Hukum / Undang-undang Islam telah pun dijalankan di Tanah Melayu ini sebelum kedatangan penjajah dahulu. Menurut Prof Syed Muhammad Naquib, Islam mula diterima di Melaka pada tahun 812 hijrah (1409 Masihi). Ini menjadikan Melaka sebagai kesultanan Melayu Islam pertama di tanah air ini.
Parameswara telah memeluk Islam dan menukar namanya kepada Sultan Iskandar Syah. Baginda diIslam kan oleh seorang pendakwah dari Jeddah yang bernama Sayyid Abd Aziz.
Ketahuilah bahawa, Kesultanan Melayu Melaka ini telah menjadikan Undang-Undang Islam sebagai undang-undang negara. Dan usaha untuk mengkanunkan undang-undang ini telah dimulakan sejak pemerintahan Sultan Muhammad Syah (1422 – 1444) dan dilengkapkan di dalam zaman Sultan Muzaffar Syah (1445 – 1450). Hukum kanun Melaka meliputi bidang yang luas termasuklah jenayah, mu’amalah, keluarga, acara, keterangan, adab alqadi dan undang-undang pentadbiran dan pemerintahan. Hukuman keseksaan pula berdasarkan kepada bentuk hudud, qisas, diat dan ta’zir.
Menurut beberapa orang pengkaji barat, seperti William R. Roff dan Alfred R. Rubin bahawa Undang-undang Melaka itu pada dasarnya berasaskan Undang-undang Islam di samping Hukum Akal dan Hukum Adat. Pendapat mereka ini adalah menepati kenyataan yang terdapat di dalam qanun tersebut;
“Mengikut hukum Allah, pada hukum Allah, menurut dalil AlQuran dan menurut amar bil ma’ruf wa nahi munkar”
Berdasarkan kepada teks Hukum Qanun Melaka yang diselenggarakan oleh Dr Ph. S. Rankel mengandungi 27 fasal , Kitab Undang-undang Melaka dari Muzium British, mengandungi 44 fasal dan Undang-undang Melaka yang diselenggarakan oleh Liaw Yock Fang , mengandungi 44 fasal, setelah diteliti dan dikaji, dapatlah disimpulkan bahawa , Undang-undang Qanun Melaka ini adalah pada keseluruhannya berdasarkan Undang-undang Islam menurut Mazhab Syafie.
Walaupun tidak dinafikan bahawa di dalamnya terdapat juga unsur-unsur Undang-undang Adat Melayu, namun demikian ianya tidaklah menjejaskan sifat keIslamannya. Peruntukan-peruntukan undang-undang yang terdapat di dalamnya adalah menyeluruh dan luas, ianya mencakupi keseluruhan undang-undang Islam.
Komen terkini