Teori molekul menyatakan bahawa semua jirim terdiri dari zarah-zarah halus yang dinamakan molekul. Molekul ini pula mengandungi zarah-zarah yang lebih halus yang dinamakan atom. Jirim boleh diuraikan kepada juzuk-juzuk yang terhalus iaitu atom.

Orang Greek percaya kepada teori jirim tak selanjar (discontinuous theory of matter) yang menyatakan bahawa satu-satu benda, jika terus dibahagi berkali-kali (infinite numbers of time) akan menghasilkan ‘benda halus’ yang masih serupa dengan benda asalnya.

John Dalton dalam tahun 1803 telah mengemukakan pertama kalinya gambaran jirim yang terdiri dari atom. Kenyataan-kenyataan asal Dalton berkenaan teori ini telah dipinda. Teori atom yang moden mengatakan bahawa;

– Semua jisim terdiri daripada zarah-zarah halus yang dinamakan atom.

– Jenis atom yang berlainan adalah sama banyaknya dengan jenis unsur.

– Atom-atom yang sejenis adalah sama atau hampir-hampir sama beratnya.

– Atom boleh berpadu antara satu sama lain dalam sebatian.

Walaupun atom-atom itu juzuk jirim, ahli-ahli sains tahu bahawa zarah yang paling halus terhasil dari penguraian sesuatu benda dan masih mempunyai sifat-sifat benda asal ialah molekul. Oleh kerana molekul tersangat kecil, hanya alat yang dipanggil ‘teropong halus elektron’ yang dapat memberikan pandangan apakah yang terkandung dalam nukleus atom itu. Nukleus satu-satu atom adalah kira-kira 1/10,000 kali garis pusat seluruh atom itu sendiri.

Jika ahli-ahli sains boleh mengambil nukleus atom sahaja dengan tidak mengambil ruang-ruang di antara nukleus dan elektron, dunia ini akan menjadi sebesar bola tenis tetapi berat seperti sekarang ini. Semua manusia boleh diletak dalam kulit kacang tetapi mempunyai berat yang sama.

Rujukan :

1 – Majalah Dewan Siswa, Mac 1990