Assalaamu’alaikum w.b.t….  Perhatian : Jangan lupa saksikan video2 forum hudud di bawah yaa.  Masih lagi kesinambungan dari memperkatakan tentang keagungan HUkum yang diturunkan oleh Allah S.a.w melalui lisan nabi Muhammad S.a.w. Dan kali ini saya mahu mengajak anda berfikir adakah mengakui dan mahu menjalankan Hukum ALlah itu adalah hanya termasuk dalam hal Syariah. Ini kerana masih ramai yang memperkatakan bahawa Hukum Allah hanya termasuk dalam soal Syariah / Feqah. Dan yang paling penting lagi, masih ramai yang tidak mengakui bahawa Hukum Allah adalah hukum / law / undang-undang yang paling hebat dan relevan sehingga ke hari kiamat.

Sememangnya tajuk hukum hudud dan qisas terdapat dalam pelajaran feqah / syariah. Tetapi kita mesti tahu juga, kesemuanya mempunyai kaitan antara satu sama lain. Kalau kita hanya mengamalkan syariah tetapi tidak mempunyai pegangan / aqidah, ibaratnya seperti kosong juga. Sama seperti kita beriman dengan rukun-rukun iman, tetapi tidak melaksanakan secara feqahnya, maka 2 kali 5 la tu. Iman tanpa Islam tidak diterima, begitu juga Islam tanpa iman, kedua-duanya saling berkait rapat dan mesti teguh belaka.

Terlebih dahulu mari kita fikir, beriman dengan AlQuran adalah termasuk dalam salah satu rukun iman. Adakah beriman dengan AlQuran itu adalah semata2 mengatakan aku sudah beriman dan percaya kepada AlQuran, sedangkan kandungannya kita tidak akui dan terima kesemuanya? Maka adalah hukum hudud, qisas dan lain-lain ternyata terkandung dalam AlQuran dan banyak kali diulang-ulang, tetapi mengapa kita masih menyisihkannya?  Alasan-alasan mereka yang menyisihkannya telah banyak saya berikan dalam artikel-artikel yang saya tulis pada masa lalu, anda boleh menyemaknya sendiri di blog ini.

Kita mengatakan Allah Maha Bijaksana, tetapi mengapa kita mengatakan HUkum Penjajah lebih relevan dari Hukum Allah sekarang ini? Kononnya Hukum Allah tidak sesuai dilaksanakan dalam masyarakat majmuk dan moden ini. Tidak nampakkah kita ianya melibatkan soal aqidah kita?  Jika kita mengatakan Allah itu Maha Bijaksana, bermakna sepatutnya kita juga mengatakan semua perintah Allah itu adalah amat Bijaksana dan relevan sepanjang masa sehingga ke hari kiamat. Mengapa relevan hingga ke hari kiamat?  Kerana Islam sudah sempurna termasuklah undang-undang yang diperintahkan agar kita melaksanakannya.

Firman Allah yang bermaksud, “Pada hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku cukupkan ke atas kamu ni’matKu dan Aku redha bagi kamu Islam itu sebagai agama (dasar) dan pegangan hidupmu.”  Surah Al-Maidah : Ayat 3

FirmanNya lagi yang bermaksud “Dan telah sempurnalah wahyu Tuhanmu itu dari sudut kebenaran dan ke’adilan, tidak ada penukaran atau gantian kepada wahyu itu. Allah Subhanahu wa Ta’ala itu Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”  Surah Al-An’aam : Ayat 115

“Dan sesungguhnya Kami turunkan kepada kamu tanda-tanda yang terang dan nyata, hanya orang fasiq sahaja yang engkar dengan tanda-tanda yang terang itu.”  Surah Al-Baqarah : Ayat 99

“Dan Kami turunkan ke atas kamu Kitab (Al- Qur’an) untuk menerangkan segala sesuatu dan memberi rahmat serta berita gembira bagi sekelian muslim.”  Surah An-Nahl : Ayat 89

Islam telah sempurna TERMASUKlah dalam soal undang-undang sebuah negara. Semuanya itu telah ditunjukkan dan diamalkan sendiri oleh Rasulullah S.a.w dan para sahabat yang mulia. Teramat banyak kandungan tentang undang-undang yang telah tercatat dalam Sejarah Islam tetapi telah dipinggirkan sekarang dan lebih diutamakan Law of Enactment British hasil ciptaan Sir Lord Reid.

Di mana keyakinan kita terhadap kebenaran dan kemuliaan AlQuran jika sekiranya hukum-hukum yang terkandung di dalamnya kita anggap tidak relevan? Tak nampak lagikah bahawa ianya bersangkut paut dengan AQIDAH kita?  Bersangkut paut dengan keimanan kita terhadap AlQuran yang Mulia? Mengapa kita hanya pandai mengucapkan beriman kepada AlQuran di bibir tetapi tidak meyakini dengan kandungannya? Adakah sekadar kita tidak mahu orang mengatakan kita tidak beriman kepada AlQuran? Sekadar mahu mengambil hati manusia dan berpura-pura?

Sudah banyak dalil-dalil dari AlQuran dan AlHadith yang saya utarakan yang mengatakan tentang kelebihan Hukum Allah. Anda boleh menyemaknya sendiri dari topik2 yang lepas yang saya sertakan link-linknya di bawah. Cuma saya mahu tambah lagi beberapa lagi dalil untuk menguatkan lagi hujjah-hujjah saya.

“Dan hendaklah kamu menghukum (memerintah) di kalangan mereka itu dengan apa yang diturunkan oleh ALlah Subhanahu wa Ta’ala kepada kamu dan janganlah kamu mengikut hawa nafsu mereka itu.” Surah al-Maidah : Ayat 49

RasuluLlah S.a.w bersabda: “Siapa yang ta’at kepada aku masuk syurga dan siapa yang derhaka adalah dia orang yang engkar (enggan).” (Riwayat Bukhari)

Dalam hadith yang lain Rasulullah S.a.w bersabda yang bermaksud , “Sesiapa yang melakukan sesuatu amalan yang tidak berasas kepada Sunnahku maka amalan itu ditolak (tidak diterima oleh ALlah Subhanahu wa Ta’ala).”  (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)

Hal-hal bid’ah sememangnya banyak berlaku sekarang dan tidak dapat dielakkan lagi. Tetapi mari kita fikir sejenak, jika sekiranya undang-undang sebuah negara pun sudah jauh lari dari apa yang nabi ajar, bagaimana untuk menguatkan Islam secara menyeluruh? Jika sistem utama sudah lari maka bagaimana dengan cabang-cabangnya yang lain. Ini tidak termasuk lagi soal-soal bid’ah lain yang berlaku dalam kampung-kampung seperti kenduri arwah dan sebagainya. Itu masih lagi hal peringkat bawahan, tetapi bagaimana dengan hal peringkat tertinggi iaitu HUKUM / Undang-undang / Law? sesebuah negara?  Tidak pernahkah anda terfikir? Jika peringkat tertinggi pun sudah semakin lari dan jauh dari Islam, bagaimana dengan peringkat bawahnya?

Ini lah antara sebab munculnya golongan-golongan yang mahu memperjuangkan Islam dan mahu menegakkan Hukum Allah di negara kita ini. Tetapi mereka dituduh pula sebagai puak Khawarij kerana menentang kerajaan. Sedangkan mereka sebenarnya bukan menentang kerajaan, tetapi MENEGUR dan dalam proses untuk membaiki mengikut saluran2 yang dibenarkan oleh kerajaan sendiri iaitu proses pilihanraya dan undang-undang. Sedangkan puak Khawarij yang sebenar ialah mereka yang menentang sahabat nabi YANG MENEGAKKAN HUKUM ALLAH! Itu kita mesti faham, tetapi sekarang ini sudah terbalik terus tuduhan itu. Khawarij asal dari perkataan ‘Kharaja’ iaitu ‘keluar’, dan puak khawarij adalah puak yang keluar dari ahlus sunnah wal jama’ah dan menentang pemerintahan Saidina Ali r.a yang menegakkan HUKUM ALLAH.

Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum melainkan kaum itu sendiri yang mengubahnya. Bermakna jika kita sendiri tidak berusaha untuk menegakkan kembali Hukum ALlah yang amat peaceful, harmoni dan adil itu maka ianya tidak akan tertegak dengan sendirinya. Gunakan lah akal fikiran yang ALlah bagi pada kita ini, jangan hanya sekadar menjadi pak turut tanpa mengkaji asasnya. Sebab itu ayat AlQuran pertama turun iaitu Iqra’, iaitu suruh kita membaca, belajar, mengkaji tak putus2. Semua kita sudah tahu tentang ini, dan kebanyakan kita dah baca hadith2 yang menyarankan agar kita semua menuntut ilmu. Tetapi penerimaan kita itu yang kureng agaknya.

Ramai yang beralasan tiada masa untuk belajar agama, tiada masa untuk membaca kitab-kitab agama. Tetapi yang peliknya, suratkhabar hari2 mereka boleh beli dan baca, banyak pulak masa yerr  is is is. Oleh itu, pentingkan yang lebih penting dari yang kurang penting, kerana ada yang lebih penting dari yang kurang penting itu, hehe.

Dengan itu sekali lagi saya mahu menegaskan , bahawa jika anda mengatakan Allah Maha Hebat dan maha Bijaksana,  MAKA anda mestilah juga mengakui bahawa perintah-perintah dan hukumNya juga adalah yang TERHEBAT dan paling BIJAKSANA. Marilah sama-sama kita jadi hamba ALlah yang mahu memperjuangkan agamaNya dan menegakkan hukumNya, bukannya menjadi mereka yang menentang perjuangan Islam dan meremeh-remehkan hukum ALlah!  Tetapi ingat, jangan sampai kita berpecah belah!  Biarlah orang nak pecah belah dengan kita, tetapi jangan kita yang berniat begitu. Perjuangan untuk menegakkan Islam dan Hukum ALlah pun adalah bertujuan untuk BERSATU, KEAMANAN, KEADILAN dan untuk KESEJAHTERAAN semua, tidak kira kepada yang Islam atau bukan Islam,  dan bukannya hanya kepada golongan tertentu sahaja. Wallahu a’lam  🙂

Dan untuk menguatkan lagi hujjah2 saya , marilah sama-sama kita saksikan video rakaman tentang Forum Hudud ini yang telah dibentangkan oleh 2 orang Ustaz kesayangan saya iaitu Ustaz Dato’ Ismail Kamus dan Ustaz Prof Dato Dr Harun Din, ALHAMDULILLAH  🙂

Sila baca juga:

Abu Bakar r.a beritahu agar jangan taatinya jika dia menyeleweng

Pemerintahan khilafah VS New World Order

Nak tunggu sampai bila lagi?

Ku rindukan hukum Allah tertegak di muka bumi kembali

Berhentilah perjuangkan perkauman aka asobiyyah

Hukum Islam telah dijalankan di zaman dahulu di Tanah Melayu

Mengapa Hukum Islam terabai!