allahJabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang menemui kertas mentera mempunyai kalimah Allah dan cebisan Al-Quran di empat tokong Cina yang disyaki menjalankan amalan pemujaan dan nombor ramalan.

Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan JHEAIPP Azmah Abdullah berkata operasi dari 9 pagi hingga 3 petang itu dijalankan berdasarkan maklumat orang awam.

“Kami menjalankan siasatan terperinci sebelum mengambil tindakan bagi memastikan tiada orang Islam yang terlibat dengan unsur-unsur pemujaan dan amalan syirik yang bertentangan dengan akidah.

“Dalam operasi ini kami telah temui kertas doa mentera dengan tulisan jawi dan mempunyai kalimah Allah, juga terdapat cebisan Al-Quran,” katanya kepada pemberita di sini Selasa.

Katanya tiada orang Islam didapati berkunjung ke tokong-tokong berkenaan bagi melakukan pemujaan dan amalan syirik itu.

Azmah berkata bagi cebisan Al-Quran dan penyalahgunaan kalimah Allah, pemilik tokong boleh didakwa mengikut Seksyen 14 (1) Akta Percetakan Teks Al-Quran yang memperuntukan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda sehingga RM20,000.

Turut dirampas dalam operasi itu ialah songkok dan sehelai kain yang mempunyai gambar masjid dengan kalimah ‘Allahuakbar’.

Operasi tersebut dijalankan di Paya Terubong, Batu Lancang dan Jalan Gangsa, oleh lima orang petugas JHEAIPP dan empat dari Kementerian Dalam Negeri.

Azmah berkata mengikut Perkara 2.3 Garis Panduan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), orang bukan Islam diharamkan atau tidak boleh menulis, mengukir, membentuk, mempamerkan dan menjual barang-barang yang ada ayat Al-Quran.

.

Sumber – BERNAMA

Advertisements