Assalaamu’alaikum w.b.t. dan selamat sejahtera ….  Adalah sudah dinyatakan dalam AlQuran dan Alhadith bahawa Nabi Muhammad S.a.w adalah Rasul Allah yang terakhir. Selepas kedatangan Muhammad S.a.w , manusia sepatutnya beriman dengannya dan tidak boleh meminggirkannya. Dalil-dalil yang jelas bahawa Nabi Muhammad S.a.w adalah rasul terakhir adalah seperti berikut;

”Bukanlah Muhammad itu bapa salah seorang laki-laki di antara kamu tetapi dia adalah Rasulullah dan penutup Nabi-nabi” Surah Al Ahzaab : Ayat 40

Abu Hurairah meriwayatkan, Nabi Muhammad pernah bersabda,

“Bandingan antara aku dan nabi-nabi sebelum aku ibarat seorang yang membina rumah. Dia membina dengan baik dan cantik, tetapi ada sekeping batu bata yang masih belum diletakkan di satu sudut. Kemudian orang ramai mengelilingi rumah itu dengan kagum melihatnya, lalu mereka berkata, “Mengapakah tidak diletakkan batu bata ini.” Nabi Muhammad berkata lagi, “Akulah batu bata itu dan aku adalah penutup segala Nabi.” Hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim.

Rasulullah S.A.W juga bersabda dalam hadith lain: “Rantai Kerasulan dan Kenabian telah sampai pada akhirnya. Tidak akan ada lagi rasul dan nabi sesudahku”. (Tirmizi, Kitab-ur-Rouya, Bab Zahab-un-Nubuwwa; Musnad Ahmad; Marwiyat-Anas bin Malik).

Dan banyak lagi dalil yang jelas yang mana menunjukkan Nabi Muhammad S.a.w adalah nabi / rasul yang TERAKHIR dan PENUTUP segala nabi dan rasul. Sedangkan Nabi Isa a.s / Yesus tidak pernah sekali pun mengatakan dengan JELAS bahawa dia adalah rasul terakhir. Malah ada ayat yang ditafsirkan sendiri oleh umat Kristian yang mana ayat itu langsung tidak jelas menyatakan Yesus adalah Nabi Terakhir. Lebih-lebih lagi Yesus hanya diutuskan kepada umat Israel sahaja, bukan untuk seluruh alam.

Matius 15:24 Jawab Yesus: “Aku diutus hanya kepada domba-domba yang hilang dari umat Israel.”

Cuba anda fikirkan, sebelum kedatangan Yesus , ajaran dari langit yang dianuti oleh umat manusia yang mana pada waktu itu adalah kaum Israel adalah ajaran Nabi Musa a.s kan? Maka selepas kedatangan Musa, manusia mestilah beriman kepada Nabi musa. Begitu lah selepas kedatangan Yesus, manusia mesti beriman kepada dia dan tidak boleh hanya sekadar beriman kepada Nabi Musa a.s dengan menolak Yesus. Ini tidak bermakna ajaran Nabi Musa a.s pada ketika itu tidak betul, tetapi syariat baru dari langit telah datang maka manusia mesti mengikuti SYARIAT tersebut yang sesuai dengan zamannya.

Dengan kerana itu lah selepas kedatangan Nabi Muhammad S.a.w ke dunia ini, maka manusia mesti beriman kepada Nabi Muhammad. Tidak boleh hanya berpegang dengan ajaran Yesus dan mengenepikan ajaran Muhammad S.a.w.  Ini kerana SYARIAT baru telah turun dan SYARIAT ini adalah yang PALING SESUAI dengan keadaan umat AKHIR ZAMAN. Maka jika mereka menolak Nabi Muhammad mentah-mentah, bermakna mereka telah menolak UTUSAN dari ALLAH. Itu adalah perbuatan yang zalim iaitu menzalimi diri sendiri dan orang lain dengan masih berpegang dengan SYARIAT yang sudah tidak sesuai dengan zaman kerana TIDAK SEMPURNA lagi. Islam datang untuk menyempurnakan ajaran-ajaran para rasul sebelumnya.

“Pada hari ini telah Ku sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku cukupkan kepadamu nikmatKu, dan telah Ku redhai Islam itu agamamu.” Surah Al Maidah : Ayat 3

Maka kedatangan Islam bukannya menolak ajaran Yesus dan para Rasul lain melainkan sebagai pelengkap dan penyempurna semata.

Ada yang berkata, Islam tidak sama dengan apa yang diajar oleh Yesus kerana Islam mengatakan Yesus tidak disalib dan dia tidak mati.  Dan penganut Kristian mengatakan Penyaliban itu sebagai inti iman mereka dan ini bercanggah dengan apa yang dikatakan oleh Islam. Maka kami bertanya balik, Yesus kah yang mengajar tentang PENYALIBAN itu?  Sila berikan DALIL bahawa Yesus menyebut tentang Penyaliban?  Sila berikan kata-kata Yesus bahawa penyaliban adalah INTI IMAN ajarannya?

Anda tidak akan dapat memberikan dalil dari Yesus berkenaan dengan hal itu, kerana Yesus sendiri tidak pernah mengajar tentang PENYALIBAN, malah itu hanya diajar oleh PAULUS. Yesus sendiri mungkin teramat sedih kerana ramai umatnya yang tidak mengikuti ajarannya malah mengikuti ajaran paulus tetapi menyandarkan padanya.  Wallahu a’lam 🙂

Bacaan berkaitan :

Bible mengatakan hanya 144,000 umat Israel akan masuk syurga

Paulus yang selewengkan ajaran Yesus dan mencipta Kristian

Pembatas kepalsuan dan kebenaran : Bab 1 – 2

Jesus (Nabi Isa a.s) bukan Tuhan

Jesus tidak mati disalib tetapi diangkat ke langit