Oleh : Shahil Talib

Kebenaran bermaksud apa yang diperkatakan akan menepati kenyataan. Ertinya apabila kita berkata ini adalah sesuatu, maka ia menepati apa yang diperkatakan. Contohnya apabila kita berkata ini botol, maka apa yang kita maksudkan itu adalah botol. Dengan demikian apabila kita menunjukkan botol tetapi kita kata ia adalah tong, maka ia bukanlah kebenaran melainkan perkataan palsu.

Alat dan sistem untuk menentukan kebenaran

Alat untuk menentukan kebenaran ialah mata dan otak. Tetapi yang dimaksudkan mata itu ialah penglihatan dan otak itu ialah akal.

Semua manusia mempunyai mata untuk melihat. Dengan mata manusia dapat menentukan botolkah atau tong. Mata juga berfungsi untuk membaca dan meneliti. Mata mempunyai hubungan langsung dengan akal dimana apabila mata melihat akal akan menentukan apakah yang dilihat oleh mata. Demikian juga manusia umumnya mempunyai akal yang sihat, yang dapat berfikir dengan sempurna, dapat menilai baik dan buruk. Ini adalah akal yang keseluruhan manusia walaupun kemampuan akal manusia berbeza.

Maka apabila manusia memiliki mata yang dapat melihat dan akal yang sempurna untuk berfikir dan menilai, apakah sistem yang digunakan kepada keduanya untuk menentukan kebenaran? Jawabnya ialah sistem mata celik dan akal norma. Manusia tidak akan dapat menentukan sesuatu tanpa melihatnya. Contohnya mata tidak akan dapatmenentukan botol jika memejamkan mata (melainkan dipegang). Demikian juga manusia tidak akan dapat memahami apa yang tertulis pada buku atau kitab suci jika ia memejamkan matanya. Tetapi walaupun mata melihat dan membaca, jika akal tidak digunakan untuk berfikir manusia tidak akan memahami juga apa yang dilihat dan dibacanya. Maka mustahil manusia mengetahui dan memahami jika ia memejamkan matanya dan membuntukan akalnya apabila melihat sesuatu atau membaca buku dan kitab. Inilah yang dimaksudkan menentukan kebenaran dengan sistem mata celik dan akal norma.

Hukum fitrah akal yang norma

Akal manusia yang norma mempunyai hukum yang unik. Ia adalah sifat kejadiannya yang azali yang melibatkan kepercayaan. Hukum fitrah akal ini terbahagi kepada tiga iaitu hukum wajib pada akal, mustahil pada akal dan harus pada akal.

Wajib pada akal ialah akal menerima keujudan sesuatu perkara dan akal menolak sama sekali ia tidak ujud. Contohnya akal hanya menerima seseorang itu samada cucu ataupun cicit dan menolak jika dikatakan ia adalah cucu dan juga cicit. Akal hanya menerima seseorang itu bangun samada pukul enam atau pukul tujuh pagi dan menolak kenyataan ia bangun pada dua masa itu. Demikian juga akal hanya menerima seseorang itu mati samada pukul sembilan pagi atau pukul dua belas tengahari dan menolak jika dikatakan ia mati dalam dua masa. Maksudnya akal hanya menerima satu peristiwa atau kenyataan sahaja dan akal tidak akan menerima kebenaran dua peristiwa atau kenyataan yang saling bertentangan. Pasti salah satu darinya palsu. Dari itu wajib pada akal ini juga berkait dengan wajib pada adat, iaitu akal menerima kenyataan ikan hidup di air dan menolak ia hidup di darat, menerima api membakar dan menolak ia membasah demikian juga menerima air membasah dan menolak ia membakar.

Mustahil pada akal ialah lawan yang wajib. Ia bermaksud akal menolak sekali sesuatu ujud dan akal menerima bahawa ia tidak ujud. Ia membawa maksud bertentangan dengan wajib pada akal. Ertinya akal menolak sama sekali jika terdapat kenyataan yang saling bertentangan dikatakan kedua-duanya benar. Akal hanya menerima bahawa salah satunya pasti palsu. Contohnya akal menolak sama sekali jika dikatakan dua salasilah yang berbeza kedua-duanya dikatakan benar. Contohnya jika pada kenyataan pertama Ahmad hingga ke Ali adalah tiga keturunan dan kenyataan kedua dua keturunan, akal hanya menolak jika dikatakan kedua-duanya benar dan pasti salah satunya palsu. Demikian juga dikatakan mustahil pada akal jika sesuatu itu berlaku diluar fitrah kejadian. Maka mustahil pada aakal juga berkait dengan musthil pada adat Cuma berlawanan dengan yang wajib pada adat.

Harus pada akal ialah akal menerima samada perkara itu ujud atau tidak ujud., atau ia akan berlaku atau tidak akan berlaku. Contohnya akal mengakui seseorang itu jika tidak beranak samada suaminya atau isterinya mandul, atau kedua-duanya mandul. Atau akal menerima jika awan mendung menandakan hari akan hujan tetapi menerima juga mungkin tidak jadi hujan.

Mengapa manusia gagal menemui kebenaran?

Soalan ini adalah soalan yang sangat penting untuk diperhatikan dengan penuh ketelitian. Manusia telah dikurniakan mata untuk melihat dan akal untuk berfikir, namun manusia masih lagi gagal menemui kebenaran. Mengapa terjadi demikian?

Jawaban yang paling tepat untuk persoalan di atas ialah manusia telah membutakan mata dan memperbodohkan akalnya. Mengapa dikatakan membutakan matanya? Kerana ia tidak menggunakan matanya untuk melihat tanda-anda kebenaran. Contohnya manusia tidak membaca buku atau kitab dengan pandangan yang telus. Ia melihat pertentangan ayat yang pastinya satu daripadanya palsu tetapi ia seolah-olah memejamkan matanya. Dan apabila matanya melihat maka akalnya akan berkata sesungguhnya ayat tersebut palsu, tetapi ia mamaksakan akalnya supaya mengatakan ayat itu benar. Contohnya mata melihat dua kenyataan seseorang itu cucu dan juga cicit, tetapi dipaksakan akalnya untuk mengatakan kedua-duanya benar. Demikian juga apabila ia membaca dua kenyataan kematian yang berbeza, matanya melihat kenyataan tersebut dan akalnya mengakui salah satunya pasti palsu tetapi dia memaksakan akalnya untuk mengatakan kedua-dua kenyataan kematian itu benar.

Mengapakah terjadi keadaan yang tidak seharusnya ini? Ia terjadi kerana seseorang itu gagal meletakkan hukum fitrah akalnya ditempat yang betul. Ertinya ia meletakkan hukum wajib pada akal kepada yang mustahil atau juga sebaliknya. Jadi ia telah menolak fitrah kejadiannya. Maka tidak hairanlah ia telah gagal menemui kebenaran sebaliknya menemui kesesatan.

Mengapa kesucian sesuatu kitab itu dipertikaikan

Dari huraian di atas kita dapat membuat kesimpulan bahawa sesuatu kitab itu hanya boleh dipastikan suci apabila ia bebas dari perkara dan kenyataan yang mustahil. Ia satunya palsu pada penerimaan akal norma. Contohnya ayat-ayat yang menunjukkan pertentangan adalah tertolak untuk dijadikan hujah yang pasti. Maka apabila ia tertolak, peristiwa, perkara atau hukum yang dinyatakan adalah tertolak atau sekurang-kurangnya boleh dipertikaikan.

Walaupun demikian jika terdapat kenyataan yang bertentangan, tetapi ia masih boleh diterima pakai jika melibatkan perkara pilihan. Contohnya jika dikatakan dua perkara jika dilakukan kedua-duanya terbaik, ia adalah menunjukkan kedua-duanya boleh dilakukan dan bukanlah dikatakan mustahil atau satu darinya palsu. Terbaik disitu menunjukkan kebaikan yang banyak.

Adapun mukjizat yang disepakati antara beberapa agama ia boleh diterima dan tidak di dalam bab yang dipeselisihkan. Namun bab mukjizat adalah di dalam perbahasan dan mempunyai hujah tersendiri.