dari  Kemusykilan Agama, Dijawab oleh Ustaz Abu Bakar. Majalah Keluarga, Jun 1987.

About these ads