Majalah Paris Match edisi 8 Oktober 2009 menyiarkan artikel mengenai pengislaman penyanyi rap Perancis, Diam’s atau nama sebenarnya, Melanie Georgiades, lengkap dengan gambarnya berjubah dan bertudung.
.
Menurut artikel itu, Diam’s, sejak memeluk Islam dan berpakaian demikian tidak pernah lagi meninggalkan rumah tanpa menutup aurat, jauh sekali daripada bersalaman dan berciuman dengan lelaki bukan muhrim. Ini bukan kali pertama majalah itu mendedahkan pengislaman rapper itu.
.
Dalam edisi 8 September 2009, ia menyiarkan gambar penyanyi berkenaan keluar dari sebuah masjid di Paris. Gambar itu rakam secara sembunyi oleh jurugambar majalah itu ketika Diam;s keluar dari Masjid Gunfille, timur laut Paris, bersama-sama suaminya.
.
Penampilannya begitu berbeza jika dibandingkan dengan gaya pemakaiannya dalam siaran televisyen selaku penyanyi rap sebelum ini.
.
Paris Match yang mempunyai edaran meluas di Perancis dan beberapa negara Eropah, pernah meminta pengesahan daripada penyanyi itu sendiri mengenai keputusannya memeluk Islam.
.
Bagaimanapun, perubahan drastik Diam’s berlaku dua bulan selepas dia berkahwin dengan pemuda Islam yang hanya dikenali sebagai Aziz. Ia juga berkait dengan tekanan perasaan yang dialami penyanyi itu selepas meraih kejayaan.
.
Tekanan perasaan itu, menurut Paris Match, mendorong Diam’s mengasingkan diri di samping mencari jalan alternatif bagi membolehkannya menjalani kehidupan lebih sempurna.
.
Dia pernah berkata kepada media Perancis : “Saya gagal menemui penyelesaian terhadap masalah yang selama ini membelenggu jiwa saya, termasuk menerusi perubatan. Kerana itu saya beralih kepada agama.”
.
Dan dalam satu lagi kenyataannya, dia berkata: “‘Kemasyhuran dan kekayaan tidak membuat saya tenteram seperti yang diinginkan. Saya hanya memperoleh ketenteraman itu daripada Allah SWT.”
.
Sumber berkata, rapper itu mengenali Islam menerusi beberapa temannya yang menganut agama itu, termasuk artis Perancis keturunan pendatang, seperti Amel Bent yang keturunan Maghribi dan Jamal Dabouz yang banyak membantu kariernya.
.
Menurut laporan, ibu bapa Diam’s yang beragama Katolik bercerai ketika dia masih kecil dan penyanyi itu pernah cuba membunuh diri ketika berusia 15 tahun.
Dia dilahirkan pada 25 Julai 1980 di Nicosia, Cyprus dan ibu bapanya keturunan Perancis dan Greese. Karier muziknya bermula apabila dia menyertai sebuah kumpulan amatur pada 1994.
.
Pada 1998, dia menandatangani perjanjian perkembangan bakat dengan BMG Music. Dengan bantuan penerbit itu, Diam’s menyertai Universal Records pada 1999. Dia muncul dengan lagi dalam album DJ Mehdi pada 2002 berjudul ‘(The Story Of) Espion.’
.
Lagu Brut de Femme yang dirakam pada 2003 menjulang namanya apabila ia berjaya meraih 10 tempat teratas lagu terbaik di Perancis.
.
Setahun berikutnya, rapper itu mula membabitkan diri dalam penulisan lirik lagu dengan ‘Ma Philosophie,’ yang dinyanyikan oleh bintang Pop Idol, Amel Bent. Lagu itu berjaya menduduki senarai teratas lagu terbaik Perancis pada 2005.
Album Dans Ma Bulle yang mengandungi lagu nyanyian Diam’s dijual sebanyak 50,000 keping pada minggu pertama pelancarannya sementara single pertamanya dari album itu, La Boulette mendapat sambutan hangat dan kekal di tempat pertama carta lagu popular Perancis selama enam minggu berturut-turut.
..
Lagunya Jeune Demoiselle, Ma France à moi dan Confessions nocturnes juga mendapat sambutan.
.
Dans Ma Bulle seterusnya menjadi album paling banyak terjual di Perancis pada 2006 hingga mencapai status intan (jualan melebihi sejuta keping). Ia juga membolehkan Diam’s meraih anugerah Aksi Terbaik Perancis pada Anugerah MTV Muzik Eropah pada tahun berkenaan.
.
Diam’s turut terkenal sebagai aktivis politik menerusi lirik lagu dan juga kegiatan hariannya. Dia menentang kuat dasar antipendatang parti pelampau kanan negara itu yang diketuai Jean-Marie Le Pen. Turut menjadi sasaran sindirannya menerusi lagu ialah Presiden Perancis ketika ini, Nicolas Sarkozy.
.
Lagu-lagunya juga sering diputar dalam kempen Amnesty International. Sekalipun telah menjadi muslimah dan berpakaian menutup aurat, namun Diam’s tidak terus meninggalkan industri muzik.
.
Dia ketika ini sibuk menyiapkan album baru bertema Anak-Anak Sahara, yang mengisahkan bencana kelaparan dan penderitaan yang dialami oleh anak-anak di benua kecil Sahara.
.
Dalam klip terbarunya, dia tetap membawakan lagu rap tetapi dengan gaya dandanan yang jelas berbeza berbanding sebelumnya. Dalam setiap penampilan barunya kini ia pasti menutup auratnya, termasuk rambut,
.
Diam’s memeluk Islam ketika media massa dan dunia politik Barat banyak mengulas mengenai Islam, terutama selepas serangan 11 September 2001. Media Massa Perancis sebelum ini turut mengulas panjang lebar mengenai pengislaman Franck Ribery, pemain bola sepak negara itu selepas berkahwin dengan wanita keturunan Maghribi.
.

Sumber – Harian Metro