1)      PENGERTIAN LI’AN

Pada bahasa           :        berjauhan, dipetik dari perkataan “Laknat Allah’  bererti Allah melaknatkan atau menjauhkannya.  Dinamakan li’an, kerana suami isteri itu tidak mendapat rahmat dari Allah atau kerana  kedua-duanya tidak boleh hidup bersama buat selama-lamanya.

Pada syara’            :        Beberapa perkataan yang tertentu yang dijadikan hujjah oleh suami untuk menuduh isteri yang  menjemukan tempat tidurnya dan menutup keaibannya.  Kata-kata ini dinamakan li’an, kerana suami berkata : “Allah melaknat ke atasnya sekiranya ia berdusta.


2)      DALIL LI’AN

Firman Allah Taala’ :

Ertinya :  Orang-orang yang menuduh isterinya berzina, sedangkan saksi tidak ada selain mereka sendiri, maka saksinya ialah empat kali bersumpah dengan Allah, menerangkan bahawa  dia benar dan yang kelimanya, sesungguhnya laknat Allah ke atasnya sekiranya ia berdusta.

(Surah An-Nur : ayat 6 – 7)

Sebab-sebab turun ayat ini ialah kerana Hilal bin Umaiyah telah menuduh di hadapan nabi bahawa isterinya telah melakukan zina dengan Syarik bin Sahma’, maka Rasulullah  telah bersabda kepadanya : saksi atau pun sebab belakang kamu, dan baginda bersabda lagi : apabila salah seorang dari kita melihat lelaki berzina dengan  isterinya maka suami itu mestilah mencari saksi terlebih dahulu sebelum menuduh.  Kata Hilal : demi Allah yeng mengutuskan sebagai  Rasul, sesungguhnya saya adalah  benar dan Allah akan menurunkan  ayat untuk melepaskan aku dari kena hukum atau denda.  Tidak  berapa lama kemudian Allah pun menurunkan ayat ini.

Akibat dari li’an suami, timbullah beberapa hukum seperti  berikut :

1.      Dia tidak diseksa (dipukul)

2.      Si isteri wajib dihukum had (dera) mengikut had zina

3.      Suami isteri bercerai buat selama-lamanya

4.      Kalau ada anak, anak itu tidak dapat diakui oleh suami

Untuk melepaskan isteri dari seksa zina (rejam) dia boleh berli’an pula sebagai membalas li’an suami, ini berdasarkan firman Allah :

Ertinya : dan terlepaslah seksaan dari isteri yang dili’an itu dengan mengucapkan empat kali sumpah dengan Allah, bahawa suaminya itu berdusta, ada yang kelimanya sesungguhnya kemurkaan Allah ke atasnya jika suami itu benar atas tuduhannya itu.

(Surah An-Nur : ayat 8-9)

3)      HIKMAH  DIADAKAN LI’AN

Sebelum kita memperkatakan tentang hikmah li’an, elok juga kita mengetahui asal usulnya di zaman jahiliah dahulu.  Sebenarnya di  zaman jahiliah apabila seorang suami  yang menuduh isterinya berzina, ia akan membaw isteri itu menemui ahli-ahli nujum  untuk  ditilik melalui ramalan-ramalan yang salah.  Apabila datang Islam  cara di atas adalah ditolak,  kerana beberapa sebab, di antaranya :

1.      Islam tidak suka kepada ahli-ahli nujum, kerana mereka selalunya bersifat dusta dan meramalkan perkara-perkara yang mereka tidak diketahui.

2.      Ahli-ahli Nujum adalah sangat merbahaya, kerana mereka  akan menukarkan sesuatu yang benar kepada tidak benar dan mereka akan menuduh orang-orang yang tidak bersalah, semata-mata mengikut ramalan-ramalan yang salah, sedangkan mereka sendiri adalah jahil, oleh kerana itulah  Islam menukar cara itu kepada li’an.

Setelah kita mengetahui secara ringkas tentang cara li’an di zaman jahiliah, di bawah ini diterangkan beberapa  hikmah li’an mengikut apa yang dibolehkan oleh Islam:

1.      Perkahwinan adalah berdasarkan saling cinta mencintai dan saling bersefahaman di antara suami isteri.  Jadi kalahlah berlaku tudah menuduh antara satu sala lain, tentulah akan melakukan perasaan dan menghilangkan kepercayaan di antara mereka serta melahirkan sifat-sifat benci dan hasad dengki.

2.      Untuk menakutkan para suami dan isteri daripada melakukan perbuatan-perbuatan  yang buruk  dan menjatuhkan maruah.

3.      Menjaga kehormatan suami dari mendapat keaiban.

4.      Untuk mengelakkan dari mewarithi keturunan yang buruk, ertinya bukan keturunan suami yang sebenar.

5.      Untuk kepentingan suami yang melihat kejadian buruk itu berlaku dan tidak sempat mencari saksi-saksi yang diperlukan …..

4)      SYARAT-SYARAT SAH LI’AN

1.      Mesti tuduh dahulu.

2.      Perkataan empat kali sumpah itu mestilah berturut-turut dan yang kelima disertai sumpahan laknat ke atasnya.

3.      Perkataan-perkataan itu mestilah diajar oleh kadhi atau hakim.

4.      Satu lafaz dengan lafaz yang lain tidak boleh ditukar-tukarkan.

5.      Sumpah keempat-empat kali itu mestilah ditauhidkan dengan lafaz asad.

5)      KIFIYAT LI’AN (CARA BERLI’AN)

1.      Suami mestilah berkata di hadapan hakim atau wakil hakim.  Li’an tidak diterima kecuali hakim hadir di majlis tersebut.

2.      Mestilah suami yang memulakan kata-kata li’an dengan  mengikut kata-kata hakim “saya naik saksi dengan nama  Allah bahawa  saya adalah dari golongan orang benar dalam tuduhan saya terhadap isteri saya bahawa dia melakukan  zina. Lafaz ini digunakan bagi li’an yang dihadiri sama oleh isteri.

Kalau isteri tidak ada dalam majlis itu samada tidak ada dalam negeri atau pun sakit, maka suami yang berlian mestilah menyentuh nama isteri, bapa dan keturunannya.

Kalau didapati ada anak yang hendak dinafikan, suami mestilah menyebut pada tiap-tiap kali kalimah li’an itu seperti katanya : “bahawa anak yang dilahirkan olehnya bukan anakku tetapi anak daripada zina.”

Kalau suami terlupa menyebut di dalam salah satu sumpah itu dia mestilah menambah lagi maksudnya tambah yang ditinggalkannya bukan diulang semua kelima-limanya.

3.      Suami yang berli’an itu mestilah bersumpah sebanyak empat kali  sebagai mengganti tempat empat saksi  yang tidak diperolehinya dan sumpah yang kelima adalah sebagai menguatkan keempat-empat sumpah itu.

4.      Suami mestilah berkata di dalam sumpah yang kelima “bahawa aku akan mendapat laknat Allah jika aku daripada  orang-orang yang berdusta dengan tuduhan-tuduhan zina itu” kata-kata ini diucapkan selepas hakim menasihatkan  bahawa laknat Allah itu terlalu berat, sebagaimana sabda nabi kepada Hilal bin Umaiyah:

Ertinya : Bertakwalah kepada Allah, seseungguhnya azab di dunia adalah lebih ringan daripada azab di akhirat.


6)      TEMPAT YANG DISUNATKAN MELAKUKAN LI’AN

Sunat mengadakan majlis li’an pada tempat-tempat yang mulia, seperti di dalam masjid, supaya  lebih memberi kesan dan ikhtiar kepada orang-orang Islam seluruhnya, selain dari masjid boleh juga  diadakan di mahkamah-mahkamah tinggi  sebagaimana sekarang  ini bila membicarakan kes-kes yang besar …..

7)      BEBERAPA PERKARA BERHUBUNGAN DENGAN LI’AN

1.      Suami diharuskan li’an bila ia yakin bahawa isterinya itu  benar-benar berzina yang dilihatnya sendiri atau dia yakin dengan sebab  ada  orang-orang yang menceritakan  kepadanya yang isterinya itu melakukan perkara tersebut atau pun terdapat tanda-tanda yang menunjukkan perkara  itu berlaku, seperti suami melihat isterinya itu berkhalwat dengan seorang lelaki lain ataupun pernah dilihatnya lelaki itu keluar dari ruamh perempuan atau perempuan itu keluar dari rumah lelaki itu.

2.      Kalau hanya terdapat tanda-tanda dan khabar-khabar angin sahaja, maka suami tidak boleh berli’an dengan  sewenang-wenangnya tanpa  disiasat lebih dahulu, kerana  besar kemungkinan khabar-khabar angin itu disebabkan  oleh musuhnya atau lelaki yang inginkan isterinya itu, juga  kita tidak boleh menuduh hanya dengan tanda-tanda sahaja, kerana boleh jadi lelaki itu memasukki rumah perempuan  itu kerana sesuatu seperti ketakutan atau untuk mencuri dan sebagainya.

3.      Jika suami masih ragu-ragu juga, cara yang sebaik-baiknya dilakukan ialah dengan menceraikan isterinya itu secara baik, dengan yang demikian dapat menutup segala kejahatan dari tersebar dan dapat mengelakkan dari segala  keburukan yang mingkin berlaku, cara seperti ini boleh  dilakukan seandainya isteri itu tidak mempunyai  anak,  sebaliknya jika ia mempunyai anak dan suami tahu yang anak itu bukan darinya, malah hasil dari perbuatan sumbang itu, maka suami mesti menafikan anak tersebut bukan  anaknya, supaya terelak dari dikata atau disebut anak itu keturunannya (dia bapanya).

Keadaan seperti ini dapat diketahui jika suami itu belum pernah mensetubuhi isterinya itu atau pun pernah disetubuhi tetapi anak yang lahir itu belum cukup atau belum samapai enam bulan dari tarikh perkahwinan (persetubuhan).

4.      Jika suami tahu bahawa isterinya itu berzina, tetapi ia masih ragu tentang anaknya, adakah anak itu anaknya atau pun anak dari lelaki lain (anak zina).  Dalam keadaan yang demikian suami mestilah mengakui bahawa anak itu anaknya, untuk menjaga maruah dan kehormatan, oleh itu  haram ia membuat tuduhan atau berli’an mengikut pendapat yang sah.

5.      Li’an yang dibuat oleh suami yang masih kanak-kanak atau gila adalah tidak sah, kerana segala sumpahan yang mereka lakukan tidak diakui, begitu juga mereka tidak dikenakan hadk atau denda kerana menurut  zina, iaitu lapan puluh kali sebat.

Wallahua’lam

Sumber : 1. http://www.unitagamakmb.com