Salaamun alaikum w.b.t……. Krisis Malaysia dan Indonesia melanda lagi dan tidak habis-habis dengan masalah berebut perairan dan wilayah. Saranan yang dibuat oleh Ketua Umum Partai Persatuan Pembangunan di Indonesia iaitu Suryadharma Ali amatlah bagus, iaitu agar kedua-dua belah pihak cepat berunding dan menentukan batas wilayah di antara kedua negara ini.

Amatlah sedih di lihat ada protes-protes liar di kedutaan Malaysia di Indonesia. Sehinggakan ada penunjuk-penunjuk perasaan yang membakar , memijak dan meludah bendera Jalur Gemilang ,  melaung-laungkan “ganyang Malingsia”, serta ada juga yang melempar bungkusan najis manusia ke dalam pagar kedutaan.  Itu sudah menunjukkan satu penghinaan terhadap rakyat Malaysia, akan tetapi amatlah diharapkan agar rakyat Malaysia jangan melakukan perkara yang sama seperti itu. Sebaiknya kita bersabar dan menyelesaikan perkara ini dengan tenang dan aman.  Biarkan pihak-pihak berkuasa berunding dengan baik dahulu.

Kita mesti sedar juga bahawa ada pihak-pihak luar yang akan mengambil kesempatan untuk mengapi-apikan lagi permusuhan antara Malaysia dan Indonesia, terutamanya melaga-lagakan sesama Muslim. Tidak mustahil ini juga adalah salah satu dari agenda mereka. Kerana itu lah saya menyeru agar kita semua bersabar, berdoa banyak-banyak ke hadirat ilahi agar suasana ini tidak menjadi semakin tegang. Dan semoga pihak-pihak berkuasa dapat berbincang dengan elok dan menyelesaikan krisis ini secepat mungkin.  Dan diharapkan agar jangan lah ada  suatu pihak melakukan provokasi yang boleh menambahkan lagi semaraknya api yang sedang membara. 🙂

Jangan hanya kerana kes berebut perairan atau wilayah hingga menyebabkan berlaku peperangan saudara dan sebagainya., sedangkan masing-masing sudah cukup dengan kawasan masing-masing Semoga kita dapat belajar dari sejarah tentang buruk dan padahnya akibat dari berebut kawasan.  Ingatlah , majoriti kita adalah beragama Islam dan umat Islam itu bersaudara.   Jangan biarkan musuh-musuh Islam bersorakan dan bertepuk tangan akibat dari perpecahan dan perbalahan sesama Islam …….

“Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat” [Surah Al-Hujurat : Ayat 10]

“Bukan termasuk Ummatku orang yang mengajak kepada Ashabiyah (perkauman), dan bukan termasuk ummatku orang yang berperang atas dasar Ashabiyah, dan bukan termasuk ummatku orang yang mati atas dasar Ashabiyah.” ( Hadith Riwayat Abu Dawud).