Euglena ialah tumbuhan atau haiwan yang sangat kecil yang mempunyai satu sel. Dikatakan tumbuhan kerana ia mempunyai klorofil dan boleh membuat makanan sendiri. Biasanya ia juga dikumpulkan dalam kelas haiwan kerana ia boleh bergerak dengan laju dan mempunyai rongga untuk memasukkan makanan.
Euglena berbentuk cerut dan panjangnya lebih kurang satu milimeter. ia bergerak dengan laju dalam air dengan bergerak seperti cacing dan dengan menggunakan flagela (flagellum), iaitu unjuran di hujung badannya. Binaan badan Euglena adalah sama dengan hidupan satu sel yang lain. Perbezaan di antara tumbuhan satu sel dan haiwan satu sel adalah sedikit sahaja. Euglena dikelaskan sebagai tumbuhan kerana kebolehannya membuat gula apabila terdedah kepada cahaya.
Kloroplas hijau terdapat dalam badannya, dan oleh itu dapatlah fotosintesis berlaku. Euglena juga dianggap haiwan kerana ia mempunyai mulut, kerongkong dan bergerak dengan satu flagela.
Sungguh pun ia mempunyai mulut dan kerongkong, kebanyakan makanan yang bukan hasil dari fotosintesis diserap melalui dinding badannya daripada air sekelilingnya. Kulit nipis badan Euglena dinamakan pelikel. Kulit ini meliputi bahan jernih yang dinamakan ektoplasma (gel hening) dan ektoplasma ini pula meliputi endoplasma. Pernafasan dan perkumuhan adalah dengan proses resapan (diffusion) melalui dinding badan. Pembiakan dilakukan secara pembahagian sel memanjang.
Sungguh pun Euglena tidak bermata, ada satu bintik yang peka kepada cahaya. Dengan bantuan bintik ini lah ia bergerak ke arah cahaya. Euglena termasuk dalam golongan Protozoa dan kadang-kadang dikenali dengan nama rumpair hijau.
Rujukan :
1 – Majalah Dewan Siswa, Mac 1990
Komen terkini