Melawan mimpi-mimpi yang menakutkan

Banyak orang takut untuk menghadapi mimpi yang menakutkan. Kadangkala mereka sanggup tidak tidur kerana takut akan mimpi yang mengerikan itu akan muncul lagi.

Tapi mimpi hanyalah mainan tidur. Salah satu cara pembaca menghilangkan mimpi buruk itu ialah dengan cara tulis semula mimpi-mimpi buruk yang anda alami itu, kemudian di akhir cerita itu tuliskan perkara-perkara yang begitu manis dan gembira bagi diri anda.

InsyaAllah mimpi-mimpi yang sering mengganggu anda selama ini akan hilang.

–> Dan bagi kepada orang-orang Islam, jangan lupa membaca doa-doa dan ayat Quran sebelum tidur. Ini untuk mengelakkan gangguan syaitan.

Menghilangkan garis pada bekas lipatan kaki

Tentu kita rasa janggal dan hodoh jika memakai seluar yang senteng, dan ada di antara kita akan membuka lipatan pada bawah kaki supaya seluar itu tidak lagi nampak senteng.

Tetapi masalah tetap juga akan timbul dimana bekas lipatan itu akan kelihatan dan jika seluar itu seluar jeans, bahagian yang berlipat itu akan kelihatan garis putih.

Untuk menghilangkan garis putih atau kesan lipatan itu, gunakan kanji dengan cara menyapukan kanji kepada bekas lipatan itu dan diseterika dan garis putih yang kelihatan pada kain jeans itu boleh dihilangkan dengan cara menyapukan air yang telah bercampur cuka pada bekas garisan itu dan diseterika. Amalkan selalu, semoga seluar anda kelihatan cantik.

Pertolongan pertama pada kuku yang luka

Biasanya jikalau kuku kita tersepit atau sebab lain yang menyebabkan kuku kita luka atau lebih tepat lagi berlaku darah beku di dalam kuku kita, biasanya ia akan menimbulkan rasa sakit yang amat sangat, juga rasa berdenyut-denyut.

Bagi menghilangkan rasa sakit itu, rawatan pertama yang dapat kita berikan dengan masukkan jari yang luka itu ke dalam ais ketul atau ais sejuk, kemudian angkat tangan ke atas supaya pengaliran darah ke jari tidak begitu banyak. Kemudian balut jari yang luka itu dengan kain dan tekan kuat-kuat jari yang luka itu dengan tangan yang lagi satu. InsyaAllah ianya akan sembuh dengan cepat.

Jangan amalkan diet di musim sejuk

Di negara kita memang tidak pernah mengalami musim sejuk. Tetapi ada ketikanya apabila musim tengkujuh, cuaca menjadi lembab dan sering hujan. Di musim ini anda dinasihatkan jangan melakukan diet.

Di musim begini badan kita memerlukan makanan untuk proses pembakaran di dalam badan untuk memanaskan badan. Jadi badan kita sentiasa memerlukan makanan pada musim sejuk. Oleh itu daya tahan kita untuk melakukan diet pada musim begini adalah sukar.

Jadi jika pembaca-pembaca ingin melakukan diet, lakukanlah ianya pada musim panas, insyaAllah akan berjaya.

Televisyen perangsang tidur

Adakah anda mempunyai masalah untuk tidur? Jika ada, penyelesaian kepada masalah anda ini adalah televisyen. Ini kerana televisyen dapat merangsangkan diri kita untuk tidur. Satu penyelidikan telah dijalankan di Jerman mendapati dari 100 orang yang menonton televisyen, 80 darinya akan tertidur. Rancangan yang paling baik untuk anda tontoni ialah rancangan wawancara. Rancangan yang berbentuk informasi dan yang bercirikan pidato boleh membuatkan anda cepat rasa mengantuk.

Iklan juga adalah rancangan televisyen yang sesuai anda tonton kerana ia juga boleh merangsangkan rasa tidir anda. Jangan sesekali anda menonton rancangan yang menarik minat anda. Semoga apa yang diberikan berguna untuk anda yang menghadapi masalah lambat tidur.

Nenas membantu menguruskan badan

Jika anda ingin menguruskan badan, makanlah nenas setiap hari, sebab di dalam buah nenas terkandung bahan yang boleh merangsangkan penghancuran lemak.

Nenas juga boleh digunakan bersama lobak merah untuk penggunaan sebagai bahan diet, dengan cara ini bukan sahaja dapat menguruskan badan tetapi ia juga boleh membantu mempertajamkan penglihatan.

Serbuk teh dapat menyuburkan tanaman

Jika pembaca mempunyai hobi menanam pokok bunga, di sini ada satu tips yang dapat membantu pembaca untuk menyuburkan tanaman.

Jika sudah minum teh, serbuknya itu jangan dibuang, sebaliknya ia boleh digunakan sebagai baja. Caranya gaulkan serbuk teh yang tidak digunakan itu ke dalam pasu bunga bersama tanah yang hendak digunakan. Setelah beberapa hari, pokok yang telah ditanam itu haruslah digembur sentiasa. Amalkan selalu dan tanaman tersebut insyaAllah akan subur.

Dipetik dari Seharusnya Anda Tahu, Majalah Famili , Julai 1993