Asssalaamu’alaikum warohmatullahi wabarokaatuh ……. Sememangnya sudah diketahui umum bahawa Saidina Abu Bakar As-siddiq r.a  adalah sahabat Nabi Muhammad yang menjadi khalifah pertama dalam Islam. Di sini saya tidak mahu menceritakan sejarah beliau tetapi untuk menguatkan hujjah-hujjah yang lepas berkenaan dengan kepemimpinan dalam Islam.

Sebagaimana kita tahu, Rasulullah S.a.w adalah nabi terakhir dan sudah tentulah baginda tidak akan mengengkari perintah-perintah Allah dan melakukan maksiat. Akan tetapi sahabat-sahabat baginda tidak terlepas dari dosa walaupun dosa kecil kerana mereka bukan maksum,  hanya Nabi Muhammad S.a.w yang ma’sum, ok jelas di situ.

Dan kita pernah dengar hadith

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda.

“Maka barangsiapa yang menjumpai itu (perpecahan umat) hendaknya dia berpegang kepada Sunnahku dan Sunnah para kholifah yang menunjukkan kepada kebaikan dan mendapat petunjuk, gigitlah Sunnah ini dengan gigi geraham” [HR Tirmidzi 2600 dan lainnya dishahihkan Al-Albani lihat Silsilah As-Shahihah 6/610]

Nampak bahawa kita mesti berpegang pada sunnah Rasulullah S.a.w dan juga sunnah para sahabat. Bermakna kepada Saidina Abu Bakar pun kita mesti berpegang kepada kata-katanya kerana dia adalah pewaris nabi. Maka Saidina Abu Bakar r.a pernah berkata;

Setelah Abu Bakar memuji Allah, “amma ba’du, para hadirin sekalian, sesungguhnya aku telah dipilih sebagai pimpinan atas kalian dan bukanlah aku yang terbaik, maka jika aku berbuat kebaikan maka bantulah aku. Dan jika aku bertindak keliru maka luruskanlah aku. Kejujuran adalah amanah, sementara dusta adalah satu pengkhianatan. Orang yang lemah di antara kalian sesungguhnya kuat di sisiku sehingga aku dapat mengembalikan haknya kepadanya insyaAllah. Sebaliknya siapa yang kuat di antara kalian maka dialah yang lemah di sisiku hingga aku akan mengambil darinya hak milik orang lain yang diambilnya. Tidaklah suatu kaum meninggalkan jihad di jalan Allah kecuali Allah akan timpakan kepada mereka kehinaan, dan tidaklah suatu kekejian tersebar di tengah suatu kaum kecuali azab Allah akan ditimpakan kepada seluruh kaum tersebut. Patuhilah aku selama aku mematuhi ALlah dan rasulnya. tetapi jika aku tidak mematuhinya keduanya maka tiada kewajipan taat atas kalian terhadapku. Sekarang berdirilah kalian untuk melaksanakan solat semoga Allah merahmati kalian.”  (Al Bidayah wan Nihayah – Imam Ibnu Katsir, dan ia mengatakan sanad itu sahih)

Perhatikanlah dengan teliti kandungan pidatonya ini. “Patuhilah aku selama aku mematuhi ALlah dan rasulnya. tetapi jika aku tidak mematuhinya keduanya maka tiada kewajipan taat atas kalian terhadapku.”

Bermakna di situ pemimpin yang menyeleweng dari perintah Allah tidak perlu ditaati. Maka cuba kita fikir sekarang, adakah pemimpin kita betul-betul telah menjalankan perintah Allah? Apakah HUKUM yang digunakan? Sehingga sanggup meletakkan HUKUM BRITISH, Law of Enactment lebih tinggi dari HUKUM Syariah. Mahkamah Syariah pun lebih rendah dari mahkamah majistret,  fikir-fikirkan wahai saudara-saudaraku semua. Sepatutnya Hukum yang dibuat oleh British lebih tinggi atau Hukum Allah lebih tinggi?

Perlu diingat bahawa sumber perundangan Islam ada 4 iaitu AlQuran, AlHadith, Ijma’ Ulamak dan Qias. Dan Ijma’ para sahabat sudah tentunya juga adalah termasuk dalam sumber perundangan Islam, ingat tu🙂

Maka di sini saya tidak mahu anda menderhaka kepada kerajaan, na;uzubillah tidak sekali-kali. tetapi fikirkan lah nasib anak dan keturunan kita akan datang, fikirkan lah nasib rakyat yang teraniaya dan dizalimi. Berusahalah untuk menegur kerajaan, bukan menderhaka kepadanya kerana amar makruf nahi mungkar itu adalah tanggungjawab kita semua. Menegur pula kalau boleh elakkan dari terlalu emosi yang boleh menyebabkan syaitan bertepuk tangan melihat kita bercakaran, na’uzubillah. Sebaiknya gunakan hujjah yang terbaik dan berhikmah setakat yang terdaya, bukannya menunjukkan kemarahan sesedap rasa. Itu tindakan tidak berapa bijak namanya.

“Jihad yang paling afdhal adalah mengatakan yang hak di hadapan pemimpin yang zalim” [HR Ahmad]

Masih ramai yang tersilap faham maksud zalim, mereka fikir zalim itu adalah seperti Firaun iaitu membunuh anak-anak lelaki, menyeksa dan memaksa rakyat menjadi hamba abdi dan seumpamanya. Ketahuilah zalim itu maksudnya ‘meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya’. Sebagai contoh, yang sepatutnya mahkamah Syariah paling tinggi kerana ia mangandungi Hukum Allah, tetapi kita lihat sekarang mahkamah majistret lagi tinggi. Menunjukkan ada yang lebih hebat dalam membuat undang-undang negara dari Allah, na;uzubillah. Ini adalah masalah Aqidah dan Syariah, bukan masalah cabang wahai saudara-saudaraku.

Dari Abu Burdah Radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda.

“Dan sahabatku adalah orang yang dapat dipercaya untuk umatku, maka jika mereka telah pergi, maka akan datang apa yang dijanjikan kepada umatku” [HR Muslim]

Imam Nawawi rahimahullah berkata : “Adapun makna “apa yang dijanjikan” iaitu munculnya bid’ah, perkara baru dalam urusan agama, dan munculnya fitnah” [Syarah Imam Muslim 16/83]

“Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah orang-orang yang bersaudara” [Ali-Imran ; 103]

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda.

“Sesungguhnya Allah meredhai kamu tiga perkara dan membenci kamu tiga perkara ; Dia meredhai kamu apabila kamu beribadah kepada-Nya dan tidak menyekutukan sesuatu kepada-Nya, dan apabila kamu berpegang teguh kepada tali Allah semua dan kamu tidak berpecah-belah” [HR Muslim : 3236]

“Aku tinggalkan kepadamu dua perkara, kamu tidak akan tersesat selamanya iaitu kitab Allah dan Sunnah Nabi-Nya’ [HR Imam Malik 1395 bersumber dari Umar bin Khaththab Radhiyallahu ‘anhu dihasankan oleh Al-Albani di dalam kitabnya Manzilatus Sunnah fil Islam 1/18]

“Dan barangsiapa yang menentang Rasul sesudah jelas kebenaran baginya, dan mengikuti jalan yang bukan jalan orang-orang mu’min. Kami biarkan ia berleluasa terhadap kesesatan yang telah dikuasainya itu dan Kami masukkan ia ke dalam Jahannam, dan Jahannam itu seburuk-buruk tempat kembali” [An-Nisa : 115]

Syaikh Al-Albani berkata : “Benarlah apa yang dikatakan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam, bahawa umat Islam pada zaman sekarang –kecuali sedikit di antara mereka- tatkala mereka tidak berpegang teguh dengan kitab Allah dan Sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam mereka tersesat dan hina, yang demikian itu kerana mereka berpegang kepada pendapat pemimpin mereka.

“Sesungguhnya yang paling aku takutkan dari umatku adalah para pemimpin yang menyesatkan” [HR Tirmidzi 2155 dishahihkan oleh Al-Albani Shahihul Jami’ 2316]

Marilah kita semua bersatu di dalam tali Allah iaitu  AlQuran dan Al Hadith, bukannya bercakaran menggunakan ideologi semata-mata dan memburuk-burukkan peribadi tertentu apa lagi melontarkan FITNAH terhadapnya, na’uzubillah. Kita semua bersaudara, sayang-menyayanglah antara kita. Mati bila-bila masa, semoga hidup kita di dunia yang sementara ini BERMAKNA, amiiin.  Jangan kerana harta dunia kita menjadi tamak haloba dan tidak berhati-perut, nauzubillah

“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).” (Surah Al-Baqarah: Ayat 214)

Wallahu a’lam 🙂

Rujukan :

– AlQuran Al Karim

– Sahih Muslim

almanhaj.or.id

– Al Bidayah wan Nihayah