Assalaamu’alaikum w.b.t…… Biasa kita dengar bahawa orang mengatakan seseorang itu berbakat dalam sesuatu bidang, contohnya dalam bidang seni nyanyian, seni lukis, seni ukir dan sebagainya. Tetapi adakah orang tertentu sahaja yang dikurniakan oleh Allah S.w.t bakat tersebut? Dan adakah bakat itu semata-mata telah ada pada pada diri seseorang tanpa dia berusaha untuk mempunyainya? Dan adakah bakat itu hanya dimiliki oleh orang-orang tertentu dan orang lain tidak berpeluang memilikinya? Semuanya hanya Allah yang lebih mengetahui, cuma di sini saya ingin memberikan beberapa pendapat saya mengenai bakat.

Tulisan ini bukanlah mahu memeningkan kepala anda. Jika sekiranya anda merasakan tidak perlu peningkan kepala fikirkan tentang hal ini maka anda tidak perlu membaca tulisan ini. Tetapi jika anda mahukan satu pendapat untuk memberikan kemajuan kepada kita semua tentang bakat maka sila baca tulisan ini dengan lapang dada. Jika sekiranya ada yang tidak berpuas hati maka anda boleh memberikan komen di ruangan yang disediakan.

Saya akan bercakap mengenai hal ini berdasarkan kepada pengalaman sendiri dan beberapa kajian yang telah dibuat. Dan apa yang saya mahu jelaskan di sini bahawa, insyaAllah semua orang berpeluang untuk berbakat dalam sesuatu bidang, hanya doa , usaha dan tawakkal yang akan membezakan tahap pencapaian seseorang. Saya berikan contoh dalam bidang seni lukis dan saya modelkan diri saya sendiri. Sememangnya saya tidak dilahirkan dengan terus pandai melukis, tetapi saya mula mengasah kemahiran melukis sejak lepas SPM dulu. Itu sudah berlaku dalam berbelas tahun yang lalu.

Dan terus terang saya katakan, saya tidak pandai melukis sejak kecil, tetapi sejak peristiwa lepas SPM itu, alhamdulillah saya tidak lah mahu katakan saya ini pandai sangat melukis, tetapi dulu saya pernah melukis potret kawan-kawan dan orang lain, dan juga beberapa bentuk lukisan lain dan mereka semua suka dengan lukisan-lukisan tersebut hingga ada yang sanggup menempahnya. Walaupun dulu saya tidak mengambil upah pun, malah melakukannya hanya sebagai hobi.

Apa yang menjadikan saya mula minat melukis adalah semasa saya mengikut pak saudara saya ke  tempat kerjanya di Pulau Pinang. Waktu itu saya sedang cuti SPM dan kebetulan dia mengajak saya merantau ke sana. Apa lagi saya pun ikut lah dia. Dan waktu saya tinggal di rumah dia itu saya keboringan  hehe, dan saya belilah majalah-majalah untuk dibaca termasuklah Majalah Tv3. Saya rasa sekarang ini majalah itu sudah tiada lagi di pasaran.

Saya belek-belek majalah tu maka terpandanglah ruangan lukisan  sketch gambar-gambar artis. yang dilukis menggunakan pensel hitam Mulalah tercetus minat untuk melukis seperti itu. Saya mengambil kertas kosong dan pensel lalu mula melukis. Memang mula-mula tu macam-macam rupa yang jadi.  Tiru muka artis tapi jadi muka monyet lah, muka hantu lah, hidung sengetlah dan sebagainya. Tetapi sedikit demi sedikit saya tidak putus asa. Dari situ , skill melukis tu datang dengan sendiri,  alhamdulillah.  Sudah tentu saya bermula dengan meniru gambar-gambar foto yang ada dalam majalah. Saya perhati elok-elok gambar yang saya tiru untuk dijadikan lukisan pensel itu, mula dengan bahagian mata, hidung, mulut dan sebagainya. Step by step dan sentiasa guna pemadam untuk membaiki mana-mana bahagian yang tidak kena.

Maka dari situ lah saya mula nampak akan teknik-tekniknya. Terpancarlah sinar cahaya kesenian itu huhu, jangan marah yer. Kemudiannya, setelah lama cuba-cuba melukis tu, saya mula baca buku-buku tentang seni lukis pula. Hingga pendekkan cerita, saya mula faham KONSEP  tentang seni lukis.  Dan terbuka lah pada saya satu pengetahuan bahawa, tidak semestinya seorang itu ada bakat dari kecil untuk menjadi pandai melukis. Tetapi yang penting ada MINAT dan USAHA yang bersungguh. Kefahaman utama yang perlu ada ialah FAHAMI terlebih dahulu KONSEP nya dan pelajari ASAS-ASAS (BASIC) nya. Kemudian tentang aksesorinya kita boleh upgradekan dari semasa ke semasa insyaAllah.

Terus terang saya katakan, sebelum peristiwa tersebut, dari kecil saya memang tidak pandai langsung melukis, malah betul-betul malas jika disebut tentang lukisan. Tetapi mula dari saat saya kenal apa itu LUKISAN tadi, saya mulai faham dan sebenarnya kemahiran itu boleh digarap dan bukan semata-mata bakat dari kecil.

Kita pun sedia maklum, semua orang dilahirkan dalam keadaan tidak pandai suatu apa pun. Yang kita pandai sewaktu kita dilahirkan hanyalah pandai MENANGIS dan NAK MINUM SUSU.  Dan sejak itulah kita mula terdedah kepada macam-macam perkara dalam dunia ini. Alhamdulillah, sungguh indah alam ciptaan Allah S.w.t dan sungguh UNIK sekali. Allah Maha Besar.  Lantas kita dapat belajar macam-macam perkara.

Kemudian lama selepas saya sudah agak pandai melukis tu, tiba zaman saya meminati seni muzik pula. Ini tidak dicampur lagi zaman saya bergiat dalam seni ukir, tetapi hanya seketika sahaja minat tu datang. maka saya tidak teruskan dan berlalu begiu sahaja. Tetapi sekurang-kurangnya nampak juga lah asas-asas dalam seni ukir tu.

Saya telah diketemukan dengan seorang kawan yang amat arif dalam bidang muzik. Maka masa tu memang masa remaja, dan kebetulan pula minat dengan muzik-muzik ni, apa lagi saya telah terBELAJAR bermain gitar dengan dia hehe.  Tetapi di sini saya tidak mahu galakkan anda belajar bermain gitar, tetapi saya hanya mahu ceritakan pengalaman sewaktu saya remaja dulu sahaja. Yang buruk dari saya jangan diambil yerr. Saya hanya mahu berikan contoh berkenaan BAKAT. Dan saya minta maaf, bukan niat saya untuk menunjuk-nunjuk dan mengatakan saya ini seorang yang berbakat , tidak sama sekali huhu.  Tetapi di sini saya hanya mahu berkongsi pengalaman dan pengetahuan tentang bagaimana mahu mengasah BAKAT.

Maka saya pun belajar lah ilmu muzik secara basic dengan sifu saya tu, hingga saya tahulah sedikit asas dalam muzik yang mana muzik itu adalah terdiri dari pengulangan kord iaitu ABCDEFG. Dan ianya diulang-ulang dalam 7 kord yang sama itu , cuma Octave nya sentiasa naik / tinggi. Dan begitulah juga dalam skill goreng gitar, ada skill pentatonic, harmonic, natural, bending, slide, tapping dan sebagainya. Dari situ saya mula faham apa itu muzik dan mula mendalami lagi. Begitu bersungguh saya pada masa itu, ih ih ih, memang merugikan masa tetapi itu lah, masa itu pemikiran saya ni tak begitu matang rasanya. Dan terlebih kepada menurutkan nafsu. Maka nasihat saya, tidak perlu lah bercita-cita tinggi dalam seni muzik yerr  hehe. Jika nak diturutkan rasa kesal kerana begitu banyak masa terbuang waktu itu tidak guna juga, tetapi saya anggap ada hikmah belaka di sebaliknya. Tetapi bagi mereka yang terdetik minat untuk mendalami ilmu muzik ni, saya nasihatkan anda lupakan sahaja niat itu, sebelum menyesal di kemudian hari.

Hasil pembelajaran muzik itu maka saya dapat bermain gitar dengan baik, goreng pun boleh la tahan. Sehinggakan saya boleh menyanyi secara instrumental dengan gitar itu tanpa hafal kod. Kod-kod pada tali itu dari depan hingga ke dalamnya boleh dikatakan semua saya nampak kerana dah biasa sangat dengannya dan tahu asas-asas pengenalan kod di dalamnya. Maka ringkaskan cerita, saya tidak ada pun BAKAT untuk bermain alat muzik dari kecil, tetapi setelah mempelajari ilmu muzik tersebut, maka nampaklah betapa ianya bukan semata-mata bakat dari kecil, tetapi memerlukan kepada proses pembelajaran. Dan untuk makluman, saya telah pun lama BERSARA dalam ilmu muzik dan gitar ni. Semua itu hanya lah memori yang hanya tinggal memori bagi saya. Dan saya kongsikan bersama pengalaman ini di dalam blog yang tidak seberapa jua ini.

Sebenarnya, mereka-mereka yang pandai menyanyi dan sebagainya pun sudah melalui proses pembelajaran tersebut. Proses pembelajaran itu tidak semestinya perlu melalui kelas-kelas khas dan secara rasmi. Tetapi pembelajaran -pembelajaran secara tidak rasmi pun banyak yang boleh berlaku. Antaranya seperti menyanyi dalam bilik air (jangan pandai-pandai amalkan yaa) , mendengar nyanyian dari penyanyi-penyanyi lama, dan cuba mengikuti nyanyian-nyanyian dari penyanyi tersebut. itu lah antara proses-proses pembelajaran secara tidak rasmi yang biasanya berlaku secara tidak disedari.

Dan jika ditambah lagi seseorang itu belajar pula ilmu mengaji berlagu, maka bakat nya itu akan semakin menyerlah dan bagus. Dan jika kita perhatikan pun, penyanyi-penyanyi tempatan yang bagus vokalnya , kebanyakannya adalah mempunyai asas dalam mengaji berlagu atau sekurang-kurangnya pandai juga lah menyanyi berlagu. Dan jika kita perhatikan pula kepada penyanyi-penyanyi barat terutamanya para negro, kebanyakan mereka mempunyai asas dalam nyanyian di gereja. Ia ada kaitan dalam perkara keagamaan masing-masing.

Dan apa yang saya mahu nyatakan ialah jika sekiranya proses-proses pembelajaran secara tidak rasmi  tentang nyanyian itu berlaku dari masa kecil seseorang itu, maka biasanya akan pandai lah dia menyanyi apabila meningkat dewasa. Tetapi maaf ya, saya tidak mahu mengajar anda menyanyi sekarang ini.  Tetapi jika anda mahu pandai menyanyi pun tak mengapa, tetapi mahirkan lah diri dengan menyanyi lagu-lagu nasyid untuk mendekat kan diri lagi kepada Tuhan. Jangan belajar menyanyi lagu-lagu yang melalaikan dan yang semakin menjauhkan diri dari Tuhan, na’uzubillah.

Dan proses-proses pembelajaran tadi mestilah disertai dengan tumpuan, minat, usaha yang bersungguh dan istiqomah, biasanya insyaAllah hasilnya lumayan pak. Dan begitu lah dalam bidang-bidang lain pun. Kita semua mempunyai peluang untuk mahirkan diri, yang penting ialah doa, usaha dan tawakkal sahaja. Dan yang menentukan semuanya hanya lah Allah S.w.t. Kita hanya mampu merancang, Tuhan yang menentukan segalanya. Yang penting jika mahukan sesuatu perkara itu, maka lakukanlah dengan bersungguh, insyaAllah kita akan dapat mencapainya. Dan jika tidak dapat juga, maka bersabarlah kerana ada HIKMAH di sebaliknya. Bukan semua yang kita mahu itu akan kita dapat kerana bukan kita yang memilikinya tetapi kita hanya diberi peluang untuk cuba memilikinya. Tetapi apabila kita dapat memilikinya, ianya bukan hak mutlak kita melainkan hanya sekadar pinjaman dari Allah S.w.t. Dan bukan semua orang mendapat peluang yang sama dan berjaya memilikinya.

Tentang bakat itu juga pun sama, semua orang berpotensi untuk memiliki sesuatu bakat dalam sesuatu bidang, cuma tahap pencapaian dan keberjayaannya sahaja yang berbeza, terpulang kepada berapa banyak usaha yang dibuat, pengalaman masing-masing, peluang dan masa yang ada, kaedah pembelajaran dan sebagainya. Dan apa bila kita sudah berjaya memiliki suatu kemahiran itu, maka gunakanlah ia ke arah kebaikan terutamanya kebaikan pada agama Islam dan masyarakat kita.  Jangan kita gunakan kemahiran kita untuk menzalimi manusia lain, memecah-belahkan sesama saudara, mengejar duniawi semata-mata tanpa batasan dan sekatan dan seumpamanya. Orang pandai ni ada 2 jenis, iaitu pandai buat BAIK dan pandai buat JAHAT. Maka pilih lah yang pertama tu yerrr.

Dan seboleh-bolehnya bakat dan kemahiran yang kita dapat itu janganlah digunakan untuk menunjuk-nunjuk dan menyombongkan diri.  Ini kerana dibimbangi nanti akan termasuk dalam bab riyak, na’uzubillah. Dan sebaiknya gunakanlah ia untuk membantu agama Islam kita dan ummah sekalian. Matlamat asal itu mesti jelas baru lah nampak jalannya insyaAllah.

Dan bakat serta kemahiran sebaik-baiknya tidak dilakukan secara berseorangan, malah perlu bekerjasama dan bantu-membantu antara satu sama lain. Islam pun mengajar kita agar tolong-menolong dalam perkara kebaikan. Kedekut ilmu dan sifat nak pandai sorang-sorang pun bukannya elok sangat;

… Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran…”  Surah Al maidah : Ayat 2

“Sesungguhnya seorang yang beriman bagi seorang beriman yang lain adalah umpama sebuah binaan yang menguatkan antara satu sama lain.” Hadith riwayat Bukhari dan Muslim

Diharap segala pengalaman yang tidak bagus pada diri saya yang telah lalu itu tidak dijadikan tauladan malah dijadikan sempadan. Dan ambil sahaja apa-apa yang baik dan tidak bertentangan dengan Islam.  Semoga memberi manfaat.   Wallahu a’lam 🙂