Salaaam alaikum w.b.t… dan selamat sejahtera. Matematik adalah tunjang kepada perkembangan teknologi sekarang. Teknologi Maklumat, Elektronik, Mekanik, robotik dan sehinggakan untuk membuat sebuah bangunan pun perlu kepada pengiraan ataupun matematik. Gambar-gambar 3D dan animasi pun tidak dapat terhasil jika tiada kepandaian dalam matematik kerana semua gambar dan animasi tersebut melibatkan pengiraan oleh mikropemproses dan pemproses grafik. Tanpa kepandaian dalam matematik, semua ini tidak mampu untuk berkembang dengan baik. Semua itu menunjukkan tanda-tanda kekuasaan pencipta kita iaitu Allah S.W.T juga.

Tetapi tahukah anda, bahawa banyak kaedah matematik telah dipelopori oleh sarjana-sarjana Islam dahulu kala? Dengan kata lain, tanpa kaedah-kaedah tersebut kemungkinan besar dunia tidak boleh berkembang pesat seperti hari ini. Dan cuba anda renung-renungkan, sebelum kedatangan Islam, manusia sudah hidup selama 6 ribu tahun lebih sejak dari nabi Adam. Tetapi perkembangan tamaddun dunia dan kemajuan tidak lah terlalu pesat dan hebat seperti sekarang. Tetapi sejak Islam tersebar meluas, dunia semakin maju dengan mendadak dan lihatlah hasilnya sekarang ini.

Faktor terbesar kemajuan ini pun kerana banyak orang-orang barat mencedok ilmu dari sarjana-sarjana Islam dan dari AlQuran. AlQuran bukan sahaja mengandungi perintah, larangan Allah dan kisah-kisah zaman dahulu kala dan kisah akan datang, tetapi amat relevan dengan ilmu sains yang ada sekarang kerana ia mengandungi maksud yang tersurat dan tersirat. Itulah kebesaran Kalam Allah pencipta seluruh makhluk.

Maka setelah barat mencedok banyak asas-asas ilmu dari Islam, mereka mula mengkaji dan semakin mempertingkatkan lagi prestasi sehinggakan kemajuan-kemajuan terkini dipelopori oleh mereka pula. Umat Islam semakin lemah kerana asyik nak bertikam lidah sesama sendiri dan dibelenggu dengan sifat malas dan seumpamanya. Walaupun begitu, barat sepatutnya bersyukur kepada Allah kerana menganugerahkan mereka keupayaan untuk berfikir tentang ilmu-ilmu dunia itu dan sepatutnya juga berterima kasih kepada Islam. Ini kerana asas-asas dalam matematik banyak dipelopori oleh sarjana-sarjana Islam dahulu kala dan banyak asas matematik mereka dapat cedok dari AlQuran. Sebab itu dalam kemahiran apa pun, asas itu penting. Tanpa asas macam mana kemahiran mahu berkembang?

Antara pusat perkembangan ilmu matematik dulu adalah di Baitul Hikmah di Baghdad, Iraq dan juga di Iran. Al-Khawarizmi telah memperkenalkan algebra menerusi bukunya Al Jabr yang membawa maksud ‘pengembalian keseimbangan bagi kedua-dua bahagian persamaan’. Dia juga telah memperkenalkan angka dari simbol arab di dalam empayar Islam yang kemudian di bawa ke Eropah. Kandungan buku AlJabr tadi kemudiannya ditukar ke bahasa Latin yang mula muncul di Eropah pada abad ke 12.

Tokoh matematik seperti Fibonci, Master Jacob dan Leonardo telah terpengaruh dan menceduk teori matematik al-Khawarizmi dalam kajian mereka. Beliau telah merekabentuk satu kaedah am untuk mencari punca nyata kepada sebarang persamaan. Kaedahnya hisab al-khatayan telah diterjemahkan ke bahasa Latin oleh Gerard of Cremona seterusnya di terjemah ke Bahasa Inggeris. Angka juga dikenali sebagai “algorismus dan ‘logaritma” sempena nama al-Khawarizmi.

Omar Khayyam pula telah mengenengahkan asas persamaan kubus menerusi segmen garisan yang melengkapi setiap bahagian bagi ciri reka bentuk terbabit. Sumbangannya dalam algebra dikenali di serata Eropah dan lebih jelas lagi apabila turut membuat perubahan sistem kalendar ketika itu. Khayyam membuat persamaan buku algebra yang dihasilkannya sebagai segitiga pascal. Pemahaman algebra daripada perspektif Khayyam dikenali sebagai penyelesaian linear geometri dan persamaan kuadratik menerusi penggunaan kaedah yang wujud daripada elemen Euclid.

Al-Khashi pula membuat perkiraan 1 (pi) ke-16 tempat perpuluhan yang dianggap terbaik sehingga 1700. Dia yang berasal dari Iran itu turut menghasilkan penulisan bertajuk The Reckoner’s Key yang merumuskan aritmetik dan kerjanya bagi kandungan algebra serta geometri.

Al-Biruni yang mula dikenali antara 973 sehingga 1048 CE menterjemahkan hasil kerja Euclid kepada Sanskrit (bahasa India) pada ketika itu. Beliau turut membuat perkiraan terhadap lilitan bumi menerusi pengiraan jarak di sekeliling bumi di samping mengetengahkan sistem radius yang lebih tepat bagi tujuan sukatan untuk kegunaan hari ini.

Nasir Al-Din Al-Tusi adalah pelopor dalam kajian trigonometri sfera yang membabitkan enam rumusan asas bagi penyelesaian segitiga sudut kanan sfera. Antara sumbangan terpentingnya dalam dunia matematik adalah langkah beliau menampilkan trigonometri sebagai sebagai sebahagian daripada matematik baru. Perkembangan itu menjadi pendorong untuk beliau mula dikenali sebagai bapa trigonometri.

Al-Buzanji yang menguasai ilmu geometri dan mampu beri pandangan baru yang menarik. Karya yang banyak termasuk ilmu hisab, falak dan ulasan buku Khawarizmi tentang algebra. Memberi sumbangan terutama dalam teori2 geometri dan menghubungkan algebra dengan geometri. Merintis bidang pengajian geometri analisis.

Ibrahim Yahya al-Naqqasy al-Qurtubi, terkenal dengan al-Zarqali. Hasil penulisan beliau tentang pergerakan cakerawala dianggap paling maju pada masa beliau itu.

Dan ramai lagi sarjana Islam yang memperkenalkan kaedah matematik dan cabang-cabang ilmu lain yang masyhur suatu ketika dulu. Dan adalah pasti, manusia tidak dapat berfikir sejauh ini tanpa adanya wahyu dari langit. Dengan ajaran para nabi dahulu, perkembangan pemikiran manusia mula terserlah. Para nabi dulu pun ada kepakaran keduniaan masing-masing selain alim dalam ilmu agama. Contohnya Nabi Nuh dengan kemahiran membuat kapal besar (bahtera), Nabi Daud dengan kemahiran bertukang besi, Nabi Muhammad S.a.w dengan bermacam-macam kemahiran dan begitu juga dengan nabi-nabi lain.

Kepandaian manusia sedikit demi sedikit beransur maju dengan panduan dari para nabi dan ilmu-ilmu yang disampaikan oleh malaikat-malaikat, yang semua itu menunjukkan kebesaran Allah S.w.t. Cuma apa yang kita perlu perhatikan lagi iaitu nabi Muhammad S.a.w mengatakan yang kiamat sudah hampir tiba. Perkembangan ilmu pengetahuan pun sudah tiada batasan lagi sekarang dengan meluasnya penggunaan Internet dan bermacam-macam medium penyebaran ilmu lagi.

Maka kesimpulannya di sini, barat mestilah berterima kasih kepada sarjana-sarjana Islam dan juga kepada Islam sendiri dan tidak seharusnya mendabik dada mengatakan teknologi yang berkembang hari ini adalah milik mereka semata-mata.

Rujukan:

1- Zef Othman.

2- Tokoh-tokoh kesarjanaan Sains Islam – Prof. Mahmood Zuhdi

About these ads