Assalaamu’alaikum w.b.t…… Berikut ini adalah beberapa petua untuk menjaga kecantikan dan kejelitaan tak kira bagi lelaki atau wanita. Saya menyalinnya dari Majalah Jelita bulan Januari tahun 1987. Bagus juga petua-petua lama ni sebenarnya, tambah lagi dapat jimat kos dalam zaman serba mahal ni. Dan saya nasihatkan, gunakanlah kejelitaan anugerah Allah ke jalan yang diredhainya dan mendapat pahala, seperti mempamirkan kepada suami dan keluarga bagi wanita, mempamirkan kepada isteri dan keluarga bagi lelaki.  Jangan disalah guna dengan menunjuk-nunjuk di luar rumah lebih-lebih lagi ditambah dengan pendedahan aurat kerana itu hanya dapat menambah dosa semata.

Dan petua-petua ini bukanlah dapat dijamin berhasil melainkan semuanya terserah kepada Allah. Kita hanya disuruh berusaha dan hasilnya insyaAllah akan dapat dilihat kemudian. All the best! 🙂

Mencegah kelemumur

Ambil daun kangkung dan diramas sehingga keluar lendir. Campurkan sedikit air, kemudian gaul sehingga sebati. Sapukan pada kepala sebelum membasuh rambut. Hasilnya , kelemumur hilang, kepala tidak gatal dan rambut juga tidak gugur.

Rodzeyah Abu Bakar, Alor Setar , Kedah.

Rambut berkilat

Kumpul 5 helai daun bunga raya, 5 helai daun bunga China dan 3 helai daun lidah buaya serta setengah biji limau nipis.

Ramas kesemua daun di dalam sebuah bekas berisi air suam sehingga berbuih, kemudian perah limau nipis ke dalamnya. Tapis air itu ke dalam bekas lain untuk membuang hampas-hampas daun tadi. Seterusnya sapukan air pada rambut sambil mengurut-ngurut kulit kepala. Lakukan begini 2 kali seminggu, waktu pagi dan malam.

Suraini Chemat, Pekan Hilir, Kota Bharu, Kelantan

Berwajah licin

Asah jambu batu dan kemenyan di dalam piring pasu dengan sedikit air. Air asahan mestilah pekat supaya mudah melekat bila di sapu pada muka. Setelah disapu, biarkan selama setengah jam, kemudian basuh muka dengan air bersih. Amalkan setiap hari. Selain melicin dan melembutkan kulit muka, ia juga menghilangkan parut jerawat.

Nor Riza, Pasir Putih , Kelantan

Hilangkan jerawat

Untuk mengatasi masalah muka berjerawat, giling beras dan daun inai sehingga halus. Kemudian bulatkan sebesar duit 5 sen dan dijemur sehingga kering. Apabila hendak menggunakannya, titis sedikit air limau nipis dan sapu pada muka menggunakan belahan ubi kentang.

Kegunaan bawang merah (mengelakkan rambut gugur)

Untuk mengelakkan rambut gugur, tumbuk bawang merah sehingga halus dan campurkan sedikit air suam. Kemudian basuh kepala anda dengan bahan tumbuk tadi selama 15 minit. InsyaAllah jika sering diamalkan , rambut tidak akan gugur lagi.

Hindari kesan terik matahari

Sekali-sekala bila anda mandi air laut, kulit anda akan terbakar kerana terik matahari, terutama jika anda tidak menyapukan krim terlebih dahulu. Cara mengubatinya, ambil putih telur ayam dan campurkan dengan sedikit perahan air limau nipis. Sapukan pada muka dan kulit sebelum anda masuk tidur, biarkan sehingga keesokan hari.

Anda juga dikehendaki mencuci muka dengan air suam beberapa hari. Dengan itu, kesan terbakar pada kulit akan hilang dan menjadi licin semula.

Norlee Omar , Muar, johor

Kulit muka kasar

Jika anda berkulit muka kasar, cuba ambil timun dan lecek sehingga hancur. Kemudian perah sebiji dua limau kasturi atau limau nipis dan sapu air perahan itu pada muka sehingga ke anak rambut. Biarkan 3 minit. Seterusnya sapukan timun tadi dan biarkan kira-kira 10 minit. Lakukan begini selalu untuk mendapatkan kesan yang memuaskan.

Bintik-bintik merah

Untuk merawat kulit muka berbintik-bintik merah disebabkan jerawat, cuba campurkan minyak kayu kapur dan minyak kelapa. Biarkan sehingga sebati. Sementara itu bersihkan kulit muka, kemudian sapukan dengan bahan campuran tadi, sebelum anda masuk tidur. Jika diamalkan selalu, kesannya tentu memuaskan anda.

Khasiat santan kelapa (untuk rambut segar dan cantik)

Supaya rambut cantik, segar dan tidak bercabang, ambil santan kelapa, kemudian masak dengan beberapa helai daun pandan. Apabila sudah menjadi minyak, lumurkan pada kepala setiap kali sebelum masuk tidur. Jangan lupa membungkus kepala anda dengan tuala. Keesokan harinya basuh rambut dengan syampu sesuai. lakukan begini seminggu.

Semoga mujarab dan diberkati Allah. Wallahu a’lam wa jazaakumullahu khoirol jazaa’  🙂

Dipetik dari Ke arah kejelitaan, Majalah jelita, Januari 1987