Vanila ataupun nama saintifiknya iaitu Vanilla planifolia merupakan sejenis tumbuhan  menjalar dari keluarga orkid yang berasal dari Mexico dan kini banyak ditanam di kawasan tropika. Hasil yang berguna  dari pokok Vanila ini ialah buah yang berbentuk pisang yang menghasilkan esen vanila. Esen itu digunakan untuk memberi rasa kepada gula-gula, ais krim, kuih-muih dan minuman-minuman.

Tumbuhan ini mempunyai daun-daun yang tebal , tirus dan berwarna hijau. Akar-akar udara tumbuh daripada batangnya, bertentangan dengan daun. Bunga-bunga yang berwarna kuning kehijauan terdapat pada jambak-jambak. Buahnya yang berbentuk pisang berukuran daripada 12 hingga 18 sm.

Tumbuhan ini hidup subur di kawasan iklim yang lembab dan panas dengan suhu 70 hingga 90F dan hujan tahunan lebih kurang 100 inci. Ia memerlukan musim kemarau sekurang-kurangnya 2 bulan untuk berbunga. Pokok vanila ditanam dengan teknik keratan batang. Setelah 2 atau 3 tahun tumbuh maka bunga mulai keluar. Buah-buah terjadi setelah 4 hingga 9 bulan masa berbunga.

Buah-buah ini dikutip sebelum ia masak, iaitu apabila warnanya berubah dari hijau menjadi kuning. Untuk mendapatkan 1 lb vanila bersih, lebih kurang 200 biji buahnya diperlukan. Hasil yang biasa didapati ialah antara 10 lb hingga 100 lb vanila bersih, daripada seekar tanaman dalam setahun.

Sejarah vanila

Vanila telah ditemui oleh orang Sepanyol yang diketuai oleh Bernal Diaz del Castillo pada 1952. Pada masa itu, vanila digunakan oleh kaum Asli Mexico (kaum Totanaca) sebagai penyegar minuman coklat. Selain itu, buah vanila hanya digunakan untuk menambah kesedapan tembakau. Pokok vanila tumbuh segar dan berbunga apabila ditanam di Eropah pada 1721 tetapi tidak berbuah kerana gagal dalam pendebungaan. Biasanya pendebungaannya dibantu oleh lebah Melipone yang tidak sesuai dengan cuaca Eropah.

Pada tahun 1836, Charles Morren dari Belgium berjaya menemui kaedah pendebungaan tanaman ini dengan menggunakan tangan yang kemudiannya kaedah itu dipertingkatkan oleh Edmond Albius pada 1841.

Tanaman vanila bertapak di Indonesia pada 1819 apabila dibawa masuk oleh Merchal dan kemudiannya meluas ke sebahagian Indonesia apabila Yasman berjaya menghasilkan kaedah pendebungaan pada 1850. Vanila mula ditanam di Pulau Jawa kemudian ke Bali, Acheh dan Sumatera Barat. Vanila dari Pulau Jawa terkenal kerana kualitinya yang mengandungi vanilin yang tinggi dan dikenali sebagai Java Vanilla Bean.

Rujukan :

1 – Majalah Dewan Siswa , Mac 1990

2 – http://ms.wikipedia.org/wiki/Vanila