Assalaamu’alaikum w.b.t…..  Iblis sudah terkenal / popular di kalangan umat manusia sebagai musuh nombor 1 dan musuh bagi setiap individu. Walaupun ada juga sesetengah manusia yang menjadi kawan iblis tanpa disedari, tetapi hakikatnya dia adalah musuh ketat anak Adam, dan dia sendiri telah mengisytiharkannya. Iblis merupakan sejahat2 makhluk yang telah merosakkan jiwa dan raga anak cucu Nabi Adam a.s dari dulu hingga kini. Kita sebagai manusia sepatutnya mengelakkan diri dari bersifat dan berperangai dengan perangai Iblis. Tetapi dalam sedar tidak sedar, kita juga kadang kala berperangai dengan perangainya, na’uzubillah.

Maka sebaiknya kita tahu tentang perangai2 Iblis yang utama yang mana telah menyebabkannya dilaknat oleh Allah S.w.t dan telah dihalau keluar dari syurga dan diubah wajahnya menjadi seburuk kejadian. Dan bukan setakat kita perlu tahu, tetapi sama2 lah kita cuba jauhkan dari berperangai dengan perangai Iblis.

Untuk mengetahui perangai2 Iblis terutamanya perangai2 yang terawal yang ditonjolkan sendiri oleh Iblis, mari kita telusuri sedikit sejarah mengenainya. Perangainya mula berubah dari satu makhluk yang sentiasa beribadah kepada Allah kepada mula menentang Allah sejak mulanya diciptakan Nabi Adam a.s. 

 

Hasad dengki

Sejak mula2 Allah ciptakan Nabi Adam a.s, Iblis telah mula timbul perasaan hasad dalam dirinya, yang mana merasakan cemburu yang teramat terhadap makhluk yang hanya diciptakan dari tanah tetapi telah dimuliakan oleh Allah S.w.t.  Bahkan Allah telah memerintahkannya agar sujud hormat kepada makhluk yang bernama Adam tersebut. Dia merasa terhina, bagaimana dia yang diciptakan dari api (yang disangkakannya lebih mulia) perlu sujud hormat kepada manusia yang hanya diciptakan dari tanah. 

“Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu (Adam), lalu Kami bentuk tubuhmu, kemudian Kami katakan kepada para malaikat: “Bersujudlah kamu kepada Adam”, maka mereka pun bersujud kecuali iblis. Dia tidak termasuk mereka yang bersujud.  Allah berfirman: “Apakah yang menghalangimu untuk bersujud (kepada Adam) di waktu Aku menyuruhmu?” Menjawab iblis “Aku lebih baik daripadanya: Engkau ciptakan aku dari api sedang dia Engkau ciptakan dari tanah”.”   Surah Al A’raaf : Ayat 11-12

Maka setelah Allah menempatkan Nabi Adam a.s di dalam syurga , dan kemudiannya Adam bersama Hawa, maka mula lah Iblis merancangkan niat jahatnya untuk menjadikan Adam dimurkai Allah. Maka dengan hasad dengki yang ada padanya itu dia cuba untuk menghasut Hawa agar memujuk Adam memakan buah khuldi, yang mana Allah telah melarang Nabi Adam dan Hawa dari memakannya. 

Itulah keburukan yang timbul dari perasaan hasad dengki, bukannya mahu menumpang gembira dengan kesenangan orang lain, tetapi merasa benci melihat orang lain senang dan berusaha untuk menjatuhkannya dengan apa cara sekali pun. Sama2 kita jauhi sifat hasad dengki ini. Jika kita merasakan bahawa kita ada mempunyai rasa tidak puas hati dengan orang lain dan cuba menjatuhkannya semata2 kerana hal peribadi, maka hati2 lah. Tetapi kita perlu juga tahu menilai mana dia hasad dengki dan mana dia melaksanakan tuntutan agama dan demi menegakkan syiar Islam. 

Hasad dengki biasanya semata2 kerana hal peribadi, dan tidak bersangkut paut untuk menegakkan Islam dan memperbaiki keadaan masyarakat. Dan hasad dengki sudah tentu lahir dari kerana nafsu yang bergejolak, yang tidak puas hati tengok orang lain senang dan mahu menjatuhkannya semata2 kerana mahu memuaskan hati kita dan merasakan nikmat sepertimana orang yang dihasadkan itu.

 

Takabbur / sombong

Setelah Iblis engkar terhadap perintah Allah agar sujud hormat kepada Adam a.s, dia terus menerus menyombongkan diri. Langsung tidak mahu cuba untuk bertaubat dan memohon ampun dari Allah. Dia terus merasakan bahawa dia itu sangat mulia sedangkan Adam itu hina. Dia merasakan martabatnya lebih tinggi dari Adam , mana mungkin dia mesti sujud hormat kepada Adam.

Peristiwa tentang kesombongan ini difirmankan oleh S.w.t , “Dan (ingatlah) ketika KAMI berfirman kepada Malaikat:’sujudlah kamu semua kepada Adam, Lalu mereka sujud, kecuali Iblis, Dia (iblis) berkata: apakah aku akan sujud kepada orang yang ENGKAU ciptakan dari tanah ?”  Surah Al-Isra : Ayat 61 

“Allah berfirman: “Turunlah kamu dari syurga itu; kerana kamu sepatutnya menyombongkan diri di dalamnya, maka keluarlah, sesungguhnya kamu termasuk orang-orang yang hina”.  Surah Al A’raaf : Ayat 13

Menurut Imam Al-Ghazali, diantara yang menjadi sebab timbulnya sifat Takabur pada diri seseorang atau kelompok adalah kerana Harta dan Kedudukan Dunia, Ilmu pengetahuan, keturunan atau silsilah, kekuatan atau ketangkasan, banyak pengikut, punya penolong atau kerabat, keindahan fisikal dan sebagainya. 

Maka berhati-hatilah kita dari bersifat sombong / takabbur. Orang2 kaya jangan takabbur dengan harta2nya, orang2 cerdik pandai dan ulamak jangan takabbur dengan ilmunya, orang yang berpangkat jangan takabbur dengan pangkatnya, orang yang ramai pengikut jangan takabbur dengan pengaruhnya, orang yang kuat jangan takabbur dengan kegagahannya, orang yang cantik dan lawa jangan takabbur dengan paras rupanya, dan seumpamanya.

 

Dendam

Iblis telah bersumpah dimana dia akan cuba menyesatkan anak Adam dari jalan kebenaran sehingga ke Hari Kiamat. Ini sebagai dendamnya terhadap Adam yang menyebabkannya telah tersingkir dari syurga dan dilaknati oleh Allah S.w.t. Dendamnya bukan setakat 3 keturunan, bukan setakat 7 keturunan, tetapi semua keturunan anak Adam didendaminya.

Maka tidak perlulah kita berdendam dengan orang lain, yang lepas itu lepas lah. Semuanya adalah UJIAN buat kita juga, Allah nak uji setakat mana kesabaran kita.  Alangkah manisnya jika semua orang mempunyai sifat pemaaf lebih2 lagi terhadap dosa2 yang tidak disengajakan dan perkara2 kecil. 

 

Menghasut manusia ke arah kejahatan

Penghasutan pertama berlaku di dalam syurga lagi, iaitu peristiwa Iblis menghasut Hawa agar memujuk Adam memakan buah khuldi. Dan hasutan itu berjaya yang menyebabkan Allah murka kerana mereka berdua telah melanggar larangan Allah. Akibatnya mereka berdua telah diturunkan ke dunia ini sebagai hukuman. Tetapi kita perlu ingat, walaupun Adam a.s telah melanggar perintah Allah itu, tetapi dia telah bertaubat dan taubatnya itu telah diterima oleh Allah. Sedangkan Iblis sampai cerah tidak bertaubat dan tidak memohon ampun pun.

“Iblis menjawab: “Kerana Engkau telah menghukum saya tersesat, saya benar-benar akan (menghalang-halangi) mereka dari jalan Engkau yang lurus,”   Surah Al A’raaf : Ayat 16

“Maka syaitan membisikkan fikiran jahat kepada keduanya untuk menampakkan kepada keduanya apa yang tertutup dari mereka iaitu auratnya dan syaitan berkata: “Tuhan kamu tidak melarangmu dan mendekati pohon ini, melainkan supaya kamu berdua tidak menjadi malaikat atau tidak menjadi orang-orang yang kekal (dalam syurga)”.”  Surah Al A’raaf : Ayat 20

Ada satu peristiwa di zaman nabi Musa a.s di mana Iblis cuba untuk memohon ampun dengan memujuk Nabi Musa a.s agar memohon kepada ALlah. Tetapi setelah Allah perintahkan Iblis agar sujud hormat di kubur Nabi Adam a.s, sebagai syarat untuk dia bertaubat,  Iblis tetap berkeras tidak mahu dan terus menjadi makhluk yang engkar. Dan Iblis sehingga kini dan sampai kiamat akan menghasut manusia agar melakukan kejahatan. 

Maka jangan lah kita ikut perangai tersebut, iaitu mengajak manusia melakukan kejahatan dan membuat kerosakan.  Sebagai contoh mengajak orang lain pergi berjudi, minum arak, berzina, tengok video lucah, hisap dadah, pukul orang, mengganggu ketenteraman awam, mengapi2 kan kemarahan orang terhadap orang lain dan sebagainya.

“Dan janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi, sesudah (Allah) memperbaikinya dan berdo′alah kepada-Nya dengan rasa takut (tidak akan diterima) dan harapan (akan dikabulkan). Sesungguhnya rahmat Allah amat dekat kepada orang-orang yang berbuat baik.”  Surah Al A’raaf : Ayat 56

 

Tidak bersyukur

Iblis yang dulu nya diberi kenikmatan berada di dalam syurga, tetapi dia tidak bersyukur dengan kurnia Allah itu dan memilih untuk menentang Tuhan hanya kerana disuruh agar sujud hormat kepada Adam. Dia lupa segala nikmat yang dikurniakan ke atasnya sebelum itu.  Dia lupa bahawa Allah telah mengangkat darjatnya dahulu di kalangan para malaikat. Dia telah menjadi makhluk yang tidak bersyukur.

 

Dan macam2 lagi

Setelah Iblis berkubu di muka Bumi ini, maka macam2 lagi lah perangainya yang mana telah diajar skil2 kepada Anak cucu Nabi Adam a.s untuk melakukannya juga. Kalau nak tahu, perangai2 yang diharamkan dalam Islam tu adalah perangai2 Iblis lah, senang cerita  :)

 

Kesimpulan

Setelah kita mengenali dan menghayati perangai2 Iblis ini, jangan pula kita dengan mudah melabelkan orang itu orang ini dengan perangai Iblis. Peringatan ini bukannya untuk kita melabelkan orang itu orang ini, tetapi peringatan ini ditujukan kepada kita sendiri, agar kita jauhi perangai2 yang tersebut ini. Muhasabah lah diri kita, sentiasa ingatkan diri kita dengan perangai2 Iblis ini. Jangan hanya pandai tuding jari pada orang lain. Nasihat untuk diri saya belaka juga ni, jangan merasakan kita sahaja yang betul dan paling baik.

Sebelum mengakhiri tulisan kali ini , mari sama2 kita renung2kan maksud ayat2 AlQuran di bawah ini;

“Dan kalau ada dua golongan dari mereka yang beriman itu berperang hendaklah kamu damaikan antara keduanya! Tapi kalau yang satu melanggar perjanjian terhadap yang lain, hendaklah yang melanggar perjanjian itu kamu perangi sampai surut kembali pada perintah Allah. Kalau dia telah surut, damaikanlah antara keduanya menurut keadilan, dan hendaklah kamu berlaku adil; sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berlaku adil.

Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat.

Hai orang-orang yang beriman, janganlah sekumpulan orang laki-laki merendahkan kumpulan yang lain, boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik dari mereka. Dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan kumpulan lainnya, boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik. Dan janganlah suka mencela dirimu sendiri dan jangan memanggil dengan gelaran yang mengandungi ejekan. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk sesudah iman dan barangsiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.

Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan prasangka (kecurigaan), kerana sebahagian dari prasangka itu dosa. Dan janganlah mencari-cari keburukan orang dan janganlah mengumpat satu sama lain. Adakah seorang di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.”  Surah Al Hujuraat : Ayat 9 – 12