Barat sengaja melakukan provokasi terhadap hukuman rejam di Iran

2 Komen


Salaamun alaikum w.b.t……. Tidak habis-habis media barat sengaja membuat provokasi dan menakut-nakutkan masyarakat dengan undang-undang Islam. Sebagai contoh yang terbaru di Iran, kes seorang wanita yang mana dia sendiri telah mengaku salah dan terlibat dalam pembunuhan suaminya pada tahun 2005, di samping telah melakukan aktiviti Zina ketika suaminya masih hidup.  Wanita yang bernama Sakineh Mohammadi Ashtiani itu telah dijatuhkan hukuman sebat sebanyak 99 kali di atas kesalahan berzina pada tahun 2006. Dan dia juga akan dijatuhkan hukuman rejam dengan batu sampai mati kerana berzina ketika dia masih mempunyai suami pada tahun 2005 dulu.

Media-media barat menulis tentang perkara ini dan komen-komen dari pembaca menuduh Islam sebagai agama ganas, memakai hukum purba yang kolot dan sebagainya. Mereka melihat hukuman itu sebagai kejam dan tidak munasabah Tuhan yang mencipta manusia menyuruh melaksanakan undang-undang tersebut.  Tetapi mereka langsung tidak melihat akan perbuatan jijik yang telah dilakukan oleh wanita yang bersalah tersebut.  Perbuatan yang mana boleh merosakkan keturunan dan rumahtangga itu sendiri. Sedangkan Allah S.w.t memerintahkan agar dilaksanakan undang-undangNya semuanya mempunyai hikmah masing-masing.

Wanita itu sendiri pun telah mengaku salah, bukannya tiada bukti atau tuduhan palsu dan sebagainya.  Maka terpulanglah kepada kerajaan Iran untuk melaksanakan hukuman ke atas si pesalah itu kerana kes itu berlaku di dalam  negara mereka dan telah lama termaktub dalam undang-undang mereka.  Tetapi pihak-pihak barat sengaja mahu cari alasan untuk memburukkan Iran kerana sebagaimana diketahui, Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya memang sudah berdendam dan ingin menghancurkan Iran.   Bukan hanya kerana Iran adalah negara Islam, tetapi Iran juga mempunyai banyak sumber minyak yang boleh mengkayakan Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya.  Maka dengan taktik serangan psikologi seperti ini lah mereka cuba untuk memancing sokongan dari masyarakat dunia.

Mereka amat takut terhadap undang-undang Islam yang sememangnya mereka nampak seperti zalim, tetapi jika difikirkan masak-masak , ianya adalah untuk mengelakkan dari manusia melakukan lebih banyak maksiat dan menjadi terus rosak akhlak dan sebagainya.

Lagi

Advertisements

Undang-undang Islam di Malaysia – Bahagian 1

5 Komen


Hukum / Undang-undang Islam telah pun dijalankan di Tanah Melayu ini sebelum kedatangan penjajah dahulu. Menurut Prof Syed Muhammad Naquib, Islam mula diterima di Melaka pada tahun 812 hijrah (1409 Masihi). Ini menjadikan Melaka sebagai kesultanan Melayu Islam pertama di tanah air ini.

Undang-undang Islam di Malaysia picture

Parameswara telah memeluk Islam dan menukar namanya kepada Sultan Iskandar Syah. Baginda diIslam kan oleh seorang pendakwah dari Jeddah yang bernama Sayyid Abd Aziz.

Ketahuilah bahawa, Kesultanan Melayu Melaka ini telah menjadikan Undang-Undang Islam sebagai undang-undang negara. Dan usaha untuk mengkanunkan undang-undang ini telah dimulakan sejak pemerintahan Sultan Muhammad Syah (1422 – 1444) dan dilengkapkan di dalam zaman Sultan Muzaffar Syah (1445 – 1450). Hukum kanun Melaka meliputi bidang yang luas termasuklah jenayah, mu’amalah, keluarga, acara, keterangan, adab alqadi dan undang-undang pentadbiran dan pemerintahan. Hukuman keseksaan pula berdasarkan kepada bentuk hudud, qisas, diat dan ta’zir.

Menurut beberapa orang pengkaji barat, seperti William R. Roff dan Alfred R. Rubin  bahawa Undang-undang Melaka itu pada dasarnya berasaskan Undang-undang Islam di samping Hukum Akal dan Hukum Adat. Pendapat mereka ini adalah menepati kenyataan yang terdapat di dalam qanun tersebut;

“Mengikut hukum Allah, pada hukum Allah, menurut dalil AlQuran dan menurut amar bil ma’ruf wa nahi munkar”

Berdasarkan kepada teks Hukum Qanun Melaka yang diselenggarakan oleh Dr Ph. S. Rankel mengandungi 27 fasal , Kitab Undang-undang Melaka dari Muzium British, mengandungi 44 fasal dan Undang-undang Melaka yang diselenggarakan oleh Liaw Yock Fang , mengandungi 44 fasal, setelah diteliti dan dikaji, dapatlah disimpulkan bahawa , Undang-undang Qanun Melaka ini adalah pada keseluruhannya berdasarkan Undang-undang Islam menurut Mazhab Syafie.

Walaupun tidak dinafikan bahawa di dalamnya terdapat juga unsur-unsur Undang-undang Adat Melayu, namun demikian ianya tidaklah menjejaskan sifat keIslamannya. Peruntukan-peruntukan undang-undang yang terdapat di dalamnya adalah menyeluruh dan luas, ianya mencakupi keseluruhan undang-undang Islam.