Salaam alaikum w.b.t.. Pilihanraya di Malaysia sudah berakhir, maka bolehlah sekarang kita menumpukan perhatian kita kepada pilihanraya di Amerika pula iaitu antara Barack Obama menentang Hillary Clinton. Tetapi bukan pasal pilihanraya di Amerika yang saya nak karang di sini. Tidak kah anda tahu bahawa ada baiknya berlaku persaingan lebih-lebih lagi dalam politik? Saya bawakan satu contoh persaingan yang sihat. Dalam bidang IT misalnya, jika ditakdirkan hanya Intel yang menjadi penjual pemproses komputer, nescaya harga komputer tidak akan kita perolehi semurah sepertimana yang ada sekarang. Kita sudah maklum syarikat Intel itu syarikat yang mahu menguasai pasaran hardware komputer terutamanya cip pemproses.

Maka dengan adanya pesaing rapatnya iaitu AMD, maka harga pemproses dapat dijaga agar tidak melonjak naik akibat kerakusan peniaga-peniaga kapitalis. Dengan sebab itu, persaingan dengan sendiri nya menyebabkan harga barang pun akan terkawal dan adakalanya sentiasa turun kerana persaingan tersebut. Dan hasilnya , pengguna juga yang untung kerana dapat membeli barang dengan harga yang lebih murah.

Begitulah juga dengan barang-barang lain, dengan adanya persaingan maka harga barang akan sentiasa terkawal dan tidak terjadi kes monopoli dalam perniagaan. Oleh itu persaingan sebenarnya adalah suatu yang sihat (jika dijalankan secara sihat tanpa berbalah, dan melakukan kezaliman antara satu sama lain).

Sama lah juga dalam politik sekarang, jika sesuatu pihak dibiarkan berleluasa, maka mereka mungkin akan menjadi leka dan merasa semua orang hanya bergantung padanya. Maka tindakan-tindakan pun akan dibuat secara sambil lewa dan tidak bersungguh seperti mana jika adanya pesaing yang sentiasa bersaing dengannya. Sebab itu lah perlu ada golongan yang cuba untuk menyuruh membuat kebaikan dan melarang membuat kemungkaran. Barulah golongan yang berkuasa tadi ada juga peringatan terhadap mereka. Kalau tidak mereka mungkin akan semakin lalai dan sebagainya ……. Manusia yang tidak mahu menerima nasihat dan teguran baik dari manusia lain adalah manusia yang angkuh, betul tak?

Sedangkan nabi dan sahabat sewaktu memerintah pun menyuruh rakyatnya agar memberi peringatan kepada mereka apabila mereka lupa, inikan kita manusia zaman sekarang. Seperti mana yang saya selalu sebut sebelum ini, manusia digelar oleh Allah dalam AlQuran sebagai INSAN. INSAN asalnya dari perkataan ARAB iaitu nisyan, maknanya LUPA. INSAN itu sendiri bermakna PELUPA. Maka kita semua adalah orang yang sentiasa lupa dan mesti sentiasa diberi peringatan. Maka dengan ini, pentingnya persaingan kerana pesaing kita tadi secara automatik dapat memberi peringatan kepada kita.

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

اِنَّمَا اَناَ بشر مِثْلُكُمْ اَنْسَى كَمَا تَنْسَوْنَ وَاِذَا نَسِيْتُ فَذَكَّرُوْنِيْ.

“Sesungguhnya aku hanyalah manusia seperti kamu, aku lupa sebagaimana kamu lupa, maka apabila aku lupa ingatkanlah aku”. [HR Bukhari, Muslim, Abu Daud, Nasaii dan Ibn Majah].

Saidina Abu Bakar as-Siddiq pernah berkata sewaktu menjadi khalifah;

“Taatilah kepada aku selagi aku taat kepada Allah. Sekiranya aku menyeleweng atau melanggar perintah Allah jangan taat kepada aku. Tentanglah aku sehingga aku kembali kepada hukum Allah.”

Demikianlah ucapan Sayidina Abu Bakar as-Siddiq ketika dilantik menjadi khalifah, selepas wafatnya baginda Rasulllah s.a.w

 

Semoga dengan perubahan kuasa pemerintahan di Malaysia sekarang ini akan membawa keadaan yang lebih baik lagi. Semoga tiada pihak yang terlalu lantang sehinggakan melebihi batas-batasnya. Ingatlah antara pesan nabi kita bahawa Islam akan kembali gemilang di akhir zaman melalui Timur. Dan Timur itu adalah negara-negara di rantau ini termasuk negara kita Malaysia, Indonesia, Singapura dan sebagainya ni. Dan kegemilangan Islam akan membawa keamanan sejagat kembali, kerana sebagaimana kita tahu peperangan masih tidak berhenti-henti sekarang terutamanya di Timur Tengah sana. Ramai orang Islam menjadi mangsa kekejaman zionis, menjadi mangsa penindasan dengan tidak boleh pakai itu ini, menjadi manusia yang dilabelkan sebagai pengganas (pada hal mereka hanya mempertahankan tanahair mereka). Golongan yang menjajah itu juga lah yang mengaku sebagai HERO pada hal mereka mahu merampas hak dan tanah orang lain tanpa ada hati dan perasaan terhadap sesama manusia yang berasal dari ibu dan bapa yang sama, na’uzubillah.

Semoga kita semua akan lebih bersatu nanti dengan lebih bertoleransi dan berdamai antara satu sama lain.

Allah Ta’ala berfirman:

“Tiada kebaikannya sama sekali dalam banyaknya pembicaraan rahsia mereka itu, melainkan orang yang memerintahkan bersedekah, menyuruh berbuat kebaikan serta mengusahakan perdamaian antara seluruh manusia.” (an-Nisa’: 114)

Allah Ta’ala berfirman lagi:

“Dan berdamai itu adalah yang terbaik.” Allah Ta’ala berfirman pula:

“Maka bertaqwalah engkau semua kepada Allah dan damaikanlah antara sesamamu sendiri.” (al-Anfal: 1)

Juga Allah Ta’ala berfirman:

“Hanyasanya kaum mu’minin itu adatah sebagai saudara, maka damaikanlah antara kedua saudaramu.” (al-Hujurat: 10)

Pihak-pihak yang menyalah-guna kuasa sebelum ini diharapkan dapat belajar dari kesilapan dan insaf dengan perbuatan tersebut. Marilah sama-sama kita maaf-memaafi antara satu sama lain dan membuka lembaran baru agar lebih bekerjasama dan lebih berhati-hati demi kemaslahatan rakyat semuanya. Wahai para pemimpin termasuklah kita sendiri;

Allah Ta’ala berfirman:

“Dan rendahkanlah sayapmu – yakni bersikap merendahkan dirilah – kepada orang yang mengikutimu dari golongan kaum mu’minin.” (as-Syu’ara’: 215)

Allah Ta’ala berfirman lagi:

“Sesungguhnya Allah menyuruh dengan keadilan, berbuat baik dan memberi sedekah kepada kaum kerabat serta melarang perbuatan keji, kemungkaran dan kederhakaan. Allah menasihatkan kepadamu semua, supaya engkau semua dapat memperolehi peringatan.” (an-Nahl: 90)

Dari Abu Ya’la iaitu Ma’qil bin Yasar r.a., katanya: “Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Tiada seorang hamba pun yang diserahi oleh Allah untuk menggembala suatu penggembalaan – yakni memimpin sesuatu ummat atau bangsa, lalu ia mati pada hari kematiannya, sedang di kala itu ia dalam keadaan menipu pada penggembalaanya, melainkan Allah mengharamkan padanya untuk masuk syurga.” (Muttafaq ‘alaih)

Dari Aisyah radhiallahu ‘anha, katanya: “Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda dalam rumahku demikian:

“Ya Allah, barangsiapa yang menguasai sesuatu dari urusan pemerintahan ummatku, kemudian ia membuat kesengsaraan pada mereka, maka berilah kesengsaraan kepada orang itu sendiri, sedang barangsiapa yang menguasai sesuatu dari urusan pemerintahan ummatku, kemudian ia menunjukkan kasih-sayang kepada mereka, baik ucapan atau pun perbuatannya, maka kasih-sayangilah orang itu.” (Riwayat Muslim)

Dari Abu Hurairah r.a., katanya: “Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Kaum Bani Israil itu selalu dipimpin oleh para Nabi, iaitu setiap ada seorang Nabi yang meninggal dunia, maka digantilah oleh Nabi lainnya. Sesungguhnya saja tiada Nabi lagi sepeninggalku nanti. Akan datanglah sesudahku beberapa khalifah – para pengganti, maka banyaklah jumlah mereka itu.”

Para sahabat berkata: “Apakah yang Tuan perintahkan pada kita pada saat itu?” Beliau s.a.w. bersabda: “Penuhilah dengan pembai’atan yang pertama – yakni patuh pada pemerintahan itu serta memerangi orang yang menentangnya, kemudian berilah kepada khalifah-khalifah itu akan hak mereka – yang wajib dipenuhi-dan mohonlah kepada Allah apa-apa yang semestinya menjadi hakmu semua – iaitu supaya dikasih-sayangi oleh pemerintahan itu serta diusahakan mana-mana yang bermanfaat dan dihindarkan dari bencana, kerana sesungguhnya Allah akan menanya kepada khalifah-khalifah itu perihal cara penggembalaan mereka kepada ummatnya.” (Muttafaq ‘alaih)

Dari ‘Aidz bin ‘Amr r.a. bahawasanya ia masuk ke tempat ‘Ubaidullah bin Ziad, lalu ia berkata: “Hai anakku, sesungguhnya saya pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya seburuk-buruknya penggembala ialah orang-orang yang keras hati – pada penggembalaannya.” Maka dari itu janganlah engkau termasuk golongan mereka itu.” (Muttafaq ‘alaih)

Dan semoga kebenaran akan tertegak di muka bumi, semoga keamanan dan kesejahteraan manusia sejagat dapat dicapai agar kita semua dapat beribadah kepada Allah S.w.t dengan tenang dan aman. Peace and justice for all 🙂

Rasulullah pernah bersabda:

“Janganlah kamu sanjung aku (secara berlebihan) sebagaimana kaum Nasrani menyanjung ‘Isa bin Maryam alaihisSalam secara berlebihan. Aku hanyalah seorang hamba Allah, maka panggillah aku dengan sebutan: hamba Allah dan Rasul-Nya.” (HR. Abu Daud)

Dari Anas bin Malik Radhiallaahu anhu ia berkata: “Ada beberapa orang memanggil Rasulullah sambil berkata: “Wahai Rasulullah, wahai orang yang terbaik dan anak orang yang terbaik di antara kami, wahai junjungan kami dan anak dari junjungan kami.” Rasulullah segera menyanggah seraya berkata:

 

“Wahai sekalian manusia, katakanlah sewajarnya saja! Jangan sampai kamu digelincirkan setan. Aku adalah Muhammad hamba Allah dan rasul-Nya. Aku tidak sudi kamu angkat di atas kedudukan yang dianugerahkan Allah kepadaku.” (HR. An-Nasai)

“Wahai manusia, sesungguhnya Tuhan kalian adalah satu, dan bapa kalian adalah satu. Ingatlah, tidak ada kelebihan bagi orang Arab ke atas orang bukan Arab; juga tidak ada kelebihan bagi orang yang berkulit hitam atas orang yang berkulit merah, kecuali dengan taqwa.” [HR Ahmab, Ibn Hibban, dan al-Harits]

 

Update 12 Mac 2008

“Kemuliaan dan kemenangan itu dapat dicapai dengan ilmu dan adab, bukan dengan asal keturunan dan bangsa”   – Saidina Ali bin Abi Thalib  k.w

“Hendaklah kamu bersifat adil dan janganlah kamu melakukan kezaliman dan janganlah kamu mungkiri janji dan janganlah kamu bermegah jika engkau telah membuat kebajikan”   –  Saidina Abu Bakar As-Siddik

 

Wallahu a’lam …….