Soalan.

1 – Apakah hukumnya jika seseorang itu mengumpul gambar-gambar penyanyi yang diminati dan menampal pada dinding?

2 – Kadang-kadang angan-angan mendorong kita berusaha untuk mencapai apa yang diangan-angankan.  Di sini saya inginkan penjelasan tentang angan-angan yang bagaimanakah yang dilarang oleh Islam?

3 – Apakah hukumnya sepasang suami isteri tidak tidur bersama dengan alasan sudah tua dan malu pada anak-anak?

4 – Saya menyimpan rambut panjang tetapi ibu saya tidak menyenanginya. Sudah beberapa kali ibu menyuruh saya memotong rambut tetapi saya tidak mengikut kemahuannya kerana saya suka rambut saya begini.

Jawapan.

1 – Oleh kerana mengenai gambar ini ada yang mengatakan ‘haram’, maka apa pun yang mengenainya seperti yang anda katakan itu ditegah apalagi jika mendewa-dewakannya maka lebih lagi lah tegahannya.

2 – Jika yang anda maksudkan itu angan-angan (khayalan) maka amalan yang seperti itu ditegah kerana berkhayal itu perbuatannya tidak memberikan manfaat. Tetapi yang mendorongkan seseorang itu berusaha ialah cita-cita, maka cita-cita ini adalah digalakkan. Hal ini jelas bagaimana yang disebutkan:

“Tuhan tidak mengubah sesuatu kaum sehingga mereka sendiri yang mengubahnya.” Untuk mengubah sesuatu keadaan, seseorang itu harus mempunyai daya usaha dan cita-cita.

3 – Jika keadaan itu mengikut kerelaannya bersama, tidaklah menjadi apa-apa tetapi jika tidak dan salah seorang berhajat pula, maka berdosalah dia yang tidak memenuhi hajatnya itu, (sama ada suami atau isteri).

4 – Jika tidak diturut kehendak ibu, sedangkan keengganan itu perkara yang tidak ditegah oleh syarak maka itu tidak mengapa. Tetapi jika yang disuruh itu perkara syarak dan wajib, anda hendaklah patuh dan jika tidak maka anda akan berdosa.

Dipetik dari Soal Jawab Agama, dijawab oleh Ustaz Wahid Mursidi, kadhi Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.  Majalah Wanita, September 1987.