AsSalaam alaikum w.b.t……. “Kamu semua adalah sebaik-baik umat, diutuskan kepada manusia untuk menyuruh berbuat baik, melarang berbuat jahat, dan BERIMAN kepada Allah.” Mafhum dari Surah Ali Imraan – 110. Kita selalu menyuruh orang berbuat baik, dan melarang berbuat jahat, tetapi adakah kita pernah mengajak orang yang belum beriman agar beriman kepada ALlah S.w.t? Dengan kata lain, kita ajak non-muslim beriman dengan ajaran Islam? Jika belum, maka kita belum lagi melakukan keseluruhan dalam ayat yang diperintahkan kepada kita itu, fikir-fikirkanlah.

Dan bagi yang sudah melakukan amar makruf dan nahi mungkar tu, apakah sebenarnya tujuan anda melakukan perbuatan ini? Adakah kerana;

1- Sakit hati tengok orang lain senang (senang kerana bergelumang dengan dosa) , maka kita jadi marah dan tak puas hati kerana emosi semata-mata.

2- Busuk hati dan hasad dengki dengan orang-orang yang berjaya, yang pandai dan seumpamanya, kerana kita tidak dapat berjaya sepertinya, pandai sepertinya. Bukan kita nak bersaing dengannya, tetapi kita cuba menjatuhkannya.

3- Saja mengikut-ngikut orang, kerana orang suruh buat baik, kita pun suruh buat baik. Orang larang buat jahat, kita pun larang buat jahat. Kang tak buat kang malu pulak kat orang, konon-konon kita ni pun baik juga lah. Ataupun sebagai hobi di masa lapang, tanpa matlamat yang jelas.

4- Kerana untuk mendapat habuan wang ringgit. Kerana anda dibayar lebih untuk melakukan demikian.

5- Kerana untuk menunjuk-nunjuk pandai dan alim. Untuk mendapat penghormatan dari manusia dan mendapat pujian serta nama. Mahu mendapat ramai anak murid dan merasa megah dengan ramainya anak murid.

6- Kerana suka mencari balah dengan orang lain dengan bertikam lidah, berdebat mengikut emosi dan merasa puas hati apabila menang dan dapat mengalahkan pihak lawan.

7- Kerana merasakan diri kita sudah terlalu baik sangat dan tidak ada cacat cela sampai kita tidak perasan kita selalu berburuk sangka pada orang lain dan memandang rendah pada orang.

8- Kerana menjalankan perintah Allah, sayangkan manusia dan kasihankan manusia seluruhnya, takutkan bala Allah di dunia dan azab Allah yang amat pedih di akhirat.

So dalam kategori manakah anda termasuk? Cuba fikir-fikirkan dan muhasabah kembali diri kita. Apakah niat kita sebenarnya dan ke manakah hala tuju dan destinasi kita?

Saya mahu membawa satu kisah yang berlaku baru-baru ini di kampung saya. Saya ceritakan serba ringkas sahaja di sini ya. Ada seorang guru mengaji AlQuran yang ramai anak muridnya. Dan ada suatu hari tu seorang anak murid dia bertanya pendapatnya. Anak murid tu kawan kepada kawan emak saya. So kawan mak saya itu sendiri yang bercerita kepada emak saya.

Anak murid tadi bertanya pendapat dari guru mengaji dia tu, tentang bagaimana dengan kata-kata Tok Guru Nik Aziz yang mengatakan ambil sahaja apa2 yang diberikan oleh kerajaan. Kerajaan bagi subsidi ambil, kerajaan bagi wang ehsan ambil, kerajaan bagi itu ini ambil belaka. Tetapi apabila memangkah dalam pilihanraya, pangkah PAS.

Nak tahu apa guru mengaji tadi jawab? Dia kata, ulamak yang seperti itu lah yang akan mula-mula sekali masuk neraka nanti!!!! Astaghfirullah, isy7 Kata dia, ulamak begitu la yang jenis tidak mengenang budi, makan harta kerajaan tapi tak bersyukur.

Haiizz mengapa dia tak begitu faham erti bersyukur pada ALlah. Kalau kita faham rezeki semua dari ALlah, kita tidak akan mengatakan begitu. Sedangkan Nabi Musa a.s dari kecil sampai besar dibela oleh Firaun. Firaun bagi dia segalanya, makan , minum , pakai dan macam-macam. Tetapi mengapa apabila dia besar dia mesti menentang Firaun? Kerana Firaun tidak taat kepada Allah lah. Maka rezeki Nabi Musa itu bukanlah Firaun yang buat sendiri, tetapi datangnya dari ALlah. Maka yang kita mesti utamakan adalah Allah, bukan manusia yang hanya sebagai perantaraan rezeki tersebut. Dah kalau seorang manusia sudah tidak taat pada Allah, kita sudah tidak boleh mentaatinya.

Dan paling saya sedih dengan kata-kata guru mengaji tadi ialah, sanggup dia mengatakan bahawa ulamak seperti Nik Aziz lah yang akan mula-mula masuk neraka! Syurga dan neraka tu milik kita ke? Kita tahu ke kita ni akan jadi ahli syurga nanti? Kita dapat tengok belaka dah ke seperti Nabi Muhammad S.a.w dah tengok?

Sebab itu jangan main-main soal syurga dan neraka. Jangan pandai-pandai kita kata orang itu ahli neraka atau syurga, kerana kita masih tidak tahu masa depan. Mungkin hari ini seorang itu kafir tetapi esok lusa dia peluk Islam, ataupun hampir nak mati malaikat datang ajar dia mengucap, hasil dari budi pekertinya yang baik di dunia ini. Dan juga sebaliknya, jika sekarang kita duk melaung-laungkan Islam , tetapi pada sakaratul maut kita nanti tiba-tiba syaitan datang dalam bentuk menyamar sebagai Nabi Isa a.s. Dan dia suruh ikut ajaran Kristian kerana dia kata Kristian la yang betul. Hmm kalau kita mengakuinya masa itu maka mati lah kita dalam Kristian, na’uzubillah – Ini antara tipu daya syaitan (talbis iblis) yang terakhir dalam hidup seorang Anak Adam, iaitu di saat sakaratul maut – syaitan akan kerah tenaga sedaya upaya, The Last Shot! ).

Sebab itu kita jangan angkuh merasakan kita ni dapat menentukan siapa ahli neraka. Jangan sekali-kali mengatakan seorang itu kafir, melainkan dia dah nyata mengaku kafir dan tidak beriman kepada ALlah.

Saya tidak tahu, guru mengaji tadi dapat ajaran dari mana ntah sampai berani mengatakan ulamak seperti Tok Guru Nik Aziz yang mula-mula masuk neraka, na’uzubillah. Dia berkata dengan penuh emosi pulak tu. Kalau kita nak marah sekalipun, jangan sampai berani mengatakan seseorang itu ahli neraka, kerana kita semua adalah hamba, hamba belaka. Syurga neraka adalah hak ALLAH, kita hanya diberi fikiran untuk berusaha mengelakkan dari masuk neraka sahaja.

Kita sama-sama lah doakan agar dia terbuka hati, dapat hidayah dari ALlah agar tidak busuk hati pada sesama Islam sampai sebegitu rupa.

Amar makruf nahi mungkar kita jalankanlah, tapi jangan sampai kita berani meletakkan orang itu ahli neraka. Kita cuba tegur keburukan yang berleluasa pun demi kita sayangkan orang yang kita tegur tadi. Kita tak mahu dia lagi susah di belakang hari, maka kita cuba peringatkan dia, bukan bermakna kita benci kepada dia tetapi benci kepada perbuatan sahaja, jangan pulak kita mendoakan dia masuk neraka. Tujuan kita tegur dan marah tu adalah kerana kita sayangkan dia. Kita tak mahu dia mengalami kesulitan yang teramat dalam sesi soal jawab dalam kubur dan di Mahsyar nanti, na’uzubillah. Kalau boleh kita pakat nak masuk syurga belaka, tetapi bukanlah kita semata-mata nak syurga. Tetapi dah tiada alternatif lain, kalau tak syurga maka neraka lah jawabnya, na’uzubillah. Semoga kita tak sombong dengan mengatakan kita sanggup masuk neraka. Amiiiin. Azab kat dunia pun dah kita tak tahan semuanya, inikan pula neraka yang tidak dapat dibayangkan kedasyatannya, na’uzubillah.

Kita ini bukannya Nabi Muhammad S.a.w yang Allah sudah ilhamkan kepada baginda dapat melihat siapa-siapa dalam neraka nanti. Kita ini bukannya seperti Saidina Umar yang kasyaf, yang sudah dapat melihat seorang yahudi tu bakal menggugat dan melawan Islam kelak, sampai dia terus memenggal kepala seorang yahudi tu. Kita ni hanya umat Muhammad S.a.w yang serba lemah, maka bukan hak kita untuk menentukan siapa ahli neraka dan siapa ahli syurga. Semua itu adalah kepunyaan ALLAH S.w.t Yang Maha Agung lagi Bijaksana. ALlahu akbar, Allahu akbar!

Cuba kita imbas kembali satu kisah zaman nabi. Ada seorang perempuan yang beribadat siang malam, biasa bangun solat tahajjud, sentiasa puasa, tetapi apabila sahabat tanya pendapat rasulullah s.a.w berkenaan perempuan itu, maka Rasulullah kata perempuan itu adalah ahli neraka. Ini kerana dia sentiasa busuk hati pada jiran dia, sentiasa menyusahkan jiran dia dan mengumpat-ngumpat jiran dia tu. Tetapi walaupun Rasulullah mengatakan perempuan itu ahli neraka, tak bermakna kita pun mudah-mudah boleh katakan orang itu ini ahli neraka. Rasulullah dapat mengatakannya kerana baginda telah diilhamkan dan ditunjukkan oleh Allah S.w.t. Itu mukjizat baginda yang tiada pada kita. Maka kita yang tiada mukjizat ni jangan pulak pandai-pandai nak berlagak seperti ada mukjizat.

Dan jiran perempuan tadi yang ibadahnya ala kadar je, tetapi kerana baik hatinya, maka Rasulullah mengatakan bahawa dia ahli syurga, alhamdulillah. Maka pesan saya kepada diri sendiri dan siapa sahaja, berbaik sangka lah, berbaik hati lah, jauhkan sejauhnya BUSUK HATI.

Wallahu a’lam 🙂