Assalaamu’alaikum w.b.t….. Hari-hari kita mesti berdepan dengan bermacam perangai dan jenis manusia. Bilangannya tidak spesifik dan berbeza pada berlainan manusia. Dan yang pasti, tidak mustahil dalam hari-hari yang kita jalani ini kita ada menyakitkan hati orang dan menyusahkan orang, sama ada secara sengaja atau tidak sengaja.

Sesuatu perkara yang dilakukan dengan tidak sengaja biasanya dimaafkan dalam Islam, kerana “Setiap amal itu dikira berdasarkan niat”. Maka kita tumpukan pada perkara yang sengaja kita lakukan. Mungkin ada di kalangan kita yang suka orang takut pada dia. Suka orang lain susah. Suka orang lain tidak tinggi darinya. Suka orang lain koman darinya dan sebagainya. Maka dengan sifat-sifat demikian mungkin akan timbullah perangai suka menyusahkan dan menyakitkan hati orang lain.

Saya ambil contoh , jika sekiranya kita menjadi pengurus dalam sesebuah syarikat. Ada pengurus yang suka orang lain takut pada dia. Dan tidak kurang juga yang suka membebankan anak-anak buah nya dengan kerja yang bertimbun-timbun demi ingin mencari kekayaan peribadi. Maka jika kita tergolong begitu, maka kasihanilah diri kita sendiri, janganlah membebankan orang lain dengan bebanan yang berat demi mahu mencapai matlamat kita. Dengan kata lain, jangan lah menyusahkan orang lain. Kerana apa? Kerana dengan menyusahkan orang lain sedikit-demi sedikit hari-hari maka lama-lama akan terkumpul menjadi banyak. Dan dibimbangi kesusahan yang kita akan tanggung sebagai balasan perbuatan kita itu akan lebih dasyat, teruk dan siksa lagi di masa akan datang? Maka tidak takutkah lagi anda? Berani lagi untuk menyusahkan anak-anak buah anda dengan tidak sepatutnya?

Begitu juga kepada orang yang suka tengking-tengking anak-anak buahnya dan orang lain. Menyebabkan orang sentiasa takut dan tidak selesa bersamanya. Apa gunanya orang takut pada kita tetapi di hati kecil mereka tiada perasaan hormat langsung kepada kita? Sebaiknya sekadar orang menghormati kita pun sudah memadai, tidak perlu lah kita menyeksa orang lain dengan perasaan takutnya pada kita. Jika anda suka dalam keadaan demikian, dibimbangi pada masa akan datang anda akan mengalami perasaan takut yang amat sangat dan ditimpa kesusahan yang amat dasyat.

Tidak perlu tunggu kita menjadi pengurus, kita hidup berjiran pun sudah cukup untuk kita berfikir. Elakkanlah dari menyakiti hati jiran, memburuk-burukkan mereka dengan tidak sepatutnya, membuatkan mereka takut dan cuak pada kita dan seumpamanya. Sama-samalah kita cuba untuk mengelakkan diri kita dari sengaja menyusahkan orang lain, sebelum kita mendapat susah yang amat sangat, na’uzubillah. Baarokallahu lakum. Wallahu a’lam 🙂