Diriwayatkan daripada Imam As Syafie (Syafi’i) r.a. katanya, “Tidaklah jahil manusia dan tidaklah pula mereka bertelagah kecuali kerana mereka meninggalkan lisan (bahasa) Arab dan beralih kepada lisan Aristotle.”

Daripada nas Imam Shafie ini jelas memperlihatkan bahawa beliau telah membezakan  antara dua sumber pengetahuan manusia dan setiap sumber itu mempunyai pendekatan dan caranya yang tersendiri. Sumber tersebut ialah;

1 – Sumber ilahi iaitu WAHYU.

2 – Sumber kemanusiaan sama ada akal mahu pun hissi (indera).

Medan sumber ilahi ini ialah alam ghaib dan alam akhlak. Sementara medan sumber kemanusiaan ialah alam semulajadi iaitu alam kebendaan yang boleh dirasai.

Orang-orang Yunani / Greek yang diketuai oleh Aristotle telah menyeleweng dari tujuan mencapai keredhaan Allah kerana sikap mereka yang hanya mementingkan logik semata-mata.

Aristotle ingin menundukkan tabi’i (nature) dan metafizika kepada analisis semata-mata. Justeru itu beliau mencipta dengan penuh kesesuaian dan keselarasan seolah-olah sesuai dan teratur tetapi ia gagal sepenuhnya sama ada dalam mencapai kebenaran mahu pun dalam menghayati pendekatan yang dibawanya itu.  Bandingannya seumpama satu logo palsu yang menarik atau seperti fatamorgana di padang pasir. Aliran seperti ini telah membawa manusia kepada satu penyelewengan yang hebat, kekacauan dalam pemikiran dan juga dalam aqidah yang tiada tandingannya.

Kekuatan pemikiran kemanusiaan Aristotle yang sangat hebat ini berjaya mencetuskan polemik yang tidak kunjung padam sehingga sekarang, malah memperlihatkan bahawa dia merupakan seorang intelektual ulung yang mengagumkan dari segi kepandaian, kajian dan pengetahuan yang dimilikinya. Kalau tidak sebegitu hebat pasti kesan beliau tidak akan kekal atau wujud hingga kini.

Lahirnya manusia di dunia ini adalah bersama-sama roh dan perutusan Allah iaitu wahyu yang berfungsi membimbing dan memandu serta menerangkan prinsip-prinsip dan kaedah-kaedah tentang masalah yang manusia tidak boleh menyelesaikannya melalui otak fikiran mereka.  Masalah-masalah itu adalah tentang tingkah laku (suluk) yang sebenar, sama ada dari segi perundangan ataupun akhlak.

Adalah tidak diragui bahawa manusia sememangnya berfikir tentang wahyu semenjak dilahirkan ke dunia lagi. Contohnya manusia ingin tahu sebab-sebab dan hikmah sesuatu dengan tujuan untuk menyelami rahsia dan motif-motif di sebaliknya. Sebab itulah kadang-kadang berlakunya keganasan seperti seorang anak Adam membunuh saudaranya kerana hawa nafsu dan hasad dengki.

Masyarakat silam secara umumnya sangat tunduk kepada perintah Allah S.w.t. Mereka menyerahkan kepada Allah segala persoalan yang berhubung  dengan akhlak dan perundangan yang mereka berselisih tentangnya. Adapun tentang alam tabi’e mereka sangat arif mengenai persoalannya.

Apabila tibanya zaman Yunani, belum lagi wujud satu fahaman bahawa ‘Roh’ itu ialah urusan Allah, maka manusia pun cubalah menjadikan dirinya sebagai rasul meskipun tanpa sebarang hubungan dengan langit (samawi) dan menjadikannya sebagai perancang meskipun tidak izinkan oleh Allah. Oleh kerana itu mulalah mereka mengadakan mazhab akhlak demi mencari-cari kebenaran. Mereka gagal dan lemah untuk sampai kepada kebenaran mutlak.

Natijah kepada pertembungan itu menonjol satu demi satu. Setiap ahli falsafah tetap bercanggah dengan rakannya yang terdahulu dan sentiasa mencari jalan menolak pandangan orang lain.

Ahli falsafah ‘Anaximander’ misalnya bercanggah pendapat dengan Thales. Sementara Heraclitus pula bercanggah pendapat dengan mereka berdua. Lantaran itu timbullah ilham Aristotle, sehingga beliau mengasaskan ilmu mantiq (logik), bertujuan untuk memelihara fikiran dari penyelewengan dan kesesatan. Menurut Aristotle, takrif ilmu Mantiq ini ialah satu alat undang-undang yang boleh mencegah otak daripada melakukan kesilapan ketika berfikir. Tetapi yang peliknya, selepas ilmu ini dicipta dan pemakaiannya berjalan baik, maka tampillah beberapa orang rakan sezaman dan selepasnya mendapati kesalahan yang tidak terkira banyaknya pada ilmu yang diciptakannya itu.

Sama ada mereka mengisytiharkan kesalahan-kesalahan Aristotle atau mereka membuktikan kemelesetan teorinya, sama ada mereka benar atau tidak dalam dakwaan ini , mereka tetap merupakan murid-muridnya sendiri yang belajar di sekolah guru mereka  iaitu Aristotle dan mereka merupakan penyokong-penyokong Aristotle selama ini. Mereka mengakui tidak dapat mempertahankan guru mereka itu yang terbukti banyak melakukan kesilapan, berhubung dengan masalah ‘di sebalik tabi’e’ (metafizika).

Mereka yang terkenal dan dianggap sebagai tokoh dalam dunia falsafah ternyata lemah dan gagal mempertahankan guru pertama mereka (Aristotle). Alat pemelihara akal gagal memelihara akal pencipta dan pengikutnya.

Mereka yang menentang Aristotle itu sendiri pun tidak diakui oleh tokoh-tokoh agung falsafah sebagai berada dalam kebenaran yang mutlak bahkan pandangan-pandangan mereka turut menerima tentangan, perbalahan, kecaman dan penolakan.

Masa terus beredar dan akhirnya terbukti hakikat sebenar tentang kemampuan manusia berhubung dengan penyerlahan alam ghaib yang sangat rahsia bahkan ia dianggap sebagai sekeping batu yang tersembunyi, nisbah kepada akal manusia dan manusia dengan akalnya itu tidak akan dapat menjawab dan menyelami rahsianya.

Maha suci Allah yang mengetahui alam ghaib yang memegang kuncinya dan menahan pendedahannya kecuali diberikan olehNya kepada orang-orang yang diizinkanNya. Orang-orang ini terdiri dari nabi-nabiNya yang mulia dan rasul-rasul.

Akan tetapi manusia ini tetap juga manusia, ingin meneroka dan menyangka bahawa dia boleh mengatasi orang-orang terdahulu, lantas berpendapat bahawa tidak semestinya kegagalan orang-orang terdahulu itu menghalang kita untuk terus meneroka. Inilah dia manusia yang angkuh dengan keangkuhannya tidak mempunyai batasan serta khayalan yang tidak mempunyai sempadan.

Gelombang penyelewengan yang ditaja oleh Aristotle terus berjalan melangkah abad demi abad sehingga sampai kepada dunia Islam dalam zaman pemerintahan Abbasiyyah yang pertama dan sebelumnya.  Maka jadilah umat Islam bertelagah selepas mereka bersetuju dan berpecah belah selepas mereka bersatu-padu.

Imam As Syafi’e melihat gejala ini dan terus berfikir serta merenung jauh lalu menegaskan pendiriannya melalui kata-kata hikmat yang sangat mendalam pengertiannya, “Tidaklah jahil manusia dan tidaklah mereka bertelagah kecuali disebabkan mereka meninggalkan ‘lisan al Arab’ dan mereka cenderung kepada lisan Aristotle.”

Kata-kata ringkas ini pasti memerlukan banyak huraian.  Lisan Aristotle yang dimaksudkan oleh Al Syafi’e ialah fikiran Yunani iaitu ilmu Mantiq (logik), ilmu metafizika (ilmu di sebalik nature) dan ilmu akhlak.

Sesungguhnya Islam telah diturunkan amat jauh daripada ilmu manusia ini. Islam ialah wahyu ilahi, umat Islam hidup berpuluh-puluh tahun dan mereka tidak mengetahui sesuatu kecuali wahyu yang diturunkan di mana mereka tidak menyeleweng daripadanya.

Buku-buku Islam yang silam telah membawa berita-berita bagaikan cerita-cerita dongeng yang difahami secara mudah dan spontan tentang penerapan masuk fikiran Yunani ke dalam dunia Islam dan sebab-sebab timbulnya yang demikian itu.

Mereka menceritakan bahawa sebab keluarnya buku-buku Yunani dari bumi Rom ke negara Islam adalah berpunca dari Yahya bin Khalid bin Barmak.  Buku-buku Yunani itu difahamkan ada tersimpan di negara Rom. Apabila raja Rom merasa bimbang dan takut jika rakyat Rom berkesempatan membaca buku-buku tersebut, kemungkinan mereka akan meninggalkan agama Nasrani dan kembali kepada agama Yunani iaitu agama mereka yang asal, maka mereka akan berpecah belah dan berseleraklah jemaah mereka. Justeru itu raja berkenaan telah mengambil semua kitab itu dan disimpan  di dalam satu bilik dengan kukuh sehingga tidak boleh diambil oleh sesiapa pun.

Apabila pemerintahan kerajaan Bani Abbas berpindah kepada Yahya bin Khalid, beliau pun menghubungi raja Rom kerana pernah mendengar bahawa raja Rom tersebut banyak menyimpan kitab-kitab Yunani yang diwarisi. Beliau merupakan seorang zindiq (atheist) dan berpura-pura mengutuskan seorang wakil menemui raja Rom dengan membawa hadiah tanpa mengharapkan apa-apa balasan daripada raja Rom itu.

Selepas beberapa kali pertemuan antara wakil Yahya bin Khalid dengan raja Rom itu, baginda (raja Rom) pun memanggil beberapa orang daripada kalangan orang-orang istananya lalu berkata kepada mereka, “Lelaki ini ialah khadam daripada raja Arab yang begitu banyak menghantar hadiah kepada aku tanpa meminta apa-apa balasan, bahkan aku mendapati beliau selalu meminta maaf daripada pemberian hadiahnya itu. Aku bimbang dan sentiasa runsing memikirkan perkara ini kerana takut nanti terdapat hajat yang tersembunyi yang terlalu berat untuk aku tunaikan”.

Apabila datang wakil Yahya bin Khalid itu beliau pun berkata kepadanya, “Beritahulah raja kamu itu jikalau dia inginkan sesuatu, sebut dan sampaikanlah”.  Apabila wakil itu pulang memberitahu rajanya, maka dia (raja) pun berkata, “Hajatku ialah buku-buku yang tersimpan, kalau boleh dihantarkan kepadaku untuk diambil sesuatu yang diperlukan kemudian akan dihantar balik kepadanya (raja Rom)”.

Mendengarkan hajat ini maka raja Rom pun sangatlah gembira dan terus memanggil paderi dan pendita-pendita ke istananya lalu berkata kepada mereka, “Sayugia aku pernah menceritakan kepada anda bahawa terdapat seorang raja Arab yang sangat baik dan tidak pernah meminta sesuatu pun dari kita, sekarang ini beliau telah pun menyampaikan hajatnya yang aku kira sangatlah ringan dan tidak keberatan untuk dipenuhi.  Dengarlah pandangan ku ini dan kalaulah anda semua bersetuju marilah kita bermesyuarat sehingga tercapainya persetujuan bersama.”  Mereka semua pun menjawab, “Apakah itu?”  Lantas beliau menjawab, “Hajatnya ialah buku-buku Yunani dan dia inginkan sesuatu yang berfaedah dari buku-buku tersebut dan kemudian beliau akan mengembalikan semula kepada kita, bagaimanakah pandangan anda semua?”

Beliau berkata lagi, “Apa yang ditakuti dari buku-buku Yunani dahulu mahupun sekarang ialah kalau buku-buku tersebut jatuh ke tangan orang-orang Nasara (Kristian), maka dengan pembacaannya boleh meruntuhkan agama dan memporak perandakan kumpulan mereka. Aku melihat bahawa ada baiknya aku menghantar buku-buku itu kepada mereka tanpa diminta supaya memulangkannya kembali, biar mereka menjadi kelam-kabut dan berselerak sedangkan kita terselamat dan aman damai dari kejahatan buku-buku itu.”  Lantas pembesar-pembesar menjawa, “Ya, kami bersama-sama pandangan tuanku. Laksanakanlah pandangan itu dan hantarlah buku-buku itu kepada Yahya bin Barmak.”

Apabila tiba sahaja buku-buku itu kepada Yahya bin Barmak, beliau terus mengumpul orang-orang Zindiq (ateist) dan ahli-ahli falsafah. Buku pertama yang dikeluarkan dari rangkaian buku-buku itu ialah buku yang berjudul ‘Had Mantiq’.  Berkatalah Muhammad bin Abi Zaid, “Dan katakanlah , sesiapa yang mengkaji buku ini sungguh-sungguh dia akan selamat dari Zindiq.”

Adapun tentang kejahilan manusia disebabkan kecenderungan mereka kepada lisan Aristotle dan mereka membelakangkan lisan Arab, maka ungkapan ini perlulah dijelaskan maksudnya. Tetapi apa yang agak ganjil di sini ialah pengetahuan mengenai teori Yunani yang dianggap sebagai jahil sementara bertambah ilmu dalam erti kata meninggalkan lisan Arab dianggap sebagai ‘bertambah jahil’.

Maka sesiapa yang meminda daripada lisan Syarak dengan tujuan apa pun, maka amalannya itu dikira ‘jahil dan sesat’. Inilah yang dimaksudkan oleh Imam AsSyafie dengan ‘kejahilan manusia’.  Lisan Aristotle yang dimaksudkan ialah, “Teori-teori atau fikiran Yunani mengenai perkara-perkara di luar tabi’e (metafizika) , juga mengenai ‘akhlak’ yang berdasarkan perhitungan ‘akal’ semata-mata.”

Lisan Aristotle itu tidak semestinya khusus untuk orang-orang Yunani sahaja. Sebenarnya mana-mana aliran yang cuba menjadikan akal sebagai asas dalam membicarakan persoalan akhlak dan persoalan di luar tabi’e maka aliran seumpama itu tetap dikenali sebagai aliran Aristotle iaitu sebarang analisis yang bergantung sepenuhnya kepada akal semata-mata.

Percubaan pertama yang membawa maksud ini telah berlaku dalam sejarah awal kedatangan Nabi Muhammad S.a.w iaitu apabila muncul sekumpulan umat Islam yang cuba membicarakan persoalan qadar dengan menggunakan akal. Apabila Rasulullah S.a.w mengetahuinya, baginda terus melarangnya dan tidak membenarkan sama-sekali persoalan itu dibincangkan dengan menggunakan akal semata-mata.

Maka semestinya Bahasa Arab itu difahami secara mendalam dan seterusnya dikuasai dengan sepenuhnya untuk membolehkan seseorang itu dapat menyelami rahsia-rahsia yang terkandung dalam kitab Allah Yang Maha Suci.  Memahami kitab suci AlQuran Alkarim dan berpandukannya merupakan maksud Imam As Syafie ketika menyeru umat manusia meninggalkan lisan Aristotle dan kembali kepada lisan Arab iaitu wahyu.

Membicarakan persoalan-persoalan berdasarkan kepandaian manusia semata-mata merupakan lisan Aristotle Yunani yang akan membawa manusia kepada kejahilan. Ini kerana ia mengalihkan pandangan daripada wahyu kepada pemikiran manusia dan sekaligus sebagai mengalih daripada ilmu kepada jahil. Lanjutan daripada itu, umat akan turut berpecah-belah dan bergeseran sesama-sendiri meskipun mereka menganuti aqidah yang satu dan pegangan  yang sama. Pengalihan kepada sesuatu yang berkemungkinan akan berlakunya kesilapan, menyeleweng dan sesat pemikiran , membawa makna pengalihan daripada sumber kesatuan (wihdah) kepada punca keselerakan atau kecelaruan.

Benarlah seperti kata As Syafie , “Tidaklah jahil manusia dan tidaklah pula mereka bertelagah kecuali kerana mereka meninggalkan lisan Arab dan beralih kepada lisan Aristotle.”

.

Sumber:

1 – Petikan dari buku  Islam dan Akal – As Syeikh Abdul Halim Mahmud