Salaamun alaikum. Pepatah melayu lama ini sering ditanam di jiwa pelajar-pelajar sekolah. Ini agar pelajar tersebut belajar bersungguh-sungguh dan akan mendapat hasilnya ketika besar kelak.
.
Tetapi sayang, ada yang menghayatinya hanya sehingga dia tamat belajar dan mendapat pekerjaan yang bagus sesuai dengan kelulusan yang dia ada. Maka selepas itu hidupnya hanyalah ditumpukan kepada hendak bersenang-senang kerana kononnya zaman dia bersakit-sakit sudah habis.
.
Kita lupa bahawa kita sebagai hamba Allah di dunia ini tidak boleh bersenang-senang dan bermewah-mewah sangat melainkan sekadar untuk memenuhi keperluan. Biasanya, apabila banyak bersenang-senang terutamanya bersenang-senang dengan maksiat, maka akan banyaklah susah di kemudian hari nanti.
.
Kerana itulah Nabi Muhammad S.a.w menggalakkan agar kita banyak menangis dan kurangkan ketawa. Bukannya tidak boleh ketawa langsung, tetapi berpada-pada lah.
.
Rasulullah S.a.w melihat Jibril menangis dan Rasulullah S.a.w turut menangis dan berkata: “Kenapa engkau sampai menangis juga wahai Jibril sedangkan kedudukanmu begitu rupa di sisi Allah?” berkata Jibril; “Kenapa aku tidak menangis, kerana siapa tahu keadaanku dalam ilmu Allah tidak seperti yang aku ketahui, dan saya tidak tahu apakah saya tidak mengalami cubaan sebagaimana yang dihadapi oleh Iblis, sedangkan Iblis itu termasuk golongan yang dahulunya beribadat tetapi menyeleweng, dan aku tidak tahu apakah aku akan mengalami sama seperti Harut dan Marut”. Maka menangislah Jibril dan menangislah Rasulullah S.a.w. Lama keduanya menangis, lalu kedengaran suara dari langit; “Hai jibril! Hai Muhammad! Sesungguhnya Allah ‘Azza Wajalla telah menjamin engkau berdua tidak sampai derhaka”. Lalu Jibril naik ke atas dan Rasulullah S.a.w meneruskan perjalanan beliau sehingga bertemu orang-orang Ansar sedang bermain-main dan ketawa-ketawa. Lalu baginda berkata: “Apakah kamu ketawa-ketawa, sedang di belakangmu Neraka Jahannam? Sekiranya kamu tahu apa yang aku tahu, sungguh kamu akan ketawa sedikit dan banyak menangis, kamu tak akan makan dan minum, malah akan menuju ke tempat-tempat yang tinggi untuk memohon perlindungan Allah”.
.
Bayangkanlah, Nabi Muhammad S.a.w walaupun telah dijamin oleh Allah S.w.t masuk syurga dan tidak akan masuk neraka pun tidak pernah ketawa sejak mengetahui keadaan neraka. Ini kan pula kita yang masih tidak tahu apa kesudahannya nanti.
.
Maka dunia ini sebenarnya bukan tempat untuk bersenang lenang dan bermewah-mewah sangat, ianya hanyalah tempat persinggahan sementara untuk menguji manusia siapa yang lebih baik amalnya. “Dan tiadalah kehidupan dunia ini melainkan senda gurau dan main-main. Dan sesungguhnya akhirat itulah yang sebenarnya kehidupan, kalau mereka mengetahui.” Surah Al Ankabuut : Ayat 64
.
Pepatah “Bersakit-sakit dahulu bersenang-senang kemudian” itu sesuai kepada kita semua di dunia ini sebagai hamba Allah, bersenang-senang kemudian iaitu di Hari Akhirat.
Yang menjadi masalahnya ialah Sistem British / Illuminati dulu telah mengatur corak sistem pembelajaran kita. Yang berkelulusan tinggi bergaji besar. Sedangkan kita lupa, sebuah bangunan itu bukan sahaja dibina oleh kontraktor, tetapi dibina oleh pelbagai lapisan manusia dengan kepakaran masing-masing.
.
Dari kuli hingga ke pengarah projek, semuanya berganding bahu. Maka apa relevannya dibeza-bezakan gaji dengan begitu jauh sekali, sedangkan semuanya bersusah payah dengan kaedah masing-masing? Sepatutnya hanya diberi pembahagian kerja dengan yang berkelulusan tinggi menjaga yang berkelulusan rendah, tetapi tidak semestinya yang berkelulusan tinggi itu patut diberi gaji yang jauh lebih banyak dari yang berkelulusan rendah.
.
Sistem yang diajar oleh British itu lah yang telah menyebabkan berlakunya perbezaan taraf ekonomi manusia. Yang kaya semakin kaya dan mewah, yang miskin semakin terdesak dan hidup susah. Sistem hidup manusia pun sudah tidak seimbang / balance lagi, maka ini boleh menimbulkan berlakunya pelbagai jenayah seperti rompakan, ragut, mencuri , pecah rumah dan sebagainya.
.
Kerana itu lah kebanyakan kita sudah lupa sejarah, lupa apa yang British lakukan pada kita semua dengan konsep ‘Divide and Rule’ mereka. Maka kita lahir hari ini dengan keadaan sebegini dan sudah menjadi biasa tanpa kita merasakan ada sesuatu yang tidak betul berlaku dalam masyarakat kita. Jika kita hanya pentingkan diri sendiri dan sudah hidup selesa sekarang, maka kita mungkin tidak akan dapat melihat dan menghayatinya.
.
British mengajar kita dalam tidak sedar, setelah kita mendapat kelulusan tinggi dan mendapat pekerjaan yang bergaji besar, kita merasakan bahawa segala harta yang kita cari itu adalah milik kita. Kita mula memandang rendah mereka-mereka yang berpendapatan rendah dan menganggap kononnya itu kerana mereka dulunya malas belajar dan seumpamanya.
Maka semakin tinggilah jurang perbezaan pemikiran dan ekonomi manusia. Status dan darjat mula terhasil tanpa disedari. Kita semakin lupa bahawa harta pencarian kita itu adalah rezeki dari Allah bukan semata-mata agar kita dapat bersenang-lenang, tetapi di dalamnya ada tanggungjawab-tanggungjawab besar yang harus dipikul. Di dalam harta kita masih ada harta orang lain sebenarnya yang bermandi peluh bekerja untuk kita atau menjalankan projek kita.
.
Adakah kita merasa senang jika kita mempunyai banyak harta tetapi di sekeliling kita masih ramai mereka-mereka yang miskin dan kesempitan hidup? Atau adakah kita merasa senang hati jika kita sama-sama berkorban untuk menyenangkan orang-orang yang susah agar sama-sama senang seperti kita? Apa yang si kaya fikir agaknya ya, sama-sama kita renungkan dan muhasabah diri sebelum kita disoal kemudian hari nanti. 🙂
.
.
~Neezhom~
.