Oleh: Baharrudin Zainal

Pendahuluan

Seperti biasa menjelang bulan Ramadhan dan Syawal terdapat beberapa rencana dalam akhbar-akhbar tempatan yang memperkatakan tentang tarikh berpuasa atau mengkritik sistem taqwim dan amalan merukyah yangdiamalkan di negara kita. Ada yang menyuarakan pendapat bahawa ‘hisab canggih’ telah tidak digunakan dan tidak kurang pula yang melahirkan kesedihan kerana kononnya cara penentuan awal bulan puasa dan hari raya di Malaysia sudah ketinggalan zaman. Terdapat juga yang melahirkan kebimbangan bahawa ‘cermin raksasa’ yang terletak di pengkalan angkasa lepas Mir kepunyaan Russia akan mempengaruhi usaha melihat anak bulan di Malaysia.

Melihat Anak Bulan Sebagai Asas Takwim Hijriyyah

Mengikut sejarah, amalan penentuan awal bulan di Malaysia, khususnya Ramadhan dan Syawal sering berubah dari segi kaedah. Tetapi semenjak tahun 1982, dasar rukyah dan hisab telah digunakan. Walaupun telah sekian lama kaedah ini digunakan, masih terdapat sebahagian masyarakat kita yang masih menganggapkan bahawa amalan rukyah yang diamalkan sudah ketinggalan zaman dan membelakangkan pengetahuan astronomi moden. Sebenarnya amalan merukyah turut mengalami perubahan, sesuai dengan perkembangan teknologi dalam bidang astronomi.

Sejak kedatangan Islam di nusantara, masyarakat telah pun menggunakan taqwim hijriyyah bagi menggantikan apa-apa sistem taqwim yang terdapat ketika itu. Pada peringkat ini permulaan tarikh bagi semua bulan ditentukan dengan melihat anak bulan. Tanpa menggunakan almanak atau perhitungan yang rumit, masyarakat tempatan akan memulakan bulan baru hijriyyah selepas mereka nampak anak bulan atau bulan sabit yang pertama di ufuk barat selepas waktu maghrib. Mereka mengamalkan konsep bahawa bilangan bulan-bulan hijriyyah itu sama ada 29 hari atau 30 hari. Pengamatan fasa bulan di langit dari anak bulan, bulan sabit, purnama, sabit tua dan bulan gelap, menjadikan sistem taqwim ketika itu begitu mudah. Apabila menjelang bulan Ramadhan, masyarakat setempat dengan diketuai oleh ulama-ulama tempatan akan pergi melihat anak bulan secara beramai-ramai. Terdapat juga laporan-laporan yang suatu masa dahulu, para nelayan kita bersama-sama membantu usaha merukyah dan melaporkannya kepada pihak berkuasa agama tempatan.

Sebelum tahun 1970an, melihat anak bulan dilakukan dengan mata kasar sahaja atau dengan alat bantuan yang terhad seperti ‘sextant’ dan ‘rubu mujayyab’. Kini, kesemua tempat melihat anak bulan di Malaysia telah dilengkapi dengan peralatan ‘teodolit’ dan ahli-ahli rukyah dibekalkan dengan data rukyah yang mengandungi jadual pergerakan bulan dan matahari pada hari rukyah. Kemudahan begini sudah boleh dianggap memadai untuk tujuan merukyah anak bulan kerana di seluruh negara terdapat sebanyak 26 tempat melihat anak bulan. Kedudukan anak bulan ditentukan pada setiap minit, dan ahli-ahli rukyah bukan sahaja dipertanggungjawabkan untuk melihat anak bulan tetapi juga untuk meneliti bentuk bulan sekiranya kelihatan.

Amalan Merukyah Menurut Astronomi Taqwim

Melihat anak bulan atau merukyah telah menjadi agenda tradisi masyarakat Islam. Ia adalah satu cara yang mudah dan berkesan untuk penentuan tarikh. Oleh itu melihat anak bulan telah dijadikan sebagai asas takwim dalam beberapa tamadun terdahulu seperti Mesir Purba, Babilonia,Hindu dan tidak ketinggalan dalam tamadun Islam. Di sekitar abad ke 7M hingga ke 16M, ahli-ahli falak Islam telah melakukan pencerapan anak bulan dan objek langit lain secara saintifik. Malahan hasil-hasil cerapan direkodkan untuk tujuan memperbaiki jadual- jadual pergerakan bulan, matahari dan planet-planet.

Takwim Islam yang asal adalah berdasarkan kenampakan anak bulan. Rekod-rekod cerapan silam, menunjukkan bagaimana ahli-ahli falak Islam melakukan rukyah dan membuat kajian mengenai kenampakan anak bulan. Perkembangan terbaru menunjukkan ahli-ahli astronomi amatur di Amerika Syarikat juga melakukan aktiviti melihat anak bulan dan melaporkan kenampakan mereka kepada satu badan yang menjalankan kajian kenampakan di sana. Oleh itu melihat anak bulan telah menjadi satu kaedah penyelidikan takwim yang saintifik dan tidak lagi boleh dianggapkan sebagai satu aktiviti keagamaan yang bersifat rutin. Keputusan sama ada bermula atau tidak bulan baru, tidak semata-mata bergantung kepada kenampakan anak bulan, tetapi lebih bergantung kepada ‘sifat anak bulan’ itu sendiri. Dari satu aspek lain, sekiranya kita kita bergantung kepada hasil rukyah untuk membuat taqwim, tentunya taqwim tersebut tidak dapat memenuhi kehendak dan keperluan takwim awam kerana tarikh awal bulan hanya boleh ditentukan selepas usaha melihat anak bulan dibuat. Oleh itu ahli-ahli astronomi dan ahli-ahli takwim Islam telah membuat satu pendekatan baru tentang takwim rukyah, iaitu yang berdasarkan kepada kemungkinan nampak anak bulan atau ‘imkannur rukyah’. Kaedah ini mula diperkenalkan sejak tahun 1978 melalui resolusi Persidangan Hilal Negara-negara Islam di Istanbul. Tetapi kebanyakan negara yang menghadiri sidang tersebut, bukan setakat tidak melaksanakan resolusi berkenaan tetapi negara-negara mereka masih mengamalkan kaedah-kaedah takwim yang meragukan dari segi astronomi takwim.

Setiap tahun, terdapat banyak laporan bahawa anak bulan telah kelihatan di sesuatu tempat. Tetapi kebanyakan laporan tersebut boleh ditolak, kerana ‘hisab canggih’ sendiri telah menunjukkan dakwaan tersebut tidak boleh diterima. Tahun ini (1993M/1413H), kita mendapat berita yang anak bulan Ramadhan 1413 telah kelihatan di Wilayah Yala, Selatan Thai, pada petang hari Ahad, sedangkan rombongan rasmi melihat anak bulan di Malaysia (24 tempat), Indonesia dan Brunei tidak dapat melihatnya, kerana bulan yang merentasi Asia Tenggara pada petang tersebut ialah bulan sabit tua yang terbenam kira-kira 15 minit sebelum waktu maghrib. Bulan sabit tua pula mustahil dapat dilihat ketika itu, kerana berada terlalu hampir dengan matahari dan fasa cahayanya cuma 0.05% atau 1/2000 daripada saiz bulan. Menurut hisab pergerakan bulan dan matahari pada hari tersebut (21 Februari 1993), fenomena pemisahan bulan lama dengan bulan baru (ijtimak) hanya berlaku di sebelah barat rantau Asia Barat dan negara-negara Eropah, maka ke timur dari negara-negara berkenaan, anak bulan sebenarnya belum wujud lagi. Di Arab Saudi sendiri pada hari tersebut, bulan menurut hisabnya akan terbenam bersama-sama matahari. Berita Nida Ul-Islam yang disiarkan pada pagi Jumaat, 19 Februari 1993 pula menyiarkan keputusan mahkamah tinggi Arab Saudi yang mengeluarkan arahan supaya rakyatnya merukyah pada hari Sabtu, 20 Februari 1993. Keputusan kemudiannya diumumkan bahawa anak bulan tidak kelihatan dan 1 Ramadhan di Arab Saudi diisytiharkan jatuh pada hari Isnin, 22 Februari 1993. Sesuatu yang nyata ialah hari Sabtu (20 Februari 1993) telah menjadi tanggal 29 Syaaban 1413 di Arab Saudi, sedangkan menurut perkiraan takwim hakiki untuk negara Arab Saudi hari tersebut semestinya 28 Syaaban, kerana 1 Syaaban di Arab Saudi sepatutnya jatuh pada 24 Januari dan bukannya pada 23 Januari. Terdapat kelainan dalam sistem taqwim Arab Saudi yang sukar ditafsirkan pemahaman biasa dalam menurut astronomi takwim. Maklumat-maklumat yang disiarkan dalam akhbar-akhbar tempatan pula menunjukkan umat Islam di Asia Barat dan Afrika Utara telah memulakan puasa mereka pada 2 hari yang berbeza iaitu Mesir, Qatar, Oman, Yemen dan Emeriah Arab Bersatu mengikut tarikh yang sama seperti Arab Saudi, manakala umat Islam di Algeria, Turki dan Iran mula berpuasa pada hari Selasa sama seperti di Malaysia. Berdasarkan tarikh permulaan awal bulan yang berbeza-beza ini adalah dipercayai permulaan puasa di Mesir adalah berdasarkan hisab hakiki yang menunjukkan telah wujud anak bulan di kebanyakan ufuk negara tersebut. Manakala negara-negara Algeria, Turki dan Iran kemungkinan menggunakan kaedah imkannur rukyah.

Saranan-saranan supaya diseragamkan tarikh atau takwim Islam memang kerap diadakan dalam banyak forum antarabangsa, malahan anjuran OIC sendiri. Sebenarnya soal penerimaan apa-apa kaedah astronomi untuk tujuan penentuan awal bulan, bukan lagi masalah utama ulama-ulama dan ahli astronomi, mereka telah menetapkan beberapa kaedah untuk diikuti. Walaupun ia bersifat sementara, namun kaedah seragam tersebut boleh diamalkan sementara menanti penyelesaian lain yang lebih menyeluruh, namun apa yang dikesalkan ialah sikap dan dasar sesetengah kerajaan negara-negara Islam tidak mengambil berat masalah takwim Islam. Mereka masih mengekalkan kaedah-kaedah takwim yang meragukan. Penulis berpendapat, senario inilah yang mendorong MABIMS mengambil langkah segera dengan mengemukakan penyelarasan peringkat serantau. Selain dari membuat penyelarasan dalam hal-ehwal Islam, pihak MABIMS juga telah mencapai persetujuan mengenai penetapan tarikh yang sama bagi hari-hari perayaan Islam. Termasuklah langkah Malaysia mengubah kaedah penentuan tarikh Hari Raya Korban daripada mengikut tarikh wukuf oleh kerajaan Arab Saudi kepada kaedah penyelarasan MABIMS (singkatan bagi Pertemuan Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Singapura).

Sesuatu yang perlu diambil perhatian dalam usaha keghairahan umat Islam untuk melihat penyeragaman takwim Islam, ialah permulaan tarikh hijriyah yang sama di seluruh dunia tidak mungkin dapat dicapai kerana takwim hijriyah (dan takwim lunar lain) secara tabie akan berbeza selama satu hari berdasarkan tarikh syamsiyah (solar). Ini disebabkan detik kelahiran anak bulan tidak berlaku tepat di Garisan Tarikh Antarabangsa (180°). Tetapi garisan kelahiran tersebut yang dinamakan Garis Batas Bulan Baru (GBBB) boleh berlaku di mana-mana titik di muka bumi dan pada bila-bila masa mengikut pergerakan bulan. Apabila garis batas tersebut diunjurkan secara bersistem dengan kriteria astronomi tertentu yang menjangkakan kenampakan pertamanya, maka garisan tersebut dinamakan Garis Tarikh Bulan Antabangsa (ILDL)