Assalamu’alaikum w.b.t…….  Sekadar mahu mengajak kita bukak-bukak minda tentang keadaan masyarakat kita sekarang. Yang sudah menjadi trend moden sekarang ini orang-orang awam membantai alim ulamak. Bantaian-bantaian yang biasa dilakukan bukan semuanya berhujjah yang nyata dan terang, tetapi sekadar melepaskan perasaan dan ada agenda di sebaliknya.

Dan maafkan saya kerana penulisan saya ini tidak menarik sepertimana tulisan-tulisan berkenaan politik semasa. Kerana saya tidak cenderung sangat membangkitkan isu-isu politik semasa, kerana setiap negara ada sahaja isu-isu yang dibangkitkan. Kebanyakan manusia sememangnya tidak pernah merasa cukup dengan apa yang dia dapat. Maka dengan itu wujudlah ketidakpuas hatian-ketidak puas hatian masing-masing yang dibangkitkan melalui saluran berpolitik. Dan saya percaya sudah ramai mereka yang menulis tentang isu politik semasa, saya serahkan sahaja kepada mereka. Saya secara peribadi hanya meminati politik yang cenderung kepada usaha menegakkan Agama Islam tanpa menitik beratkan sangat soal-soal lain. Kerana di sana ada yang lebih penting dari yang kurang penting. Terpulang kepada pendapat masing-masing dan soal ini tidak perlu diperbesarkan kerana ia bukannya permasalahan pokok / dasar.

Sudah biasa kedengaran, apabila ada sahaja ulamak yang tersilap cakap atau tersalah ajar, maka berdentum-dentum komen-komen dari orang awam yang membantai ulamak tersebut. Seperti peluang itu sudah dinanti-nantikan, ibarat jerangkap samar. Dan ulamak-ulamak itulah yang menjadi mangsa jerangkap samar tersebut. Apa yang saya lihat, kesilapan yang kecil pun ada  yang diperbesar-besarkan sehingga menuduh ulamak itu Wahabi la Syiah la apa la, hehe.

Sudah menjadi tabiat manusia yang kurang menggunakan pemikiran, sentiasa berprasangka buruk dan berhasad dengki lebih-lebih lagi kepada orang-orang yang pandai dan berilmu. Bukannya tak boleh kita nak jeles, seperti mana ulamak-ulamak muktabar telah mengajar kita, jeles ada juga tempatnya. Jeles jika kita ingin menjadi baik seperti orang yang dijeleskan itu digalakkan, itu tidak termasuk dalam bab hasad dengki lagi, tetapi itu termasuk dalam bab cemburu yang positif. Iaitu mempunyai perasaan ingin menjadi seperti orang tersebut tanpa berniat atau berusaha untuk menjatuhkan orang tersebut.  Hanya sekadar niat untuk bersaing dan sesungguhnya tiada kesalahan dalam bersaing selagi persaingan itu adalah persaingan yang sihat. Dengan bersainglah masing-masing dapat meningkat kualiti kerja masing-masing. Jika tiada persaingan, berkemungkinan manusia akan menjadi malas, tidak produktif, tidak berwawasan, lemah dan seumpamanya.

Cuma ada kalanya kita terlalu ta’asub, kononnya kita mahu mencegah kemungkaran, tetapi dalam masa yang sama kita telah menjatuhkan diri kita dalam sifat membenci sesama muslim. Adakah Islam mengajar kita supaya membenci sesama muslim? Cuba bawakan dalil-dalil yang kuat yang menganjurkan agar kita membenci sesama muslim?

Melalui pengalaman saya sendiri, ada beberapa sebab mengapa sesetengah pihak ini bertindak melulu dalam menilai dan berkata-kata tentang seseorang ulamak yang telah tersilap ataupun dituduh buat silap. Antaranya yang saya boleh senaraikan;

– Mereka adalah golongan yang fanatik kepada sesuatu pihak. Apabila seorang ulamak pihak yang satu lagi bersuara dan menunjukkan sedikit kesilapan, terus sahaja mereka ini menghentam kesilapan yang dilakukan oleh ulamak tersebut. Ibarat rezeki datang bergolek.

– Mereka ini adalah orang-orang yang baru berjinak dalam mengkaji ilmu agama, tetapi sudah merasa pandai dan advance (maklum lah manusia ini sememangnya diciptakan dengan sifat tergopoh-gapah), dan terus menghentam ulamak jika dia rasakan ada yang tidak betul diperkatakan oleh ulamak itu. Tetapi adakalanya betul juga tindakan mereka itu, terpulang kepada keadaan dan isu. Kerana teguran apabila kesilapan berlaku adalah sesuatu yang digalakkan. Tetapi sebaiknya teguran itu biarlah suatu teguran yang membina, bukan teguran membunuh.

– Mereka adalah golongan yang malas untuk mendalami ilmu agama, amal tidak seberapa dan biasa membuat dosa. Maka dengan cara meluahkan perasaan terhadap ulamak ini, mereka boleh mengalihkan pandangan masyarakat kepada ulamak tersebut dan orang itu tadi tidak dipandang buruk dengan keadaan dirinya itu. Dengan ini juga mereka boleh membuat alasan bahawa mereka tidak perlu mendalami ilmu agama, kerana katanya orang-orang yang dalami agama pun banyak yang tidak betul. Ini merupakan alasan seseorang yang malas belajar dan suka berpura-pura.

– Mereka adalah orang awam yang mudah terpengaruh dengan khabar angin dan media-media. Apa sahaja yang keluar di media-media mereka terus percaya tanpa usul periksa. Bagi mereka media-media itu tidak melakukan kesilapan langsung. Jangan anda sangka tiada lagi orang sebegini, sebenarnya masih ada lagi. Kenapa tak percaya?

– Ada juga di kalangan ulamak sendiri yang mempunyai kepentingan dalam politik dan kedudukan. Maka mereka sanggup bertegang lidah dengan ulamak lain walaupun dia tahu perbuatannya itu tidak betul. Ini persoalan iman masing-masing lah. Bukan semua orang alim itu kuat imannya dan bukan semua orang beriman itu alim.

Senarai di atas hanya beberapa yang sempat terfikir oleh saya, dan ada banyak sebab lagi mengapa boleh terjadinya penghentaman terhadap ulamak itu. Cuma kesimpulan yang boleh dibuat, iblis dan syaitan betul-betul mahu melagakan anak Adam sehinggakan mereka mengapi-apikan kita agar membenci  dan bergaduh sesama sendiri. Dan apabila orang-orang awam diajar membenci para ulamak, maka generasi akan datang semakin akan tidak menghormati ulamak. Jika sudah tidak menghormati ulamak dan tidak mahu mendengar kata ulamak, bayangkan sendiri apa kesannya kepada anak cucu kita nanti.  Apakah tujuan kita melakukan dakwah atau berpesan-pesan kepada kebaikan?

Dengan itu janganlah kerana sifat benci kita kepada sesuatu pihak menjadikan kita buta dan tuli, dan tidak mahu langsung mendengar hujjah dari pihak lain. Seseorang ulamak itu sudah pastinya tidak maksum dan akan berbuat kesilapan. Jika kita terus menghukum kesilapannya yang sedikit tanpa melihat kebaikan yang telah diajarkannya sebelum itu maka yang ruginya adalah kita sendiri. Jangan kerana sedikit kesilapan terus kita memulaukan ulamak tersebut dan tidak menerima suatu apa pengajaran pun darinya. Ulamak biasanya seseorang yang penuh dengan ilmu di dadanya. Kutiplah mana-mana yang baik itu dan yang buruk jadikan sempadan. Rugi kalau tolak mentah-mentah tau! Kerana kemungkinan besar kita akan dapat ilmu yang bagus dari ulamak itu. Melainkan orang2 alim yang sudah ternyata begitu sesat bukan sekadar sedikit kesilapan, tetapi sebahagian besar ajarannya seperti orang2 yang mengaku nabi , yang menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal dengan berleluasa dan seumpamanya. Hendaklah kita pandai menilai.

Tetapi bagi saya, orang2 yang mengaku nabi dan seumpamanya itu bukan alim sebenarnya. Kebanyakan mereka jahil tetapi merasa diri sebagai alim. Ada yang mendapat ilmu semata2 dari mimpi dan bertemu dengan makhluk halus, Maka dengan ilmu itu lah mereka menyesatkan masyarakat.

Fanatik terhadap seseorang ulamak juga tidak bagus, kerana jika ulamak itu tersilap maka kita akan turut tersilap. Tetapi sebaiknya kita dengar pengajaran seseorang ulamak dengan berhati-hati dan teliti. Jika ada kesilapan jangan kita terus memburukkannya, melainkan cuba bertanya dan berbincang. Tegur kesilapan berdasarkan kepada sifat ingin tahu dan sayang-menyayang, bukan tegur kerana benci. Kerana Allah S.w.t telah menganugerahkan kepada masing-masing akal fikiran, maka jangan lah lagi menjadi PAK TURUT tetapi berfikirlah dengan akal berpandukan kepada AlQuran dan AlHadith. Saya rasa anda sudah faham tentang perkara ini, cuma ada segelintir yang masih belum faham dan bersikap ghuluw dalam menilai seseorang ulamak. Semoga kita semua akan semakin faham nanti, amiin.

Kerana apa saya menulis tentang perkara ini? Kerana jika sekiranya masing-masing sudah tidak menghormati ulamak, maka kepada siapa lagi kita akan hormat dan ikut?  Sedangkan “Ulamak adalah pewaris nabi”. Kerana itulah pentingnya juga kita berjema’ah, dan elakkan dari bersikap keAKUan dan berpegang kepada pendapat sendiri sahaja. Sikap menyisihkan diri dan tidak mencampuri langsung permasalahan umat pun bahaya, kerana ada hadith yang bermaksud , “Tangan (pertolongan) Allah ada bersama orang2 yang berjama’ah. Dan barangsiapa memencilkan diri, ia akan menyendiri di neraka. Sesungguhnya serigala hanya memangsa kambing yang terpisah dari kumpulannya“.

Manusia tidak akan lari dari berselisih faham. Tulisan saya ini sendiri pun saya yakin ada ramai yang setuju dan ramai juga yang tidak berapa setuju. Ini kerana kita mempunyai fikrah yang berbeza, pengalaman yang berbeza, tahap ilmu yang berbeza dan sebagainya. Kerana itu lah jika kita berkasar dan terus membenci terutamanya terhadap alim ulamak, maka yang susahnya kita juga nanti , na’uzubillah. Alangkah indahnya jika kita semua dapat berlapang dada sesama kita dan menegur dengan berhikmah dan penuh adab sopan demi sayangkan saudara seIslam kita. Nasihat untuk diri saya sendiri juga ni yang adakalanya terlajak dan terbabas! Mungkin lupa nak servis brek.

Dan peringatan terhadap golongan ulamak, jangan pula anda menyangka saya memberi lesen besar kepada anda untuk berkata-berkata dan menuduh mana-mana pihak mengikut selera anda tanpa mengira kesannya. Eh bila pulak aku pegang lesen ni? Is is is pandai2 aku jer.  Apa-apa pun kita mesti menjaga lidah kita baik-baik juga, kerana nanti kita akan dipersoalkan di atas apa yang kita perkatakan, astaghfirullah. Seriau jugek yerrr. Semoga apa yang kita lakukan diberkati dan diredhai Allah. Semoga kita berniat baik untuk menjadi hambaNya yang soleh. Semoga kita berusaha melakukan sebaik mungkin amalan yang bertepatan dengan ajaran islam.

Apa-apa pun usaha dakwah iaitu menyuruh buat baik dan mencegah kemungkaran serta mengajak orang beriman kepada ALlah mesti diteruskan.  Jangan patahkan semangat kita dari menegur kesilapan selagi kita sendiri tahu mengapa kita menegur. Seperti yang telah banyak kali saya perkatakan sebelum ini (mengapa saya berkata banyak kali? Kerana kita ini insan = pelupa, maka mesti diperingatkan banyak kali), berdakwah lah kita kerana Alah dan kerana kita sayang orang yang kita dakwah itu, bukannya dakwah kerana kita membenci terutamanya terhadap saudara kita sendiri.

Dan jangan cuba cari alasan untuk tidak berdakwah kerana Imam Ibnu Taimiyah pernah berkata yang maksudnya, “jangan sekali-kali kalian berkata, “Aku tidak akan berdakwah sampai keimananku betul-betul sempurna.” Sampai bila kita mahu tunggu agar iman kita sempurna dahulu baru kita mahu berdakwah? Sampai bila-bila pun tidak akan sempurna, ingat tu wahai saudara2 ku yang ku kasihi. Maka marilah kita berdakwah atas kemampuan masing-masing dan di dalam batas-batas ilmu masing-masing. Yang penting Allah Maha melihat amalan rohani dan jasmani kita.

“Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal yang salih (di antara kamu) bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa.” (QS An Nur: 55)