1)      PENGERTIAN

Ruju’ / rujuk ertinya : mengembalikan isteri yang telah dicerai kurang dari tiga kali kepada perkahwinan yang asal dalam masa iddah dengan syarat-syarat yang tertentu.

2)      DALIL-DALIL YANG MEMBOLEHKAN RUJU’

1.      Firman Allah Taala :

Ertinya : Dan suami-suami perempuan lebih berhak mengembalikan  mereka jika mereka inginkan berbaik-baik semula.

2.      Sabda Rasulullah SAW :

Ertinya : Telah datang kepada aku jibril lalu berkata : Rujuklah Hafsah itu semula, kerana ia adalah seorang perempuan yang banyak berpuasa, kuat beribadat dan dia adalah isteri engkau di syurga.

3)      HUKUM RUJU’

1.      Wajib – bagi suami yang menceraikan salah seorang dari isteri-isterinya jika ia belum menyempurnakan pembahagian  giliran terhadap isteri yang diceraikan itu.

2.      Haram – sekiranya rujuk itu mejadi sebab bagi menyakiti atau mendatangkan kemudharatan kepada isteri tersebut.

3.      Makruh  – jika perceraian itu lebih baik diteruskan dari berbaik semula.

4.      Harus  – iaitu hukum rujuk yang asal, maksudnya, hukum rujuk pada asalnya adalah harus.

5.      Sunat – sekiranya rujuk itu mendatangkan kebaikan kepada keduaya.


4)      RUKUN RUJU’

1.            Isteri

2.            Suami

3.            Lafaz rujuk

5)      SYARAT-SYARAT ISTERI YANG DIRUJU’

1.   Isteri  yang diceraikan itu pernah disetubuhi, isteri yang belum pernah disetubuhi bila diceraikan tidak boleh rujuk kembali, kecuali dengan akad yang baharu, kerana isteri  tersebut tidak mempunyai idah.

2.   Isteri yang diceraikan itu bukan cerai talaq tiga, kerana cerai talaq tiga tidak boleh rujuk kembali.

3.   Isteri yang diceraikan itu bukan cerai tebus talaq (khulu’), kerana cerai dengan bayaran (tebus talaq) tidak boleh dirujuk kembali kecuali  dengan akad yang baharu.

4.   Isteri tersebut masih berada dalam idah, tidak boleh rujuk lagi bila selesai idahnya kecuali dengan akad yang baharu.

5.   Keadaan isteri yang dirujuk tertentu kalau seorang suami menceraikan beberapa orang isterinya kemudian ia ingin rujuk semula kepada salah seorang isteri-isterinya itu dengan tidak ditentukan yang mana satu yang hendak dirujuknya itu, maka rujuk secara yang demikian tidak sah.

6.   Isteri yang diceraikan itu halal bagi suami yang hendak merujuk itu, jika isteri yang diceraikan itu menjadi murtad (keluar dari Islam) maka tidak sah rujuk ketika isteri itu masih murtad.

6)      SYARAT-SYARAT SUAMI YANG MERUJU’

Rujuk  itu dengan kemahuannya sendiri bukan dipaksa oleh itu suami yang dipaksa supaya merujuk isterinya, tidak sah rujuknya dengan syarat paksaan itu secara zalim dan ia tidak dapat mempertahankan dirinya (lihat syarat-syarat paksaan di bahagiannya talaq).

Begitu juga tidak sah rujuk dari suami yang gila, maksudnya, sebelum suami itu gila ia telah menjatuhkan talaq isterinya kemudian kebetulan ia gila  semasa  bekas isterinya itu sedang dalam idah.

Bagi yang mabuk, akibat perbuatannya sendiri, yang bodoh yang sedang dalam ihram haji atau umrah rujuk dari mereka ini adalah sah.


7)      SYARAT-SYARAT LAFAZ RUJU’

Lafaz rujuk terbahagi kepada dua :

1.      Lafaz sareh : iaitu lafaz terang dan jelas menunjukkan rujuk seperti kata suami : saya rujuk awak, atau : saya kembalikan isteri saya  kepada saya.

2.      Lafaz kinayah : iaitu lafaz sindiran yang mempunyai erti lain dari rujuk, sebab itulah lafaz kinayah diwajibkan bersamanya niat, seperti kata suami: saya pegang awak kembali, atau : saya kahwin awak dan sebagainya.

8)      DISYARATKAN SIFAT RUJUK ITU

1.      Dengan perkataan tunai ertinya, tidak digantungkan atau dikaitkan  dengan sesuatu.  Contohnya, kata suami : saya rujuk awak kembali sekiranya awak suka dan sebagainya.

2.      Dengan tidak dihadkan atau dibataskan waktunya, seperti kata suami: saya rujuk awak semula dalam masa sebulan, dan sebagainya.  Dengan kata yang demikian tidak sah rujuk itu.

9)      BEBERAPA PERKARA BERHUBUNG DENGAN RUJUK

1.      Sunat diadakan saksi bila seorang suami ingin rujuk semula dengan isterinya yang diceraikan, walaupun ada pendapat yang mengatakan wajib diadakan saksi sebagaimana pendapat Imam Malik dan Imam Ahmad menurut satu riwayat.

2.      Rujuk melalui persetubuhan dengan melafazkan perkataan:

a.   Imam Al-Syafie berpendapat : rujuk secara demikian tidak sah, sekalipun disertai  dengan niat rujuk.

b.   Ada pendapat yang lain mengatakan : secara yang demikian adalah sah, berdasarkan firman Allah :

Ertinya : Suami-suami mereka lebih berhak untuk kembali kepada mereka. Di dalam ayat  tersebut tidak ditentukan rujuk itu samada dengan perkataan atau dengan perbuatan.

(al-Baqarah : ayat 228 )

3.      Rujuk dengan cara menulis surat, adalah sah dengan ayat disertakan niat dan qasad rujuk, kerana rujuk secara yang demikian dikira seperti lafaz kinayah yang memerlukan niat.

4.      Rujuk dari suami yang bisu dengan menggunakan isyarat yang boleh difahami  oleh semua lapisan manusia, adalah sah dan dikira sama seperti  lafaz sarih.  Tetapi kalau isyarat itu hanya difahami oleh orang yang tertentu, maka dikira seperti lafaz kinayah dan memerlukan niat.

10)    SYARAT-SYARAT SAH RUJUK (KAHWIN SEMULA) SELEPAS TALAQ TIGA

1.      Selepas selesai idah  dari suami  yang pertama.

2.      Berkahwin bekas isteri tersebut dengan lelaki lain.

3.      Suami yang kedua mesti melakukan persetubuhan dengannya.

4.      Bercerai dengan suami yang kedua, fasakh atau mati.

5.      Selesai idahnya bila bercerai dengan suami yang kedua itu.  Sekiranya didapati syarat-syarat tersebut, suami pertama  diharuskan rujuk kembali kepada bekas isterinya itu dengan  akad  perkahwinan yang baru, mengikut syarat-syarat dan  rukun-rukun nikah yang lalu.

11)    BEBERAPA  MASALAH  BERHUBUNG DENGAN NIKAH SELEPAS TALAQ TIGA

1.      Sekiranya perkahwinan suami yang kedua itu  disyaratkan bercerai setelah disetubuhi maka perkahwinan itu tidak sah jika syarat itu disebut di dalam idah, tetapi sebaliknya kalau syarat tersebut dibuat sebelum akad perkahwinan itu sah, tetapi perbuatan itu makruh.

2.      Jika di dalam akad perkahwinan suami yang kedua itu, pihak isteri mensyaratkan bahawa suami yang kedua itu tidak  boleh mensetubuhinya, maka perkahwinan  itu tidak sah, kerana  syarat tersebut bertentangan dengan maksud perkahwinannya.  Sebaliknya kalau syarat tersebut dibuat oleh pihak lelaki, perkahwinan itu sah, kerana suami berhak samada ia mahu mensetubuhi atau sebaliknya, sedangkan isteri adalah berkewajipan untuk menyerahkan dirinya kepada suami.

3.      Dakwaan isteri yang ditalaq tiga diterima dengan syarat ia bersumpah bila ia mengaku yang ia telah berkahwin  dengan seseorang yang lain serta telah melakukan persetubuhan  dengan suami tersebut, kemudian diceraikan dan telah  pn habis idahnya.  Sekiranya  di antara masa ia diceraikan  talaq tiga dahulu itu munasabah dan boleh selesai perkara tersebut.  Dengan yang demikian bekas suami yang pertama  diharuskan berkahwin semula dengannya.

Wallahua’lam

Sumber : 1. http://www.unitagamakmb.com